BALIK KE MUKA UTAMA


ANWAR SUDAH JUMPA AL-GHAZALI,
PAK LAH MASIH TERCARI-CARI



1hb. April 2006, mencatat kenangan tersendiri bagi diri saya, isteri dan keluarga kerana berada di dalam Dewan Istac untuk menyaksikan konvokesyen putera saya Habib Omar Alattas. Sambil memerhatikan seni ukir, seni bina, saya teringat pertama kali saya berada di Dewan ini pada 15 Febuari 2004, Muhyiddin Alattas yang sedang mempersiapkan diri untuk merebut tempat di Oxford Universiti di London adalah murid golongan pertama lulusan dari ADNI.

Apakah anda pernah berada di Istac ‘International Institute Of Islamic Thought And Civilisation’ sebuah bangunan yang menyerupai seni bina di Andalusia semasa keagungan Islam? Tahukah anda Profesor Dr. Syed Naquib Alattas ‘the towering Muslim’ cendikiawan Melayu yang menduduki kerusi Al-Ghazali adalah insan yang menjadi perancang, pengasas Istac yang ditubuhkan pada tahun 1987?

Istac dirancang, direka bentuk dari segi hiasan dalaman masjid dan landskap yang bermula pada tahun 1991 oleh Profesor Dr. Syed Naquib Alattas, pemikir dan tokoh Islam tersohor di dunia Islam yang juga pernah duduk di kerusi Ibn-Khaldum, ‘Chair Of Islamic Studies’ 1986 di Washinton USA.

Dato Seri Anwar Ibrahim manten Timbalan Perdana Menteri pernah menjadi Pengerusi Istac sudah terjumpa Al-Ghazali. Kasihan Pak Lah masih mencari-cari. Di mana silapnya? Inilah ruginya Pak Lah yang tak punya orang di keliling seperti Tun Mahathir mempunyai Matthias Chang yang berjaya membuktikan surat-surat dari Goh Chock Tong bekas PM Singapura yang tidak ada halangan dalam membina jambatan.

Biarpun keputusan kabinet bulat namun ibarat kain kapan yang putih biarpun di dalamnya ada mayat pak hitam seperti arang, kain kapan tak boleh bertukar menjadi hitam kerana sikap sejuta manusia yang ‘matahatinya’ buta.

Hidup bukan satu mimpi, kita kena berkerja keras untuk melihat anak-anak bangsa kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Akal sepatutnya diberikan keutamaan, tanpa akal tinggi melangit mereka tidak layak menjadi ‘the towering Muslim’ kalau sekadar manusia berfikiran ‘kelas satu’.

Kita akan disoal oleh Allah nanti sama ada kita telah menjadikan anak-anak kita Nasrani, Yahudi, Majusi atau anak yang ‘soleh’ umat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran yang ‘bergerak’ ‘hidup’, yang mempunyai sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah.

Dua putera dan seorang puteri saya, Syarifah Fatimah Az-Zahara menyertai sekolah ini sejak tahun 1994, iaitu bermula dari peringkat mereka tadika lagi. Datuk Yusuf Haslam, Seniwati Noorkumalasari, Erma Fatimah menyekolahkan anak mereka di sini. Selain dari itu Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Pendidikan dan lain-lain VIP juga menghantar anak mereka ke sini.

‘Iqrak’, membaca ertinya perintah Allah menggunakan akal dan fikiran kerana kita ini hamba Allah. Umat Islam sebenarnya berupaya keluar daripada kejahilan, kemiskinan, kehinaan seperti yang berlaku kepada Arab Jahiliah dahulu. Akhirnya bangsa Arab menjadi umat yang disegani dan mempelopori tamadun manusia. Kaum Quraisy dan Bani Hasyim, ketua-ketua kabilah tidak sepatutnya jadi seperti Arab di Timur Tengah hari ini yang taat pada kehendak Amerika dan Yahudi.

Selain menghafal Al-Quran, mempelajari bahasa Arab, bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan, ADNI yang bermula dari sekolah IIC, Intergrated Islamic College menjadikan agama dan saintifik sebagai asas pengembangan keinteletual di bidang kerohanian yang mampu menyumbang ke arah pembangunan ummah, mempersiapkan mereka untuk menjadi manusia yang berfikiran ‘kelas pertama’ sejak dari peringkat rendah menerusi projek khalifah. Sesuai dengan zaman langit terbuka, dunia tanpa sempadan, di dunia akhir zaman, minda juga perlu terbuka selain terbukanya hijab.

Tiba-tiba saya teringat perbincangan saya dengan Dato’ Mohd Norza yang mempunyai visi untuk melahirkan mahasiswa ‘berkelas dunia’. Bimbingan para murabi selain dari ibubapa di rumah selaku ‘role model’ mesti seiring sebelum pergi ke peringkat universiti.

