|
user@FormMail.To
Reply-To: "Pak Ali" <user@FormMail.To>
To: editor1@umno-reform.com
Subject: (No subject)
Date: Thu 11/17/05 04:07 PM
From_Name: Pak Ali
Subjek: Request for Proposal
Segera: Yes
Pesanan: Sampai bila orang melayu akan berhenti bercakap masalah
merempat mereka. Sudah lama orang melayu menyanyikan bumi dipijak milik
orang. Huraian atas ungkapan itu tak pernah habis dan berkesudahan.
Mungkinkah kerana perjuangan belum selesai atau perjuangan yang tak akan
selesai. Kemelut melayu Pulau Pinang adalah kemuncak kepada kemelut yang
jugak berlaku disetiap pelusok tanah air yang asalnya milik nenek
moyang yang kaya raya! Tapi kini tergadai seluruh harta benda!. Dah lama
dah orang melayu menyanyikan ungkapan-ungkapan itu. Nampaknya semakin
menyanyi semakin menjadi. Dah puas jari-jari menunjukkan sebab
musababnya. Keris jugak tak letih dihunus. Tapi orang melayu masih tak
dapat berhenti bercakap masalah mereka.
Hendak menulis pun tak tahu dimana harus bermula. Terlalu
banyak titik permulaan yang penghujungnya nun jauh entah dimana.
Kalau kita belajar pengurusan kewangan peribadi, satu aspek penting
mencapai kebebasan kewangan ialah melupuskan hutang lapok secepat
mungkin. Kemudian baru kita bolek mengorak langkah bergaya mencapai
hasrat kebebasan kewangan. Jika dibaratkan perkara yang sama, masalah
orang melayu ini adalah ibarat hutang lapok yang begitu lama tak
terlangsai. Lebih teruk lagi hutang itu semakin hari semakin bertambah.
Belum lagi dikira kadar faedah dan inflasinya. Seakan mustahil untuk
mencapainya.
Lama sudah kita mengajar orang melayu untuk menabung. Semua orang melayu
ingat betapa merahnya baju makngah yang melabur di dalam ASB seperti
iklan di kaca TV satu masa dulu. Kita boleh dikatakan berjaya
sehinggalah apabila skim yang sama dibuka kepada semua, maka mereka
berebut mendapatkannya, meninggalkan kita. Baru kita nampak langit
tinggi rendah. Nampak belum tentu sedar. Kita terus memberikan apa-apa
lagi yang kita ada, termasuklah hak pendidikan kita. Dunia hari ini,
simpanan tidak menjamin kemakmuran dimasa depan. Seratus ribu hari ini
mungkin bernilai tiga puluh ribu 10 tahun depan. Malangnya orang melayu
hanya diasuh pentingnya melabur wang bukan melabur hartanah. Orang
melayu tak nampak betapa besarnya nilai tanah bendang, tanah sawit hatta
tanah semak samun belakang rumah sekalipun. Belum lagi bercakap nilai
sebuah rumah kedai di jalan Gelugor, Pulau Pinang.
Ketika aku di USM, aku kerap melayan keenakan nasi
kandar syarif di jalan Gelugor. Mulut yang menjamah sambil mata
melihat deretan rumah kedai seiringan deretan gerai-gerai yang
pemiliknya berlainan orang. Jangan dikata kerana negeri itu diterajui
oleh bukan melayu, hatta negeri diterajui melayu pun dicengkam masalah
yang sama. Bukan sahaja diterajui melayu malah dikatakan kubu kuat
parti melayu tergagah pun tak terlepas darinya.
Johor Darul takzim. Berapa banyak tanah-tanah milik melayu yang
terlepastangan hanya kerana untuk membesarkan rumah, membeli kereta
secara tunai atau menjalankan perniagaan yang tak menjadi. Orang melayu
Johor ada stailnya tersendiri, termasuklah dalam hal berbelanja. Yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Orang Johor yang
jujur pasti memahami apa yang aku cuba katakan ini. Kita harus
menyedari betapa pemikiran orang melayu masih ketinggalan berbanding
bangsa lain.
