|
KENYATAAN MEDIA PAS (16 Mei 2006)
NAZRI TERNYATA BODOH!
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) merasa kesal dengan kenyataan
biadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Nazri
Aziz yang menganggap tindakan 500 orang yang mengadakan
demonstrasi di Pulau Pinang kerana membantah penganjuran forum
undang-undang sivil dan syariah sebagai bodoh. DPPP menganggap,
Dato’ Seri Nazri sebenarnya yang bodoh kerana tidak mengambil
tahu isu sebenar yang mengheret kebencian umat Islam di negara
ini.
Sesungguhnya kenyataan Nazri itu menghiris dan mengundang
kemarahan umat Islam di negara ini. Dalam keadaan duka umat
Islam yang belum pulih akibat isu penghinaan terhadap Nabi
Muhammad s.a.w., Nazri pula bertindak sebagai pembela golongan
yang mahu mencabar Islam. Beginikah sikap sebenar Ahli Parlimen
Padang Rengas ini yang mempunyai pengundi-pengundi yang
majoritinya Islam. Nazri jelas memalukan pengundi-pengundi
beliau dikawasannya, kerana disitulah terdapat dua institusi
pendidikan Islam terkenal iaitu pondok Syeikh Junid di Kampung
Padang Lalang, dan Madrasah Yahyawiyah di Padang Rengas.
DPPP berpendapat kenyataan Nazri adalah merupakan satu usaha
untuk melindungi golongan yang cuba mencabar kewibawaan kuasa
Mahkamah Syariah yang sedia jelas dalam Artikel 121 (1A).
Mungkin kebebalan beliau untuk mengetahui latar belakang majlis
tersebut diadakan dan mengapa bantahan penduduk tempatan
khususnya umat Islam di Pulau Pinang di adakan. Mungkin juga
Nazri telah lupa bagaimana rentetan tuntutan yang cuba dilakukan
oleh Inter Faith Commission (IFC) bersama-sama kumpulan Sisters
In Islam (SIS) yang cuba mencabar Islam melalui perundangan dan
bidang kuasa Mahkamah Syariah. Nazri juga perlu diingatkan
bahawa mereka inilah dulunya paling lantang mempertikaikan kes
jenazah Allahyarham Mohammad @ Moorthy yang telah disahkan Islam
dari dikebumikan mengikut cara Islam.
Kenyataan Nazri menyerlahkan lagi sikap hipokrasi beliau di
dalam menangani permasalahan umat Islam. Barangkali inilah
sebahagian produk yang dihasilkan oleh jenama Islam Hadhari di
negara ini. Tidak sedarkah beliau bahawa terdapat 18,000 rakyat
Malaysia yang telah menandatangi petisyen yang dibuat oleh 13
kumpulan untuk pertikaikan Artikel 11 yang memberi hak kepada
Mahkamah Syariah. Mungkin beliau tidak terkesan dengan
pendedahan Mufti Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria yang
menyatakan 250,000 umat Islam yang telah murtad dan sedang
menanti untuk murtad!
DPPP tidak merasa hairan dengan kenyataan celupar Nazri itu
kerana beliau pernah mengakui bahawa UMNO mengikut rentak PAS
semata-mata untuk memperalatkan Islam dan beliau juga mengaku
bahawa beliau adalah sekular. Mungkin inilah mentaliti pemimpin
kelas pertama yang hendak dihasilkan oleh Perdana Menteri pada
hari ini.
DPPP mengingatkan Nazri bahawa Pemuda PAS akan turun ke Parlimen
Padang Rengas untuk mendedahkan sikap sebenar Nazri terhadap
Islam supaya masyarakat di Parlimen Padang Rengas tidak tertipu
dengan manusia hipokrit yang bertopengkan agama. DPPP juga yakin
bahawa masih ramai lagi umat Islam yang cintakan Islam dan tidak
bodoh seperti bodohnya Nazri.
HJ IDRIS HJ AHMAD
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat
|