|
MRR2, jangan perjudi nyawa pengguna - Fomca
Monday, January 16 @ 12:29:36 MYT
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh) - Kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR)
diminta segera memperjelas keadaan sebenar Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2
(MRR2) yang hari ini dibimbangi tahap keselamatan penggunaanya, kata
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd
Yusoff Abdul Rahman.
Menurut Mohd Yusoff, pihaknya meminta satu penjelasan secara jujur dan
tepat dibuat JKR memandangkan banyak rungutan dari pelbagai pihak
berhubung tahap keselamatan MRR2 yang dibuka semula pada November 2005
setelah ditutup akibat masalah yang sama sebelum ini.
"JKR sepatutnya perlu memastikan bahawa status jalan tersebut
benar-benar selamat sebelum membukanya.Kita tidak nafikan MRR2 penting
bagi mengatasi kesesakan lalulintas yang teruk di Kepong,
"Tetapi kerajaan atau JKR diingatkan supaya jangan memperjudikan nyawa
orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut," katanya ketika
dihubungi sebentar tadi bagi mengulas isu keluhan orang ramai berhubung
tahap keselamatan MRR2.
Mengulas lanjut isu itu Mohd Yusoff berkata, sebelum ini ketika MRR2
ditutup buat sementara pada tahun lalu akibat punca yang sama kerajaan
berjanji akan mengarahkan kontraktor Bumi Hinghway menyudahkan
kerja-kerja pembaikpulihan struktur jalan yang rekah, katanya.
Sehingga MRR2 dibuka pada November lalu, pengguna lebuh raya itu
merasakan ianya sudah selamat memandangkan JKR sendiri yang mengumumkan
pembukaan semula lingkaran tengah itu kepada kenderaan ringan sahaja,
katanya.
Bagaimanapun mutakhir ini, kejadian yang sama berulang kembali
mengakibatkan pengguna was-was menggunakan lebuh raya tersebut, katanya.
"Pengguna bimbang sebab MRR2 tidak selamat, tetapi mereka tidak ada
alternatif lain bagi mengelak kesesakan yang teruk di kawasan terbabit.
"Jika JKR mendapati keadaan MRR2 tidak selamat digunakan, pengumuman dan
penjelasan secara rasmi perlu dibuat segera.Jika MRR2 ditutup, satu
jalan alternatif lain bagi mengelak kesesakan perlu diadakan," katanya.
Sehubungan itu Fomca sekali lagi menggesa kerajaan terutamanya JKR
segera menjelaskan status MRR2 kepada umum supaya pengguna lebuh raya
tersebut tidak merasa tertekan dengan situasi yang dihadapi kini,
katanya.
"Jika JKR enggan berbuat demikian kita akan menulis surat kepada Kabinet
dan pihak berwajib bagi meminta penjelasan," katanya.
Menurut laporan akhbar harian, jejambat retak MRR2 yang ditutup tiga
bulan dan dibuka semula November lalu, masih tidak selamat digunakan
kerana ia berhayun kuat dan dipercayai berada di tahap akhir
toleransinya.
Laporan itu menyebut lebuh raya bertingkat itu boleh runtuh jika
kerja-kerja membaiki keretakan strukturnya (31 daripada 33 tiang dan
palangnya retak) tidak dilakukan segera.
Maklumat sulit teknikal yang diperoleh mendedahkan, runtuhan boleh
berlaku apabila tahap rekahan yang sedang membesar (expansion) itu
mencecah pada kadar 0.4 peratus.
Pada masa ini, tahap merekahnya berada pada kadar 0.2 peratus. Proses
merekah itu melebar pada kadar 0.1 peratus setahun.
Ini bermakna, jangka hayat jejambat itu hanya boleh bertahan dua tahun
lagi.
Akhbar itu juga menyebut bahawa pakar pembinaan jambatan menyatakan
tempoh setahun ini merupakan tempoh yang ``penuh dengan risiko jika
kerja-kerja pembetulan tidak dilakukan segera. Tahap risikonya meningkat
dari sehari ke sehari.
"Jejambat itu perlu ditutup sehinggalah kerja-kerja itu dijalankan. Apa
yang berlaku sekarang beban kenderaan yang berada di laluan itu,
terutama ketika waktu puncak sungguh berbahaya kepada jejambat itu.
Jejambat itu berhayun. Saya sendiri takut apabila berada di atasnya,
kita akan rasa pening," kata sumber teknikal itu yang tidak mahu
didedahkan identitinya.
"Kekuatan besi di dalam strukturnya telah lemah (yield) kerana besi
semakin memanjang. Ini mengakibatkan kekuatan simpanan (reserve) pada
besi itu sudah berkurangan," katanya yang menerangkan secara teknikal
kedudukan jejambat itu.
Keretakan pada jejambat sejauh 1.7 kilometer itu telah menimbulkan
kontroversi sehingga memaksa ia ditutup pada 8 Ogos 2005.
Ekoran itu satu kumpulan pakar perunding yang menjalankan kajian
keretakan itu, Halcrow Group Limited dari United Kingdom dilantik bagi
mengkaji kedudukan jejambat tersebut selama sebulan.
Kerajaan pada November tahun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa MRR2
selamat digunakan sementara kerja-kerja pembaikpulihan MRR2 yang
dijangka menelan RM20 juta dijangka akan disiapkan setidak-tidaknya pada
Jun 2006.-wn.
|