Maruah adalah suatu ‘nilai’ yang sangat tinggi bagi seseorang. Jika ada ijazah, ada kepakaran dan pengalaman andai maruahnya tercemar akibat tak ada ‘akal’, tak kenal ‘dosa pahala’, dan ‘halal haram’, muka manusia mahu letak di mana? Apabila pembesar negara, alim ulama, tokoh korporat wanita hilang akal maka Al-Quran dan Sunnah digunakan untuk agenda tersendiri.

Ramai Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat, Datuk, Tan Sri, bukan saja tak dihormati tapi orang tak peduli, dibenci dan meluat kerana tidak takut pada Allah. Nilai maruah begitu penting terhadap kedudukan harga diri seseorang. Sebab itu Allah pilih akhlak Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik ‘role model’ untuk manusia sejagat.

Ilmu tanpa mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW atau tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘role model’ melahirkan masyarakat yang berkecamuk seperti manusia di akhir zaman. Sebab itu kita perlu melahirkan generasi penerus yang mengikut perintah Allah yang menjadikan ‘Islam’ sebagai cara hidup yang paling sempurna ‘addin’. Bukan sekadar menjadi Islam ‘kosmetik’ atau Islam kerana Melayu itu Islam.

60 tahun UMNO, ramai yang terlupa ustaz-ustaz di sekolah pondok dan guru sekolah Melayu yang memperkukuhkan UMNO. Siapa yang merosakkan UMNO? Siapa yang membawa UMNO ke mahkamah?

Manusia perlu ada perasaan ‘malu’. Akibat tidak ada lagi perasaan ‘malu’ kepada Allah, tidak ada perasaan ‘PEDULI’. Allah menyuruh perempuan menutup aurat, mereka tak peduli akibat Al-Quran diterjemah ikut nafsu, tunggu dan lihatlah saja bala dari Allah kelak.

Seorang ketua, pemimpin, tokoh korporat yang tiada perasaan segan dan malu terhadap dirinya sendiri dan orang lain, tandanya dia tidak takut pada Allah. Akhlak adalah lambang keagungan yang semestinya ada pada manusia yang dicipta oleh Allah sebagai sebaik-baik ciptaan namun jika tidak ada consience ‘hati budi’, ‘hati perut’ apa bezanya kita dengan haiwan dan hantu setan?

Manusia selaku ciptaan Allah yang ‘baik’ itu bukan pada jasad dan rupa atau percakapan, tingkah laku dan gerak gerinya sahaja, tetapi ia juga dinilai bersama kesempurnaan yang menutupi jasadnya yang disyariatkan oleh Allah. Namun demikian walau secantik mana tingkahlaku, budibahasa, tutur kata, tapi dirinya tidak sempurna seandainya tidak menghirau soal pakaian yang diakui disisi syariat Islam, maka jiwanya adalah kosong ibarat kotak yang tiada berisi disisi Allah (Al-Haisyami, 1987:214-215).

Dr. Rokiah Ahmad
Mengapa Aurat Haram Didedah?

Sambil memerhatikan puteri-puteri ADNI yang sopan menutup aurat memakai jubah menerima sijil O level, saya terfikir kenapa Pak Lah buang Datuk Dr. Shafie Salleh, manten Menteri Pendidikan Tinggi. Dia buang Shafie Salleh macam buang batu, tapi Datuk Shafie Afdal dikekalkan di situ.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh akhbar ‘The Star’, pekerjaan yang paling tidak disenangi dan ada di peringkat yang paling rendah jika dibandingkan dengan doktor, profesor, ahli agama, guru oleh satu kajiselidik adalah ahli politik dan ahli perniagaan. Kenapa begitu? Adakah kerana tidak adanya ‘ketaqwaan’ dan ‘ikhsan’ dalam pekerjaan tersebut?

Kekalahan bangsa kita dalam bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia adalah disebabkan institusi pendidikan kita yang tidak menjanjikan untuk melahirkan manusia yang berfikiran ‘kelas satu’, yang sepatutnya memberikan keutamaan dunia dan akhirat.

Pak Hasni selaku mujaddid (reformis) dan keluarganya sanggup berkorban masa, harta benda untuk melahirkan para pelajar yang disayangi seperti darah dagingnya sendiri.

Para pelajar sentiasa diingatkan selaku ‘khalifah Allah’ menjadi tanggungjawab mereka memainkan peranan menjadikan diri mereka insan yang baik, membantu orang lain juga supaya menjadi baik, menjadikan dunia ini satu tempat yang indah dan memberikan kebahagian kepada manusia sebagai rahmat Allah.

