BALIK KE MUKA UTAMA

Kebangkitan pekerja 6 hari lagi


 

6 hari lagi MTUC yang mewakili pekerja - pekerja di bawah gabungan mereka akan bangkit menyatakan bantahan ke atas peningkatan harga minyak. Suara pekerja ini sekali gus melenyapkan tanggapan bahawa isu era kenaikan harga minyak sudah berakhir. Ini juga pasti akan melenyapkan sebarang hujah yang mendakwa hanya parti - parti politik sahaja yang membantah dan menggunakan isu kenaikan harga minyak sebagai gimmik politik mereka. Kehadiran MTUC dan disokong oleh gabungan - gabungan NGO akan menyemarakan bantahan ini dan bantahan ini bagi saya akan memulakan langkah baru bila pekerja bangkit menentang kenaikan harga minyak.

Pekerja - saudara dan saya sendiri pasti akan merasakan bebanan apabila harga minyak meningkat dengan begitu drastik sekali. Persoalan keuntungan Petronas seakan tidak sealiran dengan peningkatan harga minyak menjadi isu semasa. Akhirnya dengan alasan seperti "kita tidak boleh menjadi masyarakat subsidi" di lontarkan seolah - olah pengguna, pekerja dan rakyat semua adalah pengemis di sisi pemerintah.

Ini bertentangan sekali dengan hasrat dan penekanan Pak lah mengenai 'modal insan". Kempen "kita tidak boleh jadi masyarakat subsidi" harus dihentikan oleh kerajaan kerana rakyat bukan peminta sedekah. Amanah yang diberi oleh rakyat kepada kerajaan memerintah tidak harus menyebabkan golongan ini mendabit dada konon - kononnya subsidi itu adalah sifat peminta sedekah.

Kerajaan sepatutnya menjangka bahawa peningkatan harga minyak ini akan menimbulkan reaksi marah dan kecewa mereka terhadap kerajaan yang ada sekarang ini. Pasti kenaikan harga ini akan membebankan mereka kerana kerajaan tidak akan mampu menahan lain - lain barang untuk terus kekal pada harga yang sama. Saya sendiri hampir pasti bahawa peningkatan harga ini akan menimbulkan reaksi seperi apa yang ada sekarang ini. Mungkin kerajaan boleh menuruti teknik SYABAS - dengan mengumpulkan ahli - ahli UMNO untuk turut berdemo menyokong kenaikan harga minyak seperti mana yang SYABAS lakukan untuk kenaikan harga air dan penswastaan air. Bayangkan sekumpulan orang datang menjerit - jerit HIDUP SYABAS di pejabat MTUC yang menandakan sokongan mereka terhadap kenaikan air dan penswastaannya.

Apa pun sekiranya kerajaan dan kepimpinan parti memerintah mahu membuat bentuk - bentuk demo tersebut maka saya selaku ahli biasa UMNO harus meminjam kata - kata petikan dalam wayang Puteri Gunung Ledang - kalau menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar, lantas tidak akan sertai demo seperti itu.

Beberapa hari lagi - MTUC mewakili hampir 800,000 pekerja akan hadir menyatakan suara mereka mengenai kenaikan harga minyak. Tidak akan ada pekerja yang menyokong kenaikan harga minyak tersebut, itu saya pasti. Kalau ada yang menyokong kenaikan maka mereka dicabar untuk berkumpul menyatakan sokongan kenaikan minyak - satu perbuatan yang pasti akan memalukan diri atau memberi hasil kecil kepada yang hadir.

esok - Pekerja harus bersuara - kita bukan pengemis

M.Jaafar Malek adalah Ahli UMNO - Wilayah Persekutuan, merangkap AJK Biro dalam MTUC, Setiausaha Kerja Kesatuan Sekerja IWK  dan  juga adalah antara mereka yang sama - sama melahirkan www.umno-reform.com.

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762