|
Musuh UMNO adalah UMNO
Tuan Pengarang www.umno-reform.com
Sekalung tahniah saya ucapkan atas pendedahan isu UMNO Bandar Tun Razak dan di harap pendedahan itu akan memberi gambaran yang besar kepada kepimpinan tertinggi UMNO yang sentiasa mengulangi soal - soal perjuangan UMNO dan betapa perlunya UMNO membebaskan diri dari politik wang dan sebagainya. Pokoknya apa yang di katakan oleh kepimpinan tertinggi UMNO adalah soal integriti kepimpinan Bahagian, Cawangan dan Ahli UMNO sendiri. Pendedahan isu Bandar Tun Razak ini saya kira akan di label sebagai membuka pekong di dada oleh kepimpinan UMNO tetapi ianya perlu untuk mereka yang mahu melihat UMNO sebagai parti yang menerajui Melayu untuk Melayu.
Saya mula beranggapan bahawa saluran ini perlu ada agar kepimpinan yang punyai kuasa di perhati dan di adili oleh rakyat jelata. Saya akan tertarik mengenai isu BTR dan telah juga bertanyakan kepada rakan - rakan lain mengenai kesahihan isu tersebut. Nyata ianya sahih dan perkara ini benar - benar berlaku. Pendedahan ini akan memberi tekanan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat malah akan menghindar bahagian - bahagian lain dari turut mengalami keadaan yang serupa dengan BTR.
Seperkara yang amat menarik perhatian saya adalah penggunaan perkataan jenayah politik wang. Saya amat bersetuju penggunaan terma jenayah politik wang kerana bagi saya ianya adalah satu jenayah malah kalau di katakan mereka yang keluar dari UMNO adalah satu pengkhianatan maka perbuatan menggunakan kuasa untuk mengumpul wang dan kemudian menggunakan wang untuk terus berkuasa dan menyalahgunakan kuasa adalah jauh lebih dahsyat pengkhianatan yang dilaksanakan. Kita perlu sedar bahawa kuasa yang di salah guna memberi kesan yang negatif kepada rakyat keseluruhan dan mereka yang kembali kepada UMNO setelah menentang UMNO harus di adili oleh ahli - ahli sendiri.
Saudara Pengarang
Legenda UMNO kebanyakan bahagian berkisar pada harapan dan cita - cita ahli antara mereka yang ikhlas dan tidak ikhlas, beragenda besar untuk rakyat atau sendiri. Konsep pemilihan borong di amalkan dalam UMNO. Individu akan naik berserta sekumpulan rakan mereka sama seperti kita memborong sayur di pasar borong, tidak kira ada yang rosak atau tidak di borong habis. Individu yang naik akan membawa rakan - rakan mereka dalam bahagian tidak kira kualiti. Ini amat jelas dengan apa yang kita sebut sebagai "cai".
Pengamalan kepimpinan borong ini sebenarnya di terima oleh ahli - ahli yang menagih tempat dalam UMNO. Mereka melakukan apa sahaja, bayar dan keluar duit puluhan ribu untuk tempat. Ini adalah kerana dengan tempat tersebut maka puluhan juta mampu di bentuk. Amalan inilah yang menjadi intipati pemilihan dalam UMNO dan amalan ini lah yang perlu di tangani. Kita tidak perlu menjerit, menangis dan melolong mahukan peningkatan integriti kerana keruntuhan integriti bercambah dalam UMNO, dalam pemilihan UMNO dan wang. Dengan itu jugalah bagi saya musuh utama UMNO adalah UMNO sendiri, mereka yang naik kerana wang dan kekal ada kerana wang.
Saya tidak menentang UMNO malah saya jangka parti mana yang hadir juga akan berkisar dalam keadaan yang sama. Oleh itu perubahan perlu ada, dengan peruntukan perlembagaan yang menutup segala kemungkinan untuk memberi ruang kepada rasuah dan politik wang bermaharajalela.
Kita ambil contoh Lembaga Disiplin UMNO. Mereka yang di lantik di bahawa satu sistem yang kita sedia maklum penuh dan sarat dengan budaya negatif politik wang dan rasuah. Oleh itu setiap keputusan yang di keluarkan oleh Lembaga itu akan di terus persoalkan. Mampukah kepimpinan tertinggi UMNO memberi amaran supaya jangan di persoalkan keputusan tersebut sedangkan mereka mempunyai hak untuk tidak berpuas hati mengenai keputusan tersebut. Isu sebenarnya mereka tidak puasa hati dengan komposisi Lembaga Disiplin dan banyak keputusan yang di buat oleh Lembaga itu ampuh dan boleh di persoalkan.
Saudara Pengarang,
Apa pun saya memberi tabik hormat kerana memaparkan isu - isu sebegini dalam UMNO. Kita perlukan perubahan dan perubahan itu perlu menyeluruh. Teruskan umno-reform semoga berjaya.
Sokong perubahan dalam UMNO
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|