Hendak melutur buluh, masa lagi rebung. Ayam yang tidak diajar tidur di dalam reban akan tidur di atas pokok. Anak yang tidak menjadikan ‘solat’ berjemaah bermula dari rumah sebagai amalan hidup akan menjauhi surau dan masjid kecuali untuk setahun sekali pada hari raya saja.

Inna deena indallahi Islam (Al-Imran Ayat 9).

Islamlah sahaja satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah, yang tak perlu ditokok tambah dengan macam-macam Islam. Islam itu sederhana, selagi mana dia tidak bercanggah dengan ‘syarak’. Islam menggalakkan menerusi sistem pendidikan yang terancang sejak dari dalam perut ibu lagi sebagai ‘fitrah’ yang sepatutnya ada pada ‘mukminin’ dan ‘mukhlisin’.

Semulia-mulia manusia adalah yang bersifat ‘taqwa’ kepada Allah bukan sekadar mengamalkan rukun Islam yang lima perkara saja tapi perlu ada sifat ‘Asmaul Husna’ yang mewarnai hidupnya. Pemurah, pengasih, penyayang, lemah lembut, pemaaf, bersedia untuk berkongsi kekayaan ilmu pengetahuan dan apa saja amanah Allah. Hablum Minannas.

Setiap ibubapa harus memilih sekolah yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. “You give peanut, you get monkey”, mengharapkan subsidi, semua mahu free, tunggu kerajaan bagi free, sendiri punya diri sendiri mahu ingatlah! Bila lagi bangsa kita mahu mengadakan perubahan secara ‘holistic’?

Bahasa perantaraan di ADNI ialah bahasa Inggeris. Orang Melayu dulu ramai yang tertinggal ke belakang kerana siapa saja yang menyekolahkan anak di sekolah Inggeris akan dianggap kafir. Ramai Melayu yang tidak mahu bertutur di dalam bahasa Inggeris. Macam mana mahu mempunyai minda ‘kelas satu’? Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib selain dari bahasa Arab, menghafal dan menterjemahkan Al-Quran. Di ADNI mereka juga kerap mengadakan ‘usrah’, ‘kiamullai’ untuk pelajar dan para alumni.

Menyedari bahawa perlu diwujudkan sebuah Kolej Islam yang berteraskan pengajian ‘pondok’ yang begitu popular di zaman Tok Kenali di Kelantan, Kuliahtul Alattas, Kolej Islam yang pertama telah didirikan di Malaysia di Johor Bahru oleh Datuk saya Habib Hassan Alattas D.K. Johor. Antara murid tuanya ialah Tan Sri Othman Saat manten MB Johor, Datuk Ali yang masih menjadi Speaker Dewan di Johor serta Mufti Besar Negeri Sembilan dan Perak.

“Islam hanya akan maju apabila berjaya menguasai bidang pendidikan. Umat Islam perlu menggunakan kekayaan yang ada untuk pembangunan ilmu dan pendidikan. Apalah ertinya masjid, jika hanya orang-orang yang jahil sahaja menjadi pengunjungnya. Sebaliknya, dengan menumpukan perhatian terhadap pembangunan ilmu, maka masyarakat Islam akan lebih terdidik dan cara serta pendekatan yang digunakan terhadap fungsi masjid itu akan lebih bermanfaat dan berkesan, menyumbang wang ringgit untuk pembangunan ilmu adalah lebih bermanfaat daripada membangunkan masjid.”

Itulah kata-kata Almarhum Rasyid Reda tokoh pemikir Islam yang komited dalam dunia pendidikan. Beliau menubuhkan Sekolah pertama di Kaherah pada tahun 1912, dikenali dengan Madrasah ad-Dakwah wa al Irsyad. Di sekolah tersebut diajarkan ilmu agama, seperti al-Quran, tafsir, akhlak dan hikmah at tasyrik (hikmat dalam penetapan syariat), bahasa Eropah dan ilmu perubatan.

Al-Islam
April 2006

Sebagaimana yang kita tahu pendidikan yang berteraskan agama adalah instrument yang paling urgent untuk mengubati penyakit sosial yang sedang melanda bangsa Melayu. Maka agenda utama adalah pendidikan yang ‘integrated’ agar sifat kurang ajar dan biadap murid terhadap guru, terhadap ibubapa, penagihan dadah, gangsterisme, bergaduh, berbunuhan, kes buli di sekolah dapat dihapuskan bila anak-anak dididik supaya takut dengan Allah. Ilmu ‘tauhid’ perlu dikembangkan dan diperbaharui.

