|
BANGKIT SEBELUM PARAH
Mazlan Aliman ( Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat )
pircjohor@gmail.com
Ketika ini rakyat Malaysia khususnya generasi muda sedang
berhadapan dengan pelbagai gelombang sosial yang kian menghakis
jati diri dan nilai hidup mereka. Lebih menyedihkan lagi dek
cabaran sosial yang dari hari ke hari kian mencengkam
satu-satunya aset berharga yang pernah menukar rakyat bumi
bertuah ini khususnya masyarakat Melayu kepada satu masyarakat
yang bertamadun tinggi kian kurang nilainya di dalam amalan
hidup. Aset ini tidak lain tidak ialah amalan hidup beragama,
Islam khususnya.
Bagi masyarakat Melayu kehadiran Islam telah menukar rupa bangsa
mereka daripada sebuah masyarakat yang diperlekeh dan ditindas
sehingga menjadi sebuah bangsa yang begitu gah dimata dunia.
Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka merupakan bukti kepadanya.
Meskipun hujah ini mampu dipertikaikan tetapi dengan kehadiran
Islam jati diri Melayu itu sendiri berubah dari sebuah
masyarakat yang tidak disedari kebolehannya sehingga menjadi
sebuah masyarakat yang cukup dikenali sebagai seorang pedangang
yang rajin dan jujur, seorang pembesar yang adil dan saksama
mahupun seorang perwira yang hebat dan digeruni. Inilah rahmat
Islam yang telah menyinari masyarakat kepulauan Melayu pada satu
ketika sehingga kerana rahmatnya itu terbina zaman kegemilangan
Kesultanan Melayu Melaka, Johor-Riau dan sebagainya. Detik itu
mungkin boleh dikatakan sebagai zaman terbaik untuk umat Melayu.
Budayanya hidup subur, bahasanya disegani, cara hidupnya
diteladani dan pemerintahannya dihormati. Semua ini hadir
bersama sinar Islam.
Jelas sekali sejarah kegemilangan umat Melayu itu meneruskan
tradisi kegemilangan yang dikecapi masyarakat di tanah Arab.
Bagaimana masyarakat Arab dengan kemulian Islam begitulah juga
masyarakat Melayu. Malah jika disusuri sejarah pembinaan
masyarakat antara kedua-duanya kita akan menemukan betapa ianya
mempunyai latar dan perjalanan yang sama.
Namun hakikat selain kegemilangan itu mencurahkan pelbagai
pengiktirafan ianya juga mengundang rasa cemburu dan iri hati
yang amat mendalam khususnya dendam itu dibina kerana melihat
suburnya perkembangan Islam dinusantara ketika itu. Maka
akhirnya detik kegemilangan itu runtuh melalui penjajahan. Lebih
400 tahun masyarakat Melayu dilanyak kehidupan dan pemikirannya.
Namun ianya tidak berupaya merubah jati diri dan tunggak
kekuatan masyarakat Melayu. Malah kerana tekanan itu semarak
perjuangan untuk mempertahankan jati diri agama, bangsa dan
negara kuat dilaungkan. Sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang
mampu menggoyahkan keangkuhan penjajah. Hasil keutuhan
perjuangan inilah masyarakat Melayu pada hari ini mengecapi apa
yang diperolehi hari ini. Ianya dibina daripada keringat dan
darah mereka yang mempunyai jati diri yang utuh terhadap agama,
bangsa dan negaranya.
Persoalannya dengan perginya penjajah adakah kita berupaya untuk
meneruskan tradisi perjuangan masyarakat Melayu untuk
meletakkannya kembali ke tempat yang sepatutnya ? Jawabannya
tidak. Samada kita menerima atau tidak pandangan ini, itulah
realitinya. Masyarakat Melayu hari ini berdepan dengan krisis
nilai yang amat serius. Pembinaan tamadunnya melalui jalan-jalan
suram dan menuju kebuntuan. Dihadapan yang menanti masyarakat
Melayu hanyalah masalah sejuta penagih dadah, masalah integriti
yang meruncing dan kritikal, masalah pengkhianatan yang
menyebabkan ketirisan, masalah kroni yang menyebabkan
ketidakadilan, masalah ketidaktelusan yang menyebabkan kerugian
dan pelbagai masalah lain lagi jika di senaraikan satu persatu
pastinya terlalu panjang senarainya.
Dimanakah silapnya atas segala kemelut yang melanda masyarakat
Melayu ketika ini ? Inilah persoalan sebenar yang perlu dilihat
dan dikaji. Persoalan ini bukan sekadar perlu di fikirkan oleh
kalangan mereka yang bergelar intelektual tetapi ianya perlu di
fikirkan oleh semua masyarakat Melayu sebagai satu proses
muhasabah diri bagi meluruskan kembali wawasannya. Maka tulisan
ini cuba untuk membuka langkah awal proses muhasabah diri ini
dengan meletakkan silap bagi setiap kemelut ini kepada kegagalan
masyarakat Melayu itu sendiri didalam persoalan meletakkan
kepimpinan mereka. Hujah ini mungkin boleh tertolak dengan
pelbagai hujah lain yang mungkin diberikan oleh pihak lain
tetapi alasan untuk hujah ini perlu dinilai sebagai asas kepada
perbincangan.
Hiburan Sebagai Budaya Baru Masyarakat Melayu
Inilah budaya baru masyarakat Melayu yang cukup memualkan.
