|
Kenyataan Media
10 Jun 2006
Utusan jangan cuba perangkap Keadilan di dalam
kemelut Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melahirkan
rasa kesal di atas laporan yang tidak
bertanggungjawab oleh media cetak, Utusan Malaysia,
yang dikeluarkan pada hari ini, Sabtu, 10 Jun 2006
yang melaporkan bahawa AMK telah membuat laporan
polis terhadap Dr Mahathir di atas alasan bahawa
beliau telah menghasut rakyat membenci institusi
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi.
AMK menegaskan bahawa laporan media ini merupakan
laporan yang salah dan menyimpang dari laporan polis
sebenar yang kami buat di Ibupejabat Polis Daerah
Brickfields, Kuala Lumpur. Di dalam laporan polis
tersebut kami telah meminta pihak polis untuk
memulakan siasatan kemungkinan berlakunya salah guna
kuasa oleh bekas Perdana Menteri rentetan dari
kenyataan beliau bahawa sejumlah wang yang besar
dari khazanah milik rakyat iaitu wang PETRONAS telah
digunakan untuk membangunkan Putrajaya dan juga
kenyataan Tan Sri Ani Arope, Bekas Pengerusi
Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa
wujudnya terma-terma yang tidak adil serta
membebankan pengguna dalam penswastaan pusat-pusat
janakuasa elektrik yang dikaitkan dengan penglibatan
langsung bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir.
AMK menegaskan bahawa fokus utama perjuangan kami
sejak dari awal ialah melawan rasuah sehingga ke
akar umbi dan kami konsisten dengan fokus ini. Kami
tidak berminat untuk melayan dan terlibat di dalam
karenah pergaduhan di antara Perdana Menteri dan
juga bekas Perdana Menteri. Justeru, kami tampil
kehadapan dengan membuat laporan polis yang baru
bagi memastikan Dr Mahathir disiasat dan di bawa ke
muka pengadilan di atas kesalahan-kesalahan salah
guna kuasa dan rasuah semasa beliau menjadi Perdana
Menteri. Di dalam masa yang sama, kami juga menuntut
Perdana Menteri sekarang untuk menunaikan
janji-janji beliau untuk menghapuskan rasuah dengan
menyiasat Dr. Mahathir, dakwaan-dakwaan Dr.
Mahathir, mengumumkan hasil siasatan dan mendakwa
mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Dengan nada yang tegas, AMK beranggapan bahawa
Utusan Malaysia seolah-olah mempunyai niat yang
jahat dengan membuat laporan yang diputarbelitkan
seperti ini, seolah-olah ingin mengheret dan
memerangkap Keadilan di dalam kemelut serta
perbalahan di antara Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad
Badawi. AMK tidak berminat dalam hal ini.
Keprihatinan kami ialah terhadap keperitan dan
kesengsaraan rakyat yang terpaksa menanggung kos
yang tinggi akibat daripada perlakuan rasuah yang
berleluasa di dalam negara. Yang jelas, pergaduhan
seperti ini pasti akan merugikan rakyat. Kami
komited terhadap perubahan sistem bernegara dan
bukannya perubahan pemimpin. Tiada maknanya kepada
rakyat sekiranya pemimpin berubah, tapi sistem tetap
bobrok dan perasuah lepas bebas. Kami mengulangi
penegasan bahawa kesengsaraan rakyat, lebih-lebih
lagi akibat daripada kenaikan harga minyak dan
tariff elektrik, perlu ditangani segera oleh
kerajaan dengan bertindak secara lebih
bertanggunjawab dan telus dalam membelanjakan wang
kerajaan.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Ketua, Angkatan Muda Keadilan Malaysia
|