BALIK KE MUKA UTAMA

UMNO meludah ke langit
Pak Ali


Pesanan: UMNO tidak jemu meludah ke langit dikala orang lain sedang  berlari ke langit!. Kebergantungan orang melayu yang melampau kepada UMNO lah yang menyediakan persekitaran yang merugikan orang melayu dan meresahkan bukan melayu. Orang melayu dan UMNO terus menerus leka kerana terlalu mengharapkan satu sama lain. UMNO tak punya rekod yang baik (kebelakangan ini) bagi membuktikan betapa kehadiran seorang pembuat keputusan melayu akan memperbaiki nasib orang melayu.

Kalau dikatakan orang melayu pulau pinang terpinggir dari mengecapi arus pembangunan negeri, bagaimana pula sikap kerajaan pusat yang menidakkan royalty minyak kepada rakyat Terengganu walaupun dipimpin oleh seorang  melayu jua? Mengapakah tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membawa pembangunan ke Kelantan walaupun ia juga diperintah seorang melayu?  Hatta menubuhkan sebuah universiti pun menunggu sehingga melayunya berkuasa bukan melayu lain. UMNO benar-benar mahu memajukan melayu?

Nasib melayu Pulau Pinang memang dihujung tanduk. Aku ada menerima maklumat beberapa tahun lepas ketika di kampus, yang aku kurang pasti ketepatannya, bahawa pemilikan hartanah melayu dibandar Tanjung hanyalah sekitar keluasan sebuah padang bola sepak! Hati manakah yang tidak resah dan bergelodak? Lihatlah di Bukit mertajam sendiri, Kg Alma tempat kelahiran ku itu, orang melayu hanya menunggu masa untuk hilang dari situ! Menjual tanah dan berhijrah ke pendalaman Kedah. Pembangunan Bandar Perda di Bukit Mertajam itu pula apakah pegangan orang melayu dalam hartanahnya? Datuk Musa Sheikh Fazir sendiri mungkin boleh  memberikan jawapannya kerana pembangunannya berkait rapat dengan diri beliau.

Dalam pada UMNO begitu beria-ia mengungkapkan perkataan kongsi kuasa (walau orang lain tidak pernah beria-ia untuk berkongsi ekonomi), UMNO begitu  resah dengan kuasa dan masih meletakkan harapan yang begitu tinggi bahawa hanya kuasa yang dikongsikan itulah yang akan menyelamatkan orang melayu! Dan sebahagian besar orang melayu masih percaya bahawa UMNO  adalah tunggak kuasa dan harapan orang melayu.

Tidak salah berkongsi kuasa, tidak salah DEB, tidak salah orang lain merasa gelisah atas dasar keistimewaan melayu, tidak salah orang lain membeli tanah melayu, salahnya ialah mereka yang berkuasa. Apabila mereka gagal melaksanakan polisi memajukan orang melayu maka mereka meluahkan kegelisahan mereka secara meludah ke langit. Melayu dalam bahaya adalah juga satu ludahan ke langit pemimpin melayu. Politik pembangunan yang diteriakkan oleh pemimpin melayu ini dan disambut girang orang melayu seluruhnya jugalah natijahnya yang meresahkan orang melayu. Bukankah itu juga satu ludahan ke langit? 

Apakah program besar pemimpin besar melayu dalam membentuk masyarakat  perniagaan kecil dan sederhana malayu yang terbukti kejayaannya? Mengapakah Arked MARA tidak pernah menjadi seperti Mid Valley Megamall walaupun kewujudannya sudah berdekad? Pekan Rabu begitulah juga! Berapa jauhkan kejayaan syarikat berkaitan kerajaan dalam membentuk usahawan melayu baru? Sekadar melahirkan pengerusi melayu bagi syarikat besar bukanlah suatu yang boleh dibanggakan.

Dimana-mana negeri pun tidak pernah ada kampung orang lain yang bertukar menjadi kampung melayu. Hanya kampung melayu yang bertukar menjadi  kampung orang lain. Kerajaan Selangor mungkin boleh berbangga dengan Shah Alam yang dianggap Bandar melayu, tetapi di manakah lagi? Orang Melayu Johor masih boleh bersembang tentang kebun-kebun kelapa sawit mereka hari ini, tetapi sampai bila? Tahukah kita betapa pantasnya kebun-kebunitu bertukar tangan? Pastikah kita pohon kelapa yang melambai-lambai ditepian jalan itu milik kita? Lihatlah disepanjang jalan sekitar Muar Batu Pahat Pontian.Pastikah kita tanah sawah yang menghijau di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kedah itu masih milik kita? Orang melayu tak  akan lama berbangga dengan tanah-tanah mereka. Sekarang umpama zaman  orang melayu menjual tanah mereka dan kemungkinan besarnya mereka tak  akan mendapatkannya semula. Dimanakah perancangan besar pemimpin melayu dalam menangani permasalahan ini? Orang melayu tak akan terbela walaupun dipimpin oleh orang melayu sendiri selagi punyai pemimpin yang tak malu meludah ke langit!


Pak Ali

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762