BALIK KE MUKA UTAMA

 

 

 

Kepada;

YB Datuk Seri Hishamuddin Hussein,
Menteri Pelajaran Malaysia,
Kompleks Kerajaan Persekutuan Parcel E,
Pusat Pentadbiran kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya, Malaysia 21 Februari 2006

YB Datuk Seri,

MEMORANDUM MENGGESA PERHATIAN KERAJAAN TERHADAP ISU-ISU PENDIDIKAN YANG TERTUNGGAK

Perkara di atas adalah dengan segala hormatnya dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memberikan perhatian serius terhadap perkembangan isu-isu semasa pendidikan negara kerana ia adalah satu jambatan yang penting dalam pembinaan negara bangsa yang maju pada masa hadapan. Atas kesedaran ini, DPP Pusat membuat pertemuan bersemuka dengan YB Datuk Seri bagi membolehkan beberapa isu ini dirundingkan untuk kebaikan bersama, dan Kami mengucapkan terima kasih di atas kesedian YB Datuk Seri bertemu Kami pada hari ini.

Terdahulu DPP Pusat merakamkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran di atas perlantikan Datuk Noh Omar sebagai Timbalan Menteri Pelajaran yang baru. DPP Pusat juga merakamkan terima kasih kerana Kementerian Pendidikan telah berjaya menyelesaikan beberapa isu pendidikan secara positif seperti isu penggunaan talifon bimbit di sekolah, pengekalan waktu persekolahan dan pengagihan buku teks percuma sepenuhnya pada masa hadapan.

Namun begitu, bagi DPP Pusat, masih terdapat beberapa isu besar yang perlu dilihat secara bersama kerana ia melibatkan kecemerlangan pendidikan negara. Antara isu-isu yang penting pada pandangan DPP Pusat tetapi belum ditangani dengan berkesan ialah:

i. Keselamatan pelajar

Masalah keselamatan pelajar sekolah semakin serius hari ini apabila meningkatnya kejadian ke atas pelajar. Kes-kes bunuh, rogol, culik, ragut dan sebagainya ke atas pelajar adalah sangat membimbangkan, tidak termasuk kejadian jenayah yang dilakukan sendiri oleh pelajar seperti gangsterism. Ini tidak termasuk jenayah yang berlaku ketika mengikuti tuisyen atau kelas tambahan. Kementerian patut melihat pendekatan yang lebih efisyen termasuk peningkatan kawalan keselamatan dan kemudahan bukan sahaja di sekolah, tetapi sepanjang jalan yang digunakan pelajar untuk ke sekolah. Waktu pembelajaran yang memaksa pelajar terlalu awal kesekolah atau terlalu lewat pulang juga perlu dikaji semula.

ii. Gejala sosial di kalangan pelajar

Gejala social juga semakin parah pada hari ini melibatkan remaja kita termasuk pelajar sekolah. Isu-isu seperti ponteng sekolah atau nakal di sekolah sudah tidak menjadi isu utama, sebaliknya isu gangsterism, dadah, lepak dan aktiviti seks bebas sudah menular ke sekolah. Bahkan, penggunaan sistem pesanan ringkas (sms) mula menjadi alat penyebar bahan-bahan lucah di kalangan pelajar selain VCD. Ada dakwaan mengatakan ‘pelakon’ sms lucah itu di kalangan pelajar sendiri. Pihak Kementerian perlu memikirkan pendekatan yang lebih baik untuk memulihkan akhlak pelajar termasuk pendekatan agama supaya mereka tidak terjebak kepada perkara keji.

iii. Peningkatan kos pendidikan

Satu isu yang menjadi rungutan ibu bapa di luar bandar dan berpendapatan rendah ialah peningkatan kos pendidikan. Selain masalah yuran awal tahun yang bertembung dengan musim perayaan, masalah buku teks dan tambang bas juga menjadi rungutan. Musim persekolahan awal tahun sering dikaitkan dengan bencana tengkujuh, persiapan pakaian persekolahan dan lain-lain. Dalam masa yang sama buku-buku teks dan buku latihan juga perlu dibeli. Tambang bas juga semakin meningkat. Bagi ibu bapa berpendapatan rendah di bandar, kelas-kelas tuisyen menjadi kewajipan kerana persaingan yang lebih tinggi. Bebanan ini harus dikurangkan supaya ibu bapa dan pelajar lebih selasa. Strategi buku teks percuma adalah satu pendekatan yang sangat baik. DPP Pusat mencadangkan supaya yuran sekolah tidak dibayar pada awal tahun untuk mengurangkan ‘longgokan’ bebanan kepada ibu bapa, selain peningkatan kualiti perkhidmatan bas selaras dengan tambang. Lebih baik jika kerajaan memberi subsidi kepada pengusaha bas bagi meminimumkan tambang.

