|
KENYATAAN AKHBAR
9 JUN 2006
SIASAT TUN MAHATHIR !
Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr.Mahathir Mohamad terhadap penggantinya, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang antara lain menuduh
Abdullah menikam beliau dari belakang adalah satu
kritikan yang serius. Kritikan tersebut, yang timbul
dalam masa kurang tiga tahun selepas Abdullah
mengambil alih tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri
adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam
sejarah Malaysia.
Kritikan terkini Dr. Mahathir
terhadap kepimpinan Abdullah harus dilihat dalam
konteks siri-siri kritikan beliau yang terdahulu.
Serangan beliau terhadap Kerajaan dalam isu
penyalahgunaan AP, salah urus hal-ehwal Proton,
pembatalan projek-projek mega, dan yang terkini,
pembatalan pembinaan jambatan bengkok menghubungkan
Johor dan Singapura serta rancangan penjualan pasir
kepada Singapura menunjukkan ada sesuatu yang tidak
kena dengan pentadbiran negara. Kritikan-kritikan
ini menjurus kepada hakikat bahawa Kerajaan sekarang,
di sebalik usaha-usaha untuk melepaskan diri
daripada kelemahan-kelemahan kerajaan pimpinan Dr.
Mahathir, masih lagi terperangkap dalam masalah
tadbir urus yang baik.
Berdasarkan kepada perkembangan
mutakhir ini, kami menggesa Kerajaan agar memenuhi
janji-janji untuk mengamalkan tadbir urus yang baik
dengan menyiasat dakwaan-dakwaan Dr.Mahathir,
mengumumkan hasil siasatan dan mendakwa mereka yang
bertanggungjawab menyalahguna kuasa.
Kami membuat laporan polis dengan
menggesa kerajaan agar menyiasat kenyataan Dr.
Mahathir yang disiarkan dalam Malaysiakini.com pada
7 Jun 2006 yang membayangkan wujudnya salah laku
dalam perbelanjaan wang kerajaan terutamanya dalam
pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya
yang ditanggung oleh dana syarikat minyak negara,
PETRONAS. Perlu juga disiasat ialah kenyataan bekas
Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri
Ani Arope yang mendakwa wujudnya terma-terma yang
tidak adil serta membebankan pengguna dalam
penswastaan pusat-pusat janakuasa elektrik yang
dikaitkan dengan penglibatan langsung bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kami percaya bahawa kesengsaraan
rakyat, lebih-lebih lagi akibat daripada kenaikan
harga minyak dan tariff elektrik, perlu ditangani
segera oleh kerajaan dengan bertindak secara lebih
bertanggunjawab dan telus dalam membelanjakan wang
kerajaan.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
|