|
Kenyataan Media
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
28 Februari 2006
Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan ketidakseimbangan
individu di Malaysia bertambah teruk. Kami beri PM Malaysia 7
hari untuk memperbetulkan keadaan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia [Angkatan Muda] membantah
sekeras-kerasnya kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen oleh
kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Kenaikan ini pastinya akan
memberikan impak yang teruk kepada majoriti rakyat Malaysia
khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Angkatan Muda ingin menegaskan bahawa kenaikan ini adalah tidak
perlu sama sekali memandangkan pada ketika ini harga minyak
setong telah pun stabil pada harga USD 61 dan kedudukan harga
ini berlaku semenjak tahun 2005. Sepanjang tahun 2005, kenaikan
harga minyak telah berlaku dari 1.10 ke 1.60 dan sekarang 1.90.
Kenaikan bayaran cukai tanah, air dan pada bulan Mac yang akan
datang, kenaikan kadar elektrik, di tambah pula dengan kenaikan
harga minyak adalah ramuan-ramuan yang jelas akan membebankan
rakyat. Apa yang menyedihkan lagi, kenaikan gaji yang diumumkan
khususnya kepada kakitangan kerajaan adalah tidak seimbang sama
sekali dengan pelbagai kenaikan secara serentak.
Musibah seperti ini akan mengakibatkan keadaan ketidakseimbangan
individu [individual inequality] di Malaysia bertambah teruk.
Menurut laporan Laporan Program Pembangunan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu [UNDP], kedudukan Malaysia dari aspek
ketidakseimbangan individu adalah yang kedua parah di negara
Asia selepas negara Papua New Guinea. Selain dari Papua New
Guinea, negara-negara lain yang parah keadaan ketidakseimbangan
individu ialah negara-negara di Amerika Selatan dan Afrika
seperti Zimbabwe dan Afrika Selatan.
Angkatan Muda memberikan masa selama 7 hari kepada Perdana
Menteri Abdullah untuk segera bertindak membendung kenaikan
harga minyak ini. Sekiranya beliau gagal, Angkatan Muda
bersama-sama dengan seluruh kelompok masyarakat akan
menggerakkan kuasa rakyat bagi membantah kenaikan ini diseluruh
negara. Angkatan Muda akan mula bertindak pada 3 Mac 2006 ini di
hadapan KLCC.
Selamatkan Rakyat !
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
019 341 3312
|