|
Demi
masa kita sentiasa tidak punyai waktu
Anuar Mohd Nor
editor1@umno-reform.com
012-6544762
Saya pernah menulis mengenai istilah Elitis Pemilik - didefinisikan
sebagai kumpulan minoriti yang memegang bukan sahaja kuasa politik malah
menggenggam kuasa ekonomi. Ini tidak asing dengan kenyataan yang saya
petik dari Allahyarham Dato Onn Jaafar apabila beliau menyifatkan
pegangan ekonomi akan dapat mencengkam kuasa politik lantas ini akan
meletakkan kepentingan material melangkaui moral dan tata susila
kehidupan. Keputusan - keputusan yang di buat oleh golongan elitis
pemilik ini akan hanya berdasarkan angka - angka bilamana rasa belas dan
keprihatinan tidak lagi wujud untuk menjunjung konsep Islam Hadhari yang
kini menjadi teras konsep pentadbiran Perdana Menteri kita YAB Dato
Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Usaha Pak Lah dalam mengembalikan demarkasi antara kuasa ekonomi dan
kuasa politik sungguhpun idealnya tidak akan berjaya 100 namun
meningkatkan nilai dari tahap neutral (value = neutral) kepada satu
nilai yang dapat membina masyarakat budiman dan mempunyai nilai etika
tinggi harus di puji.
Namun konsentrasi menyeluruhi untuk membangunkan sistem baru yang
dianjurkan oleh Pak Lah ini akan terbantut sekiranya ia di pikul oleh
mereka yang telah bergelumang dalam sistem yang sudah terbentuk dan
terpahat selama ini. Memberi tanggungjawab untuk meningkatkan nilai
kesusilaan dalam masyarakat ini kepada mereka yang lahir dalam sistem
yang tidak lagi mementingkan nilai akan hanya menyulitkan keadaan.
Akhirnya perubahan yang ada hanya pada hasrat dan harapan namun gagal
dari segi perlaksanaan dan realiti pencapaian.
Saya tidak mungkin tahu andai kepimpinan negara ini khususnya Perdana
Menteri Malaysia atau mana - mana kepimpinan membaca apa yang saya tulis
kerana demi masa waktu untuk mereka tidak pernah mencukupi.
Waktu terhad
Pemimpinan negara ini baik kepimpinan rakyat, penguasa tempatan dan
perlaksana dasar tidak punyai banyak masa untuk meneliti dan menilai apa
sebenarnya sedang berlaku. Mungkin tugas kita sebagai penulis,
penganalisis dan pengkritik adalah untuk memberitahu mereka apa
sebenarnya perlu didengari dan apa sebenarnya perlu dilaksanakan agar
nilai yang statik dalam indeks kesusilaan dapat meningkat - namun
malangnya mereka tidak punya banyak masa untuk mendengar malah
melaksanakan apa yang mereka sebenarnya tahu.
Atas sebab itulah mungkin nilai yang ada dalam indeks pengukur
kesusilaan kehidupan menurun dan ianya akan terus menurun dengan
kekuatan elitis pemilik dengan keputusan - keputusan perangkaan yang
mendabik dada membicarakan nilai eksport kita melebihi nilai import,
indeks perdagangan kita meningkat dan pendapatan purata kita
mendefinisikan kekayaan rakyat Malaysia.
Negara terus maju dan kedudukan perekonomian kita menunjukkan kekuatan
dan peningkatan tetapi kita tidak punyai masa untuk meneliti erti semua
ini kepada mereka yang berhempas pulas mengorbankan masa untuk hidup
hari ini dan mungkin sisa - sisa pendapat untuk esok.
Demi masa kita sesungguhnya dalam kerugian. Demi masa kita sesungguhnya
tidak punyai masa untuk memikirkan mereka di bawah sana. Kita perlu
mencapai tahap progresif, maju dan terus berjaya biar ianya hanya
segelintir mereka yang membawa obor kejayaan dan yang lain di jadikan
arang untuk menyalakan kejayaan negara. Maka berbaris kita menyanyikan
lagu "NEGARA KU" sementara golongan elitis tadi bersemangat menyanyikan
lagu "INI NEGARA AKU".
