|
Kenyataan Media
(17 Mei 2006)
TAJUK :
PENUKARAN ISTILAH ASING DI PUTRAJAYA DITUKAR KE
BAHASA MELAYU DISOKONG
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan syabas kepada
Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, YB Yew
Teong Look kerana telah menubuhkan Jawatankuasa Istilah dan
Penamaan Perbadanan Putrajaya sebagai usaha untuk menukar
beberapa istilah asing seperti Precint, Boulevard, Promenade dan
Parcel yang hari ini digunakan di Putrajaya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertanggungjawab
menyelaras penggunaan istilah-istilah yang tepat di Putrajaya
dan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
DPPNJ melihat bahawa sepatutnya sejak dari awal lagi penggunaan
istilah asing ini tidak sepatutnya digunakan kerana ia
bertentangan dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Melayu.
Sebelum ini pernah disiarkan kenyataan Pengarah Jabatan Bahasa
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan (Utusan
Malaysia, 5 Mei 2004) yang menegur Perbadanan Putrajaya mengenai
penggunaan istilah-istilah bahasa asing di pusat pentadbiran
Kerajaan Persekutuan itu tetapi ia tidak diendahkan.
Beliau juga memberikan komitmen bahawa DBP bersedia bekerjasama
dengan Perbadanan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Manakala pada 6 Mei 2004, Utusan Malaysia telah menyiarkan
kenyataan bekas Ketua Pengarah DBP Datuk A. Aziz Deraman bahawa
DBP kesal kerana banyak teguran mengenai penggunaan istilah
asing tidak diberi perhatian serius terutamanya oleh pihak
berkuasa tempatan (PBT).
Jika diperhatikan daripada kenyataan dan teguran ‘orang kuat’
DBP ini yang telah disebut sejak dua tahun lalu, barulah
sekarang ini teguran itu dapat perhatian daripada pihak kerajaan
untuk melakukan perubahan. Kenapa tidak dilakukan sejak dari
awal lagi ataupun selepas DBP membuat teguran? Apakah ada
kemungkinan kerana takut untuk berhadapan dengan Tun Dr Mahathir
walaupun telah bersara pada 31 Oktober 2003?
Hari ini mantan Perdana Menteri Malaysia telah dilihat sebagai
‘musuh’ yang menggangu urusan kerajaan. Tidak mustahil bahawa
tindakan untuk menukarkan istilah asing kepada Bahasa Melayu ada
kaitannya dengan tindakan Tun Dr Mahathir akhir-akhir ini.
Jangan lupa, BAHASA BAKU yang diperkenalkan oleh Datuk Sri Anwar
Ibrahim (DSAI) sejak tahun 1988 telah dimansuhkan oleh kabinet
Malaysia walaupun ianya telah memberi kesan yang positif kepada
penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat tetapi kerana rasa
dengki kerajaan UMNO/BN kepada DSAI, Bahasa Baku telah
dikorbankan.
Apakah Dr Mahathir ‘tidak terasa’ dengan keputusan ini?
Sama-samalah kita tunggu komen Dr Mahathir terhadap isu ini.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
|