Adanya kempen ‘Satu Keluarga Satu Graduan’ yang bertujuan untuk meningkatkan lagi bilangan ahli masyarakat yang berijazah penting namun ada yang lebih penting. Saya teringat satu cerita bagaimana seorang ayah termenung sedih, malu, menyesal, kecewa apabila melihat 3 orang anaknya yang berjawatan tinggi di KL pulang kampung dengan kereta mewah untuk menziarahi kematian ibu mereka tapi tak seorang pun yang duduk baca Yasin dan sembahyangkan jenazah ibu mereka, melainkan mengupah orang lain melakukannya. Demi masa manusia itu sentiasa dalam kerugian melainkan yang bertaqwa.

Untuk apa ada anak yang jahil, pangkat besar, rumah besar, kereta besar, dosanya pun besar? Kaya raya, wang entah dari mana hasil rasuah, menyamun, merompak menggunakan kuasa untuk meluluskan projek yang diminta darinya? Hidup penuh dosa, pembohong, pendusta, pengadu domba yang tempatnya di neraka.

“Cerdik pandai yang sentiasa menempuh arus globalisasi, petah berbicara serta terlalu merasakan diri mereka sangat cantik, bergaya, nampak anggun, kacak serta lawa itu hanya pada lahir sahaja. Mereka sanggup mendedah aurat dengan pakaian bermacam-macam fesyen yang nipis, ketat dan singkat. Batin mereka sangat kotor dan jijik untuk dinilai oleh Allah kerana mahu mempamerkan anggota badan yang lahir sahaja dengan tujuan menggoda dan memperlihatkan lagak dan gaya. Manakala batin tidak mahu dipersolekkan atau diperelokkan dengan mengubah hasrat untuk ‘berpakaian’ yang lebih terjamin.”

Apakah ini yang dikatakan Islam Hadhari, Islam mendedahkan diri, siapa pun tak peduli?

Kini, ketika kesedaran tentang pentingnya mengembangkan dunia pendidikan secara ‘intergrated’ akhirnya muncul, reformasi pendidikan adalah merupakan sesuatu yang mutlak. Kita sudah melihat keruntuhan moral terutama di kalangan anak Melayu dan kita juga sudah lihat siswa kita yang keluar dari Al-Azhar dan menjadi pengajar tetapi tidak kreatif dan tidak mengikut perkembangan zaman. Kenapa kita mesti terus hidup di dalam kerugian?

Tanpa pendidikan yang ‘holistic’ kita sekadar boleh melahirkan manusia ‘mat sains’, ‘mat kreatif’. Bila menjadi penyelidik mereka akan menghabiskan waktu menyelidiki sesuatu soal, mencubakan suatu teori, sehingga pandangan mata hanya terbatas kepada mikroskop, teleskop atau leka menonton ‘cinemaskop’ dan akhirnya lingkup.

Apabila kuasa dianggap sebagai ‘wahana’ untuk memuaskan nafsu, tergamak melakukan perbuatan di luar batasan ‘syarak’ dan norma-norma akhlak, harta rakyat difaraidkan di kalangan ketua-ketua puak. Al-Quran dan Sunnah sekadar ‘retorik’ Islam kosmetik apakah tidak mustahil masyarakat kita akan jatuh ke lembah penghinaan dan kecelakaan? Nasib orang Melayu hari ini seperti telur di hujung tanduk.

Saya teringat kata-kata Dato’ Mustafa Mohamed, Menteri di Pengajian Tinggi ketika beliau masih di Mapen. Mustapha “menggesa pihak universiti menyesuaikan progran pengajian mereka dengan keperluan kerjaya agar mahasiswa tidak menganggur. Semua institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan menjalankan kajian tentang kehendak pasaran sebelum memperkenalkan program pengajian yang baharu. IPT juga diarahkan mengadakan sesi pertemuan antara mahasiswa lepasan universiti dengan majikan untuk mengetahui kesesuaian program pengajian, di samping menambahkan input daripada sektor industri bagi memantapkan kokurikulum masing-masing.”

Apabila pimpinan berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai agama, adil, tidak meletakkan nafsu dan kepentingan diri melebihi kepentingan rakyat, pada waktu itu kedudukan negara dan masyarakat berada pada tahap yang cukup harmonis dan gemilang seperti di zaman Khalifah Omar bin Abdul Aziz, di mana kambing biri-biri boleh bermain dengan serigala, tidak seperti zaman Khalifah Osman Ibni Affan yang mengujudkan kronis dan ketidakadilan seperti apa yang sedang berlaku pada Thaksin di Thailand. Apakah bencana yang sama tak mungkin berlaku di Malaysia?

Tiba-tiba saya terfikirkan beratnya beban Pak Lah. Bagaimana agaknya Pak Lah mahu membangunkan kembali kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN yang menganggap bahawa RMK9 sebagai rancangan mengkayakan Khairy dan lain-lain (K) 9 kali ganda?



 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762