BALIK KE MUKA UTAMA

Petikan dari Bernama


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak perlu dipinda.

Hanya undang-undang yang kelihatan boleh menimbulkan kesusahan, salah interpretasi dan sebagainya yang perlu dikaji sama ada wajar atau tidak dibuat pindaan, katanya selepas melancarkan Antologi Puisi Sasterawan Negara A. Samad Said di sini.

Abdullah diminta mengulas perkara itu ekoran penyerahan memorandum bersama oleh 10 menteri kabinet bukan Islam kepada beliau Khamis agar beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Memorandum itu antara lain ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.

Artikel 121 (1a) menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Isu pertukaran agama timbul berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M.Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S.Kaliammal, dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau.

Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Dis lepas akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Dis berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, manakala Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan berikutan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak.

Mengenai memorandum daripada menteri-menteri bukan Islam, Perdana menteri berkata beliau menerimanya dengan hati yang terbuka dan menegaskan "sepatutnya kalau ada masalah, mereka perlu kemukakan dalam mesyuarat jemaah menteri daripada menghantar cadangan mereka dalam bentuk memorandum kepada saya."

"Saya lebih suka begitu dan sebab mereka telah menghantar kepada saya, saya akan membawanya kepada jemaah menteri," katanya.

Abdullah berkata beliau tidak tahu mengapa para menteri berkenaan bertindak demikian dan beranggapan kemungkinan mereka mahu menyampaikan pandangan secara bersama.

Para menteri akan dibenarkan bercakap mengenai isu itu pada mesyuarat kabinet yang akan datang, katanya.

Beliau berkata isu itu perlu dibincangkan secara objektif, tidak emosional atau mengungkit-ungkit perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti rakyat pelbagai kaum dan agama.

-- BERNAMA

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762