iv. Pembangunan tidak seimbang di luar bandar

DPP Pusat mengakui telah berlaku banyak peningkatan infrastruktur pendidikan sejak kebelakangan ini tetapi ia sangat tidak seimbang di antara sekolah-sekolah luar Bandar yang terlalu dhaif dengan sekolah bandar yang ‘serba ada’. Kebanyakan pelajar luar bandar adalah anak Melayu yang miskin dan ketinggalan. Mereka patut diberikan perhatian yang lebih termasuk penyedian guru yang lebih berkualiti di luar bandar. Kemudahan alat bantu mengajar juga dipertingkatkan di sana. Pada masa dahulu, anak-anak Melayu yang cemerlang di luar Bandar diberi peluang yang luas untuk memasuki sekolah sains dan asrama penuh, kini tempat tersebut banyak diisi oleh pelajar bandar kerana pencapaian mereka lebih tinggi dalam perperiksaan. Sangat baik jika kerajaan menubuhkan sekolah-sekolah sains dan teknologi yang lebih banyak di luar bandar khusus untuk anak-anak miskin. Kelas-kelas khas, pemulihan dan pendekatan pedagogi yang lebih berkesan perlu disediakan kepada mereka, selain khidmat kaunseling untuk ibu bapa bagi meningkatkan penglibatan keluarga dalam pendidikan anak-anak luar bandar.

v. Sekolah sebagai alat perpaduan nasional

Walau apapun hujah yang diberikan, satu hakikat yang perlu diakui ialah sekolah masih gagal untuk menjadi jambatan perpaduan nasional. Kelemahan sama ada berpunca daripada sistem, infrastruktur atau faktor primodial belum dipastikan lagi. Yang jelas Sekolah Wawasan telah ‘terkubur’. Pemimpin pelbagai kaum, termasuk di kalangan pemimpin BN tidak memberikan perhatian serius terhadap usaha kerajaan. Mungkin pendekatan fizikal seperti Sekolah Wawasan dirasakan tidak berfaedah. DPP Pusat mencadangkan supaya sekolah-sekolah diwajibkan mengajar subjek-subjek berasaskan kontrak sosial dan kesedaran perpaduan, tidak terikat dengan kurikulum biasa sahaja. Perasaan ‘ke-Malaysiaan’ mesti disemai di bilik darjah, bukan di kantin.

vi. Bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik

Penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi natijah yang buruk. DPP Pusat tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris, tetapi strategi kerajaan adalah mundur kebelakang. Kita mahu melahirkan bangsa Malaysia, bukan bangsa Inggeris. Kita patut belajar daripada kesilapan Singapura apabila anak Melayu mula tidak tahu berbahasa Melayu dan sudah ada warga mereka menyesal dilahirkan sebagai Cina atau India, kerana mereka lebih selesa menjadi ‘orang Inggeris’. DPP Pusat mencadangkan supaya bahasa Melayu dikembalikan sebagai pengantar utama di sekolah.

vii. Kaedah penilaian perperiksaan awam

Bertolak daripada masalah bahasa Inggeris, keputusan PMR yang terbaru banyak dipertikaian orang, termasuk para cendikiawan. Isunya, kaedah penilaian dan penggredan markah. Kita tidak tahu berapa markah lulus subjek-subjek kritikal seperti sains dan matematik, termasuk markah untuk gred A. Yang dilaporkan ialah berlaku peningkatan dalam peratus pelajar yang lulus matematik dan sains selepas penggunaan bahasa Inggeris. Perkara ini patut ditangani secara telus oleh kerajaan, bukannya menegakkan benang yang basah. Akibatnya, para pelajar kita tidak cemerlang kerana mereka lulus dengan markah ‘tidak lulus’. Cara sebegini bukan satu strategi meningkatkan kualiti pendidikan, tetapi seolah-olah ‘menanam dedalu’ dalam sistem pendidikan.

