|
KENYATAAN MEDIA (26 Mei 2006)
KENAIKAN TARIF ELETRIK : KAJI BALIK DASAR PENSWASTAAN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merasa amat kesal dan kecewa
terhadap tindakan kerajaan menaikkan tarif eletrik sebanyak 12
peratus mulai 1 Jun 2006 ini. Bagi DPPP, kenaikan ini ternyata
membebankan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan kenaikan
harga minyak dan kenaikan harga barang-barang sebelum ini.
Kerajaan ternyata membelakangkan rakyat dan tidak pernah melihat
penderitaan rakyat selama ini. Meskipun Perdana Menteri
menyatakan kenaikan ini tidak melibatkan 60 peratus rakyat
berpendapatan rendah (kenaikan tidak melibatkan penggunaan 200
kilowatt ke bawah sebulan), namun kerajaan perlu ingat kesannya
tetap kena ke atas rakyat. Kenaikan ini akan melibatkan
syarikat-syarikat besar, pengilang-pengilang,
pengusaha-pengusaha industri, dan peniaga-peniaga. Dengan
kenaikan ini, pastilah kos operasi akan meningkat dan bagi
meringankan beban peniaga-peniaga tersebut, kos harga barang
sudah pasti akan dinaikkan. Ia samalah seperti kesan kenaikan
harga minyak baru-baru ini, walau apa cara sekalipun harga
barang-barang pasti akan naik bagi menampung kos operasi
peniaga-peniaga. Dalam hal ini kenyataan Perdana Menteri dan
pemimpin UMNO/BN ternyata tidak cerdik kerana mereka tidak
pernah memikirkan kesan kenaikan ini jangka panjang.
DPP Pusat berpendapat, dasar penswastaan yang diamalkan kerajaan
sekarang amat tidak menguntungkan. Tujuan penswastaan pada
asalnya adalah untuk meningkatkan tahap efisyen sesebuah agensi,
di samping membantu kerajaan dan meringankan beban yang
ditanggung. Hakikat yang berlaku adalah penswastaan ini menjerut
leher rakyat kerana semua bebanan kenaikan terpaksa ditanggung
oleh rakyat. Dalam kes PLUS sebagai contoh, kenaikan kadar tol
terus berlaku sedangkan PLUS mendapat keuntungan berlipat ganda
setiap tahun. Telekom sewaktu menjadi milik kerajaan, kadar caj
telefon tidak berubah, tetapi setelah dasar penswastaan ini
mewarnai Telekom, dengan serta merta caj telefon bertambah.
Soalnya apakah relevan kerajaan menswastakan aset negara, dan
adakah ia menguntungkan negara, khususnya rakyat berpendapatan
rendah?
Kerajaan tidak boleh beralasan kenaikan ini adalah disebabkan
kerugian yang ditanggung oleh TNB akibat perjanjian dengan
syarikat IPP (Independent Power Plant). Sepatutnya kerajaan
menarik balik perjanjian dan kerjasama ini untuk menyelamatkan
TNB, bukan memangsakan rakyat. Perjanjian yang tidak pintar ini
hanya menguntungkan syarikat kroni-kroni dan suku sakat UMNO/BN
sehingga TNB terpaksa menanggung kerugian 1.5 billion ringgit.
Mengapa kerugian yang berpunca dari kecurian tenaga eletrik, kos
pembelian tenaga dari penjana tenaga bebas dan masalah pinjaman
yang besar dijadikan alasan untuk menaikkan harga eletrik? Apa
kena mengenanya kerugian ini dengan rakyat biasa?
Kerajaan pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab sosial
terhadap rakyat. Menyelamatkan TNB ibarat melepaskan anjing yang
tersepit, lepas TNB selamat rakyat pula yang digigit.
Tanggungjawab kerajaan sepatutnya menjaga kebajikan rakyat walau
dengan apa cara sekalipun, bukan berniaga dengan rakyat. Rakyat
telah lama menderita dengan kenaikan harga petrol dan diesel,
harga barang-barang dan lain-lain, usah ditambah derita dan air
mata rakyat dengan kenaikan tarif eletrik ini.
Justeru kerajaan perlu mengkaji balik dasar penswastaan negara.
Tidak ada faedahnya andai penswastaan ini menjadikan rakyat
terus merana dengan kenaikan-kenaikan harga dan tarif.
Mengutamakan rakyat dan negara adalah prioriti utama kerajaan
dan negara perlu dibebaskan segera dari penjajahan penswastaan.
Negara dan rakyat perlu ditadbir dengan bijak, bukan didagangkan
dan diagih-agihkan kepada orang lain!
USTAZ HJ IDRIS HJ AHMAD
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat
|