|
formmail.to: umnoreform
From_Name: Pak Ali
Subjek: Request for Proposal
Segera: Yes
Pesanan:
Kerajaan UMNO atau Kerajaan Malaysia ?
Khabarnya UMNO akan lancarkan kempen penerangan kepada rakyat
berkaitan isu kenaikan harga petroleum bahanapi. Adakah ini
antara lain menunjukkan kelemahan jentera kerajaan di bawah
pimpinan Pak Lah dalam memahamkan rakyat perihal kenaikan harga
bahan tersebut atau menunjukkan betapa lemahnya perancangan
dalam sistem pemerintahan negara kita. Isu demi isu yang
timbul seperti kes pembalakan haram di tanah hutan simpan,
pencemaran air sungai berbau najis, banjir besar di kawasan
kediaman rakyat dan lain-lainnya semuanya seakan menunjukkan
kepada kita kelemahan perancangan pihak berkuasa. Semua perkara,
dasar, polisi dan tindakan pihak berkuasa seakan bersikap
ah-hoc.
Bila ini berlaku maka timbullah kenyataan-kenyataan bersifat
ad-hoc daripada mulut para menteri dan pegawai berkaitan.
Kedengaran kata-kata supaya kurangkan balik kampung, kongsi
kereta (bukan perkara baru), ubah cara hidup, berjimat cermat,
guna kereta kuasa rendah, guna pengangkutan awam (juga bukan
perkara baru) dan lain lagi kenyataan dangkal dan cetek. Inilah
sikap ambil mudah para menteri kita. Oleh kerana
kenyataan-kenyataan ini dangkal, maka rakyat mula menunjukkan
reaksi balas yang negatif.
Sebagai jalan kedua, jentera parti pula digunakan. Isu kenaikan
harga minyak adalah isu nasional. Ia bukannya isu parti. Kalau
dahulu, ketika kes DSAI, maka jentera parti digunakan untuk
menerangkan kepada rakyat berkaitan isu itu, maka ianya masih
boleh diterima lagi kerana ia lebih merupakan isu pertelingkahan
politik walaupun ianya bersifat nasional. Pun begitu yang
menerang dan yang diterangpun tak faham kesudah macam ayam
dengan itik! Namun dalam isu kenaikan harga minyak ini ianya
berlainan sama sekali. Kenapa perlu diseret parti bagi
menerangkan dasar kerajaan?
Apabila parti politik diseret, maka timbul pula
kenyataan-kenyataan sumbang politik seperti, menangkis fitnah
pembangkang, ada pihak memutarbelikan isu, dakyah pembangkang,
pihak menangguk di air keroh, isu dipolitikkan, penerangan
akar-umbi dan lain-lain lagi ayat-ayat yang standard apabila
sesuatu isu diperbahaskan atas perspektif politik. Ayat-ayat ini
seumpama jampi serapah mereka bagi meyakinkan rakyat! Dan
memangpun bagi sebahagian rakyat, mendengar ungkapan tersebut
sudah memadai untuk memahamkan mereka! Pelik tapi benar! Itu
mungkin tahap ke dua dalam perancangan ad-hoc tersebut.
Peringkat ke-tiga pula ialah menuding pihak ketiga. Ucapan
bulanan Pak Lah di perhimpunan di Putrajaya pagi ini kembali
membuka fail lama. Penyeludupan minyak ke negara jiran. Entah
apa kaitan besarnya penyeludupan ini dengan kenaikan harga
minyak sebanyak 30sen itu. Kemungkinannya kita akan dihidangkan
dengan isu ini lagi.
Begitulah mudahnya menjadi menteri di Malaysia ni. Nampaknya
macam tak perlu bersusah payah memeningkan kepala merancang satu
plan yang menyeluruh siap dengan jawapan yang bernas untuk di
persembahkan kepada rakyat. Cakap saja apa yang terpikir di
bubun kepala. Akan ada rakyat yang akan menerimanya. Lebih baik
peningkan kepala memikirkan bagaimana untuk mengkayakan anak
menantu daripada berfikir bagi kesejahteraan rakyat. Lebih mudah
untuk perah duit rakyat daripada berpikir bagaimana kerajaan
boleh serap kenaikan tersebut. Atau sibuk pasang perangkap
jelitawan untuk dibuat bini. Apa perlu risau, kalau projek gagal
pun semuanya duit rakyat. Kalau Jambatan retak pun, duit rakyat!,
kalau makmal sekolah runtuh pun, duit rakyat!, entah-entah kalau
buat kolam ikan koi kat rumah pun duit rakyat! kalau hidu gas
toksik pun, rakyat! Kalau mandi air busuk najis pun, rakyat!,
kalau makan siput babi pun, rakyat! Kalau duit tak ada pun,
boleh perah dari rakyat! Jadi macam Menteri Pelajaran, bila
kesatuan perguruan komen, dibalasnya, tunjukkan bukti, jadi
seperti menteri kerja raya, bila rakyat komen, katanya, mana ada
goyang?, jadi seperti seorang bekas menteri tu, bila bersara
menteri, jadi pengerusi TNB, mintak dinaikkan tarif letrik!,
habis apa yang diperjuangkannya dulu untuk rakyat dalam hal
tarif letrik ketika menjadi menteri berkaitan tenaga? Atau jadi
macam mantan menteri pelancongan yang bersara yang beria-ia
benar untuk terjun ke industri pelancongan. Gamaknya dulu sibuk
cari lobang masa jadi menteri?
Hari ini rakyat diminta berkorban lagi. Tanpa segan silu rakyat
diminta kongsi kereta, guna kereta paling kecil yang boleh,
kurangkan jumpak mak ayah di kampung. Sedang mereka begitulah
juga. Mungkin mereka jarang-jarang ke Ulu kampung untuk melihat
betapa rakyat sememangnya telah lama berkorban untuk
menyenangkan mereka di kerusi itu. Itu pun kini dah tiada alasan
kerana atas kerusi empuk kulit di rumah banglo mereka pun boleh
ditonton lelehan air mata rakyat di kaca TV sekarang ini. Minyak
tak naik hargapun rakyat dah tersedia makan kanji ubi 7 beranak
berpelitakan lampu minyak tanah! Tak pernah pun menatap bil
elektrik, apatah lagi bercakap pasal kenaikan tarif dan
kaitannya dengan harga minyak. Jauh sekali memegang kalkulator
untuk banding dolar, bhat, rupiah, peso, pound sterling, euro
dengan ringgit Malaysia!
Apa yang nak diterangkan oleh ahli-ahli UMNO kepada rakyat?
Jangan jadi macam lembu yang dicucuk hidung! Ahli-ahli perlu
sedar betapa mereka acap kali dipergunakan oleh atasan politik
mereka untuk kekal berkuasa dan buat sesuka! Tak pernah menteri
yang jatuh miskin bila bersara kerana berkorban untuk rakyat!
Yang ada hanya kerana hutang judi tak berbayar! Yang pasti lepas
pencen, hidup kaya akar umbi.
Cakaplah bagi pihak rakyat! Jangan jadi hamba politik. Kita
bukannya beli petrol harga dolar amerika dengan gaji RM
Malaysia. Kita beli petrol harga RM dengan gaji RM juga!.
Cerdikkan diri! Jangan jadi bodoh sombong. Yang merana ialah
kita juga, orang melayu yang kebanyakannya makan gaji dan
kerja kampung. Bukannya mereka! Bukannya rakan-rakan tauke
mereka!
Pak Ali
Padang Serai
|