Pemikiran orang melayu lah yang menyebabkan mereka mudah melepaskan
hak-hak mereka. Ambil mudah dalam setiap tindakan, pekerjaan mahupun
pembelajaran. Paling menakutkan ialah ambil mudah dalam hal perjuangan
bangsa. Jangan sampai satu masa kelak kita akan tercari-cari di mana
manusia melayu di tanah tumpah darah nenek moyang ini! Hakikatnya
telahpun terjadi! Hampir setiap dari kita akan pernah tercari-cari
dimana rumah melayu bila berada di sesebuah kawasan perumahan di
bandar-bandar.
Tetapi mengapa kita masih mengambil mudah perkara ini? Tanah sawah
ditimbus, bukit bukau ditarah, hutan warisan diselongkar, kampung
halaman dilupuskan bagi memberi ruang kepada pembangunan baru (yang
dilaungkan dan diimpikan oleh orang melayu sendiri setiap kali
pilihanraya), yang akhirnya menyaksikan hak bangsa ini sendiri yang
terpinggir. Belum dikira harimau malaya di hutan yang dilapah oleh
tentunya bukan orang kita! Dimana orang kita yang menjadi ketua JKKK?,
penggubal dasar?, perancang bandar?, datuk bandar?, Menteri? Adakah
mereka ini telahpun bertukar tajuk kepada kontraktor?, peminum kopi yang
hebat? Atau ejen bagi menukar status tanah?, broker bagi pemaju
perumahan?, pengerusi pelincir penyamun ekonomi? Atau ejen bagi menjual
syer kepada orang asing?
Dalam kita berbicara, berforum, berdiskusi pasal kemelut bangsa ini,
kita terus menerus dihujani oleh berita-berita pengkhianatan ke atas
bangsa sendiri. Kerugian besar bank Islam (khabarnya bank islam membayar
harga yang tinggi untuk membangunkan sistem operasi berkomputernya),
Pecah amanah agensi pembangunan rakyat miskin, rasuah exco negeri,
rasuah bekas menteri tanah, kemelut MAS, Kemelut peranan GLC dalam
pembangunan usahawan bumi, PBT yang dikatakan diurus ala kongsi gelap (termasuk
ketua yg didakwa rasuah), berebut AP, Graduan menganggur, Royalti
minyak terengganu yang disekat dahulu, Kelantan yang hanya dibeliakkan
mata ketika pilihanraya, kebocoran projek ynag diAlibabakan, dan yang
terbaru ura-ura kemelut industri beras negara. Dalam menyenaraikan
inipun, hati ini masih terasa banyak lagi yang tertinggal kerana terlalu
banyak untuk diingat! Semua ini melibatkan orang kita sendiri. Siapakah
yang menggagalkan kita melainkan kita sendiri! Orang lain hanya
mengambil kesempatan dari kelemahan kita. Tidakkah kita sedar? Orang
yang sedar akan mengakuinya. Pernahkah kita lihat atau dengar orang
politik kita mengakui kegagalan mereka. Pernahkah UMNO mengakui
kegagalan mereka dalam mengemudi orang melayu? Walhal semua yang
terbongkar dan diselongkar menunjukkan kegagalan polisi dam misi politik
melayu sendiri.
Era pentadbiran Pak Lah sememangnya dan sepatutnya menyedarkan orang
melayu dari menggelamun dan mimpi indah mega itu dan ini hasil korupsi
pemikiran oleh pentadbiran terdahulu. Hari ini kita melihat pelbagai
pendedahan projek terbengkalai, kepincangan proses perundangan,
kemiskinan dan kesusahan rakyat yang dipaparkan dikaca TV saban minggu.
Namun begitu kita juga bernasib baik kerana dapat melihat karenah bodoh
ahli parlimen melayu berdebat pasal roket dan bandingannya dengan
pesawat discovery, iklan beras yang kononnya menjatuhkan maruah
raja-raja (mungkin lepas ini tiada lagi filem P.Ramlee di kaca TV atau
tiada lagi kedengaran iklan menarik susu kita minum dulu yang jugak
mungkin menyindir ahli parlimen sendiri!) di kaca TV. Melayu oh
melayu, dimanakah kesudahannya? Apakah yang bakal kita warisi
untuk anak cucu bangsa kita? Mungkinkah mereka kelak tidak kenal
lagi ayam itik, durian langsat, padi beras, nyiur kelapa? Kerana
semuanya bukan lagi milik kita, yang hanya mampu jual kampung dan
tinggal di rumah kotak sekangkang kera hasil pembangunan yang kita
laungkan.
|