|
MEDIA PAS SELANGOR
PAS Selangor menjunjung kasih
kepada Sultan Selangor
PAS Selangor menjunjung kasih di atas keprihatinan DYMM Sultan
Selangor berhubung kes banjir terburuk dalam sejarah Shah Alam
yang berlaku pada hari Ahad 26 Febuari yang lepas.
Ketegasan Tuanku memerintah mengadap para pegawai kanan kerajaan
negeri yang bertanggungjawab termasuklah Datuk Bandar Shah Alam
dan para pegawai lain dari Jabatan Parit dan Taliair Negeri dan
JKR Negeri ke Istana semalam membuktikan kebimbangan Tuanku yang
seiring dengan kebimbangan rakyat jelata berhubung kaedah
pengendalian dan pengurusan sungai dan parit di negeri ini yang
begitu buruk sehingga menjejaskan penghidupan rakyat dan
memusnahkan harta benda awam dan persendirian.
Sesungguhnya PAS Selangor mohon bersetuju dengan pandangan
Tuanku dalam melahirkan perasaan terkejut melihatkan bagaimana
Shah Alam yang kini telah memperolehi status Bandaraya boleh
dilanda banjir yang sedemikian buruk.
Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato Seri Dr
Khir Toyo yang ghairah dengan status Negeri Majunya itu
sepatutnya telah mengambil-kira dan mengambil berat darihal
kemungkinan banjir khasnya sepanjang Sg Damansara yang kerap
berlaku sebelum ini, kerana ianya melibatkan imej dan nama baik
negeri serta menjejaskan nasib rakyat jelata yang tinggal di
kiri-kanan tebingnya.
Kelalaian dan kecuaian Menteri Besar dan ahli-ahli EXCOnya
sangat-sangat dikesali.
Sehubungan dengan itu langkah-langkah segera bagi mengatasi
masalah ini termasuklah sasaran jangkawaktu perlaksanaannya
sebagaimana dititahkan oleh Tuanku perlulah dijalankan oleh
kerajaan negeri dengan sentiasa memaklumkan secara telus kepada
rakyat akan perkembangannya agar rakyat tahu dan dapat turut
memantaunya.
Sementara itu PAS Selangor akan terus menyalurkan bantuan kepada
mangsa-mangsa yang melibatkan lebih 11,000 penduduk dan 3,000
buah rumah itu. Sumbangan dari rakyat jelata yang bermurah hati
bagi meringankan bebanan mereka yang terlibat itu
sangat-sangatlah dialu-alukan. Sebarang sumbangan bolehlah
diserahkan dengan cara berhubung terus dengan Pejabat
Perhubungan PAS Negeri Selangor di talian 03 55184 530.
Dato? Dr Hasan Mohd Ali
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Tarikh: 03 Mac 2006
|