Meskipun masyarakat Melayu semenjak azalinya begitu sinonim
dengan hiburan dan perayaan tetapi perkembangan terkini
memperlihatkan bentuk hiburan baru yang membudaya didalam
masyarakat Melayu menjerut jati diri masyarakat Melayu itu
sendiri. Budaya hiburan yang kosong, tanpa pengisian yang mantap
dan diandakan bagi tujuan semata-mata untuk berhibur menjadikan
masyarakat Melayu terbelenggu di dalam paradigma yang kalut.
Kesannya masyarakat Melayu berdepan dengan krisis dan gejala
sosial yang begitu meruncing dan kritikal. Hujahkanlah apa saja
untuk menolak pandangan kesan negatif hiburan ke atas masyarakat
Melayu khususnya generasi muda, tetapi realitinya tetap kita
tidak mampu menolaknya.
Negara pernah digemparkan dengan penglibatan remaja Melayu
didalam gejala black metal yang menyesatkan. Jika dikaji secara
mendalam kita akan dapat melihat akar kepada gejala ini ialah
kegilaan generasi muda khususnya masyarakat Melayu yang terlalu
gilakan hiburan. Di dalam kes black metal ini mereka terdiri
mereka yang menolak unsur-unsur mainstream didalam muzik yang
membudayakan gaya hidup popular sehingga menjebakkan diri mereka
kepada genre muzik yang bersifat underground . Kesan daripada
penghayatan terhadap muzik dan hiburan tersebut mereka mula
terpengaruh pada setiap falsafah yang diperjuangkan. Maka
timbullah apa yang kita hadapi kini gejala black metal yang
meruntuhkan keimanan. Malah antara kita sedar atau tidak jika
selama ini kita beranggapan mereka yang terlibat dengan gejal
black metal ini terpengaruh dengan budaya barat, sebenarnya akar
kepada permasalahan ini bermula daripada kita sendiri khususnya
pertanggungjawabannya boleh diletakkan secara terus kepada pucuk
kepimpinan negara yang mengabaikan aspek-aspek pembinaan insan
dengan dalam masa yang sama begitu menggalakkan program-program
hiburan.
Hari ini apa yang tidak ada untuk rakyat negara ini berhibur,
dari pelbagai perayaan, penganjuran konsert dan rancangan
hiburan melalui televisyen pilih sahaja dari yang eksklusif,
terbuka, tertutup, kelas tinggi hinggalah hiburan murahan dan
kelas bawahan. Hari ini rakyat boleh sahaja berpesta dan
berhibur setiap hari.
Lebih menyedihkan hiburan kini dijadikan alat untuk tujuan
tertentu bagi golongan kapitalis hiburan digunakan sebagai
pentas untuk mengaut jutaan keuntungan manakala bagi kerajaan
hiburan dijadikan alat propaganda untuk menarik seramai mungkin
sokongan rakyat. Penggunaan media hiburan dengan agenda
tersembunyi ini kini memerangkap dan merugikan negara sendiri.
Penglibatan generasi muda khususnya generasi muda Melayu dengan
dadah banyak dilihat berpunca daripada pembudayaan hiburan
didalam masyarakat. Pengedaran dan penggunaan dadah-dadah
berleluasa di pusat-pusat hiburan antara faktor yang begitu
kritikal.
Begitu juga halnya tahap produktiviti dan budaya kerja rakyat
Malaysia, khususnya masyarakat Melayu. Dek kerana terlalu
terdedah dengan hiburan hari ini masyarakat Melayu dikenali
sebagai pemalas, tidak menepati masa, tidak bermotivasi, tidak
efisien dan tiada nilai dipasaran kerja. Tidak mustahil kini
kita melihat kebanjiran pekerja warga asing didalam segenap
sektor industri dan perdagangan.
Kesan pembudayaan hiburan didalam masyarakat juga menyebabkan
masyarakat Melayu lemah pemikirannya. Ketidakmampuan masyarakat
Melayu untuk berfikiran secara kritis dan sedar terhadap
persekitarannya menjadikan masyarakat Melayu terperangkap
didalam minda bawahan yang hanya menantikan disuap dan tidak
rela untuk berusaha keras. Maka jangan diimpikan minda kelas
pertama seandainya masyarakat Melayu terus-terusan dibentuk
dengan acuan yang menjadikan hiburan sebagai satu amalan wajib.
Logiknya, bagaimana mungkin sebuah masyarakat yang dialunkan
dengan hiburan yang entah apa-apa entah mampu untuk membina jati
diri yang berkualiti kelas pertama.
Ini adalah realitinya masyarakat kita hari ini khususnya
masyarakat Melayu. Mereka dihimpit didalam perspektif sempit
politik yang hanya memikirkan tentang mulut dan perut. Untuk
merubah paradigma ini rakyat khususnya masyarakat Melayu perlu
berani untuk menerima kelemahan ini dan berusaha untuk
memperbaikinya. Ini adalah langkah awal untuk membentuk
pemikiran dan budaya yang positif dikalangan masyarakat Melayu.
Denganya secara tidak langsung cara hidup masyarakat juga akan
berubah menjadi lebih bermakna dan berdaya saing.
*artikel ini akan diadakan secara bersiri
untuk melihat setiap persoalan yang berbangkit terhadap
kelangsungan masyarakat Melayu. Sambungan seterusnya akan
dihantar melalui email pada setiap keluaran*
|