|

PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN
JELUTONG
www.pemudaumno_jelutong@hotmail.com
MEMORANDUM
PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN JELUTONG
KEPADA Y.A.B DATO SERI HAJI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI , PERDANA MENTERI
MALAYSIA
Sesungguhnya kami Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelutong
amat sedih dan bimbang dengan pembangunan yang begitu pesat dan cepat
keatas tanah milik persendirian ataupun milik syarikat yang melibatkan
orang orang Melayu khususnya di persikataran Jelutong. Mengintai kembali
sejarah yang membabitkan lot 326 hingga 332 Sek 1 dan lot 581,586 & 589
Sek 14 Bandar Jelutong ini adalah dari tahun 1997 lagi . Pihak Qaryah
Masjid Jamek Jelutong telah menghantar sepucuk surat kepada YB Dato Mohd
Shariff Bin Haji Omar yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Menteri
Pulau Pinang serta Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP)
untuk mengambil tindakan selanjutnya .Malangnya surat itu tidak mendapat
sebarang jawapan serta reaksi daripada pihak YB Dato Timbalan Ketua
Menteri . Tidak dengan itu sahaja , malah pada tahun 2000 pula , sepucuk
surat telah dihantar kepada YAB Dato Seri yang pada masa itu sebagai
Timbalan Perdana Menteri . Alhamdullilah , salinan sepucuk surat kepada
YB Dato Dr Helmi Haji Yahaya selaku Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang
merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) telah
diterima daripada pihak YAB Dato Seri agar permohonan Jawatankuasa
Qaryah Masjid Jamek Jelutong ini diteliti dan diambil tindakan segera .Walaupun
pahit juga hendak ditelan , namun semangat untuk tidak mengaku kalah
daripada melihat nasib nasib bangsa Melayu terus dihalau dan merempat ,
sekali lagi pihak Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Jelutong telah
menghantar sekali lagi sepucuk surat kepada YAB Dato Seri pada 10hb
April 2004 . Walaupun sehingga sekarang tiada tindakan serta reaksi
daripada pihak YAB Dato Seri , tetapi kami percaya bahawa YAB Dato Seri
akan terus membela nasib orang orang Islam serta Melayu Bandar dengan
ikhlas dan bijaksana .
Untuk pengetahuan YAB Dato Seri juga , diantara projek projek
pembangunan yang akan dibangunkan disekitar kawasan setempat adalah
seperti berikut :
1. Projek Pembangunan oleh Concorde Land Sdn Bhd diatas Lot 326 hingga
332 Sek 1 Bandar Jelutong & Lot 581,586,588 dan 589 Sek 4 Bandar
Jelutong , terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Jelutong.
2. Projek Pembangunan Syarikat Lim Kheng Kim (yang melibatkan lebih
kurang 70 hingga 80 buah rumah terletak di Jalan Mohd Taib dan Jalan
Tengku yang mana tanah pemilik asalnya ialah Allahyarhamah Shariffah
Aloyah.
3. Projek Pembangunan Syarikat Kobay Properties Sdn Bhd yang melibatkan
pembangunan di Jalan Kota Giam .
4. Projek Pembangunan Bendwind Sdn Bhd yang melibatkan pembangunan di
Jalan Kota Giam.
5. Projek Pembangunan Kampung Tengah , Jelutong oleh Syarikat Udabina
Sdn Bhd bersama JKP yang terbelangkalai melebihi 3 tahun . JKP hendaklah
memastikan serta menumpu pembangunan di kawasan tersebut dengan segera
dan perlu bertegas dan meletakkan noktah dalam menyelesaikan masalahnya
Menyedari tentang keupayaan dan kemampuan yang ada, maka seharusnya
golongan warga Melayu bandar tidak sepatutnya dipinggirkan malah perlu
dibela dan diberi perhatian khusus dalam pelbagai aspek kerana warga
Melayu bandar adalah golongan yang bakal melahirkan serta membentuk
remaja yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara suatu hari
nanti.
