|
Wajibkan Mandarin ambil pekerja mesti dihenti
KUALA LUMPUR 30 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan
tindakan majikan swasta mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin
dalam kriteria pengambilan pekerja sebagai berat sebelah dan
beliau mahu perkara itu dihentikan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun pemilihan pekerja hak
majikan, namun mereka sepatutnya bersifat lebih terbuka untuk
menerima siswazah lulusan universiti tempatan tanpa mengenakan
syarat-syarat tertentu.
``Bila saya semak iklan (dalam akhbar) mereka nak siswazah
pandai bahasa Mandarin. Bila ada (kriteria tersebut) ia
menggambarkan berat sebelah dari segi penerimaan siswazah.
``Kita, biarlah bersifat terbuka dalam menerima siswazah (lulusan
universiti tempatan). Walaupun syarikat milik bukan bumiputera,
bila ambil mereka ini (siswazah bumiputera) bekerja, mereka juga
akan taat kepada syarikat. Justeru, jika ada unsur-unsur
sebegini, elok ditamatkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut Najib, jumlah siswazah yang dikeluarkan oleh institusi
pengajian tinggi tempatan meningkat kepada 85,000 orang pada
2005, berbanding 45,000 orang pada 2000.
Katanya, Kajian Pengesahan Graduan bagi Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) pada 2005 menunjukkan, sebanyak 32 peratus
daripada siswazah tersebut tidak mendapat pekerjaan selepas enam
bulan tamat pengajian.
``Namun begitu, lazimnya peratusan ini akan berkurangan
memandangkan kebanyakan mereka akan mula mendapat pekerjaan
selepas tempoh itu,'' katanya.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, antara faktor yang
menyebabkan pengangguran di kalangan siswazah tempatan ialah
wujudnya ketidaksepadanan antara institusi pengajian tinggi (IPT)
dengan keperluan pasaran, sama ada dari segi kuantiti mahupun
kualiti.
Katanya, ketidaksepadanan itu berpunca daripada kurangnya
kemahiran soft-skills di kalangan siswazah seperti kebolehan
berkomunikasi, penguasaan bahasa Inggeris, keupayaan
menyelesaikan masalah dan bekerja secara berpasukan.
Untuk mengatasi masalah itu, jelas beliau, IPT akan merangka
program akademik dan membangunkan kurikulum berdasarkan
keperluan pasaran bagi memastikan siswazah berupaya mendapat
pekerjaan.
|