Kita tidak punyai masa
Kita tidak punyai masa untuk memikirkan semua itu. Kepimpinan menengah
dan yang lain boleh menentukan hal - hal rakyat. Mereka boleh mengikuti
telunjuk komputer yang tidak punya rasa dan tidak punya perasaan. Mereka
ada masa untuk hadir dengan kuasa - kuasa mereka mengejar jutaan rakyat
yang tidak membayar cukai, mengerah dengan kos yang tinggi polis - polis
trafik untuk pergi rumah ke rumah mencari mereka yang enggan membayar
kompaun kesalahan jalan raya, memotong bekalan air isu rumah yang
melangkaui RM 200 atau memotong bekalan elektrik yang mempunyai
tunggakan RM 500.00 malang kita tidak punya masa melihat pegawai -
pegawai kerajaan yang membina banglo 1 juta dengan kereta mewah berbuah
- buah. Kita tidak ada masa untuk mengerahkan kuasa - kuasa untuk
meneliti pemilik - pemilik kuasa politik yang duduk selesa dengan
timbunan wang tanpa tahu erti kesusahan. Kita tidak punyai masa meneliti
bagaimana amanah yang diberikan oleh rakyat terbiar digunakan untuk
kemewahan diri dan keluarga kerana kita tidak punyai masa untuk meneliti
jenayah mereka. Masa yang ada terhad untuk mencari rakyat yang degil,
engkar dan tegar kerana tidak membayar RM 100 atau RM 200 cukai dan
bekalan - bekalan elektrik dan air.
Malang sekali kita tidak punyai masa cukup untuk menyelamat anak - anak
muda kita yang tersesat dengan perbelanjaan kad kredit, kita tidak
punyai masa untuk menubuhkan satu jawatankuasa menyusun hutang - hutan
mereka - dengan pembayaran ansuran sebelum dimusnahkan kehidupan mereka
dengan tindakan memufliskan mereka dalam usia yang muda. Kita tidak
punyai masa meneliti setiap masalah kewangan rakyat kecil, mencari jalan
menyelesaikan hutang piutang tetapi kita punyai masa dan wang untuk
terus mengheret mereka, mengupah gangster untuk memalukan mereka di
pejabat dan di rumah dan kita punyai masa untuk terus menindas dan
menambah bebanan mereka.
Masa hanya untuk yang berkuasa
Malang kita tidak punya masa untuk membentuk jawatankuasa penimbang tara
untuk meneliti setiap kes mereka yang akan di hadapkan dengan tindakan
muflis dengan hutang bukan perniagaan atau hutang kecil atas kesilapan
mereka mengurus. Kita tidak ada ruang untuk memberi mereka peluang, kita
tidak ada masa untuk menentukan semua itu tetapi kita cuma ada masa
untuk memusnahkan masa depan mereka, membebankan terus mereka dan
memusnahkan institusi keluarga mereka. Kita hanya ada masa untuk
menguruskan hutang - hutang korporat bernilai berjuta - juta, meneliti
dan memberi amaran kepada pengamal politik atau rasuah wang politik yang
mampu membayar RM 2,000 ke RM 5,000 ( hipotesis jumlah) kepada hampir
2,500 delegasi yang sumber kewangan mereka hanya hadir dari memiliki
kuasa. Mereka akan di beri peluang untuk kembali bertakhta dan kebajikan
akan terus terurus dengan masa penelitian yang ada. Untuk yang lain -
kita tidak punyai masa.
Kita tidak ada masa untuk menilai mereka, mereka tidak mempunyai harta,
tidak mempunyai sandaran untuk berniaga dan mereka tidak mempunyai
pengalaman. Kita hanya punyai masa untuk memberi pinjaman tanpa faedah
kepada beberapa mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan mereka yang
dekat dengan kuasa, memberi mereka peluang menjadi jutawan sungguhpun
tidak pernah tahu melakukan perniagaan tersebut. Kita bagi pada tokoh
itu dan ini, korporat besar untuk mengendali lesen teksi kerana mereka
yang hampir 20 tahun membawa teksi itu tidak mampu mengendalikan
perniagaan atau tidak berpengalaman untuk mendapatkan permit teksi yang
dipandu sendiri.
Malangnya masa
Malangnya kita tidak punyai masa untuk membaca rintihan mereka malah
tulisan ini. Masa kita banyak digunakan untuk menentukan kejayaan negara
ini. Antara kita perlu ada mereka yang memegang obor dan yang lain perlu
jadi bahan pembakar. Kita seru mereka nyanyikan lagu NEGARA KU agar
mereka dapat menjadi bahan api yang lebih bara untuk menjulangkan obor
kejayaan negara. Di masa yang sama kita turut menyanyikan lagu "INI
NEGARA KU" kerana kita menentukan kejayaan negara - dan INI NEGARA AKU
dan aku punyai kuasa menentu.
Maka nilai itu akan tetap sama, konsep Hadhari itu akan terus begitu
kerana kita tidak punyai masa khususnya untuk mereka yang kecil di
hadapan kita. Kehidupan mereka hanya sesaat dan kita harus kekal lama.
Itu lah kuasa.
|