Justeru, kami mewakili seluruh warga Melayu Bandar Jelutong mengharapkan
agar YAB Dato Seri dapat memberi perhatian dan akan terus membela nasib
warga Melayu Bandar di Jelutong. Menerusi memorandum ini juga , kami
ingin merayu dan memohon simpati daripada YAB Dato Seri supaya masalah
pembangunan di kawasan Jelutong diberikan perhatian yang sewajarnya dan
serius agar orang orang Melayu Bandar tidak lari meninggalkan kawasan
Jelutong dalam arus pembangunan .Kami juga sedar bahawa pembangunan yang
akan datang dikawasan ini tidak dapat dielakkan , tetapi ianya akan
tetap berlaku . Tetapi biarlah pembangunan ini terus dan memberi manfaat
kepada semua penduduk asal Jelutong.
Maka dengan ini kami :
1. Ingin Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) mengambil alih tanah
diatas lot 326 hingga 332 Sek 1 Bandar Jelutong & Lot 581,586,588 dan
589 Sek 4 , Bandar Jelutong – terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek
Jelutong dari dijadikan kawasan komersial oleh Concord Land Sdn
Bhd.Dengan pengambilan tanah itu , pembangunan yang dirancangkan
terdahulu dapat dihentikan dan mengelak masalah masalah social
bersebelahan masjid . Pengambilan tanah ini oleh Majlis Agama Islam
Pulau Pinang ini akan mengelak kejadian kejadian serta suasana yang
tidak diingini sepertimana berlakunya keatas Masjid Bayan Baru baru baru
ini . Laungan azan masjid telah menyebabkan penghuni penghuni
bersebelahan Masjid kurang selesa dan membuat aduan masalah laungan azan
tadi . Ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan perasaan marah oleh
orang orang Islam yang mana isu ini amat sensitive dan tidak perlu ada
pertikaian. Bersempena dengan kempen ISLAM HADHARI yang diperkenalkan
oleh YAB Dato Seri sendiri . Tanah tanah lapang bersebelahan Masjid
Jamek Jelutong ini perlu diambil alih oleh Majlis Agama Islam Pulau
Pinang (MAIPP) untuk pembesaran masjid yang sudah tidak dapat menampung
jemaah di persekitaran Jelutong.
2. Oleh yang demikian, kami memohon keprihatinan, kesunguhan dan
kebijaksanaan Majlis Agama Islam Pulau Pinang agar dapat bertindak dan
menjadi sebuah badan yang membela bangsa Melayu dari faktor pembanguan
khususnya di Pulau Pinang. Adalah menjadi harapan Pemuda UMNO dan
seluruh warga Melayu Bandar agar Majlis Agama Islam Pulau Pinang dapat
melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan dalam membela
Agama, Bangsa dan Negara.
Akhirnya , Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelutong menaruh setinggi
tinggi harapan kepada pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan pimpinan UMNO
untuk terus peka dalam menangani isu serta masalah pembangunan di
Jelutong yang menghimpit serta mengeksploitasi orang orang Melayu akan
dapat diatasi dengan kadar segera . Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian
Jelutong amat mengharapkan campur tangan YAB Dato Seri dengan segera
untuk menimbangkan agar tanah disebelah Masjid Jamek Jelutong diatas Lot
326 hingga 332 Sek 1 Bandar Jelutong dan Lot 581,586,588 & 589 Sek 4
Bandar Jelutong dihentikan sebarang pembangunan sehingga semua
perundingan bersama Qaryah Masjid Jamek Jelutong dipersetujui .Pergerakan
Pemuda UMNO Bahagian Jelutong juga memohon simpati YAB Dato Seri supaya
masalah pembangunan di Jelutong diberikan perhatian yang serius agar
orang orang Melayu tidak lari meninggalkan kawasan asalnya Sekiranya
tiada tindakan segera diambil atau ditangani , maka Melayu hanya akan
menjadi tinggalan sejarah dikawasan Jelutong.
HIDUP ISLAM - HIDUP MELAYU - HIDUP MALAYSIA
Yang benar,
(ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN)
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Jelutong
|