viii. Orientasi perperiksaan sebagai pengukur pencapaian

Kita bersyukur apabila setiap tahun berlaku peningkatan pencapaian pelajar dalam perpiksaan. Yang menjadi kekeliruan ibu bapa ialah orientasi perperiksaan yang begitu diberikan tumpuan oleh guru-guru tanpa mengambil berat keupayaan sebenar kognitif pelajar. Setiap hari guru-guru memberikan perhatian kepada pencapaian perperiksaan melalui strategi soalan ramalan, latih tubi, mengajar bab terpilih, hafalan jawapan dan seumpamanya sehingga melahiran pelajar-pelajar yang bijak dalam perperiksaan tetapi tidak ada kematang emosi dan intelek. Lihat sahaja bagaimana graduan universiti dianggap tidak berkualiti kerana lulus dalam sistem yang tidak melahirkan kecekapan mental, intelek dan emosi. Strategi perperiksaan juga menguntungkan pelajar perempuan kerana cara kita lebih sesuai dengan naluri perempuan. Kerana itu pelajar perempuan lebih maju dalam perperiksaan, dan pelajar lelaki yang selalunya aktif dan memiliki kepintaran tidak berasaskan perperiksaan akan tercicir. Kita tidak boleh menolak kepintaran ‘Mat Rempik’ atau budak-budak nakal yang kreatif dalam aktiviti mereka. Tetapi kepintaran itu terpaksa disalurkan ke tempat-tempat yang tidak berfaedah kerana tidak mendapat sokongan dalam pendidikan di sekolah. Pendekatan vokasional adalah satu cara yang berkesan, tetapi orientasi perperiksaan hari ini memang tidak berupaya melahirkan pelajar benar-benar cemerlang.

ix. Geran tahuan sekolah agama rakyat (SAR)

Isu geran perkapitan untuk SAR telah lama berlaku dan banyak diperkatakan. Faktor dendam politik memainkan peranan dalam memusnahkan pendidikan agama kepada anak-anak bangsa. Telah banyak SAR yang terkubur akibat dasar kerajaan yang tidak bertimbang rasa ini. Majlis Raja-raja telah mengarahkan supaya Suruhanjaya Murad mengkaji masalah SAR ini, tetapi sehingga hari ini laporan suruhanjaya itu tidak dibentangkan kepada awam. Kami tidak tahu apa pandangan suruhanjaya dalam soal ini, dan Kami mahu kerajaan bersikap telus dengan mendedahkan butir-butir laporan itu. Kedua, soal SAR itu sendiri yang sepatutnya dibebaskan daripada sekatan ekonomi kerajaan. Geran perkapita patut dikembalikan khususnya dalam rangka kerajaan untuk menggerakkan Dasar Islam Hadhari. Isu-isu sosial di kalangan pelajar jelas menunjukkan kurangnya kesedaran agama di kalangan anak-anak, maka mengapa kerajaan membunuh sekolah agama yang boleh menjadi benteng pertahanan sosial mereka.


x. Penyelewengan dalam pembangunan infrastruktur pendidikan

Masalah penyelewengan dalam pembangunan infrastruktur sekolah telah berlaku agak lama. Isu-isu seperti keruntuhan makmal komputer, keretakan bangunan sekolah, keruntuhan atap bilik darjah dan sebagainya jelas menunjukkan bahawa berlaku penyelewengan dalam pembangunan infrastruktur. Sama ada salah laku ini bermula di kalangan pegawai kementerian atau penipuan oleh kontraktor itu menjadi soalan kedua, isu utamanya bahawa penyelewengan telah berlaku. Kementerian perlu lebih serius melihat perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan pelajar dan guru-guru. Kita sangat bernasib baik kerana runtuhan-runtuhan yang berlaku kerana faktor manusia ini belum membunuh mana-mana pelajar atau guru. Ketelusan dalam pengagihan tender dan kontrak sangat penting supaya ia tidak dipengaruhi oleh faktor kroni atau rasuah.

xi. Campur tangan politik kepartian dalam perlantikan pegawai pendidikan

Masalah campur tangan ini juga bukan isu baru bahkan sudah menjadi kefahaman umum bahawa jawatan pegawai tertinggi pendidikan berasaskan ‘merit politik’ selain kecemerlangan tugas. Tetapi sangat mendukacitakan apabila parti politik terlibat secara langsung dalam perlantikan pegawai seperti yang berlaku di Kelantan. Sangat memalukan apabila Menteri cuba mendapatkan ‘endorsement’ Umno Kelantan dalam melantik Pengarah Pendidikan Negeri sehingga memberi tanggapan bahawa beberapa Pemangku Pengarah sebelum ini tidak direstui oleh Umno.

Demikianlah beberapa perkara yang Kami rasakan penting untuk diberikan perhatian oleh YB Datuk Seri dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, seterusnya menjana kepentingan bersama demi kemajuan negara.

DPP Pusat berharap agar beberapa pandangan dan cadangan Kami mendapat perhatian dan tindakan pihak YB Datuk Seri.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah,


SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762