|
Kemakmuran
rakyat - kuasa siapa menentukan?
Anuar Mohd Nor
editor1@umno-reform.com
012-6544762
Pertahankan keadilan dalam pentadbiran dan syaratkan ia pada diri
sendiri, saudara dan mereka yang rapat dengan kita. Peroleh mandat dari
rakyat, kerana kemakmuran rakyat terbanyak adalah lebih utama dari
kemakmuran golongan kecil yang di beri keistimewaan dan sesungguhnya
kegusaran hati golongan kecil yang di beri keutamaan akan pupus dalam
kemakmuran rakyat terbanyak.
Kenyataan di atas adalah interpretasi nasihat yang pernah di beri oleh
Sayidina Ali kepada bakal Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar al-Nakh'I.
Bagi saya persoalan pentadbiran negara ini banyak terpalit kembali
kepada individu yang di lantik - bagaimana corak pentadbiran dan
bagaimana keutuhan integriti seseorang dalam menjawat jawatan yang
diberi ke atas nya. Ini khususnya kepada mereka yang telah di beri kuasa
kerana kuasa itulah bakal menentukan kemakmuran atau kemunduran sesebuah
negara.
Dalam konteks kenegaraan ini juga fokus utama saya adalah kemakmuran
rakyat dan bukan tertumpu kepada sukatan indeks bursa semata - mata.
Tidak bermakna pembangunan fizikal negara ini hanya maju pada kulitnya
sedangkan teras negara ini penuh dengan kebimbangan dan kesukaran.
Pembicaraan isu - isu kecil saya juga melibatkan aktiviti harian rakyat
terbanyak - kepentingan memakmurkan mereka dan bukan terus menerus
membohongi dengan sukatan yang jelas palsu. Saya bercerita mengenai kos
- kos kecil, yang begitu besar maknanya pada rakyat dan bagaimana
kesengsaraan hari ini akan menutup peluang masa depan.
Saya bercerita mengenai mandat yang telah di beri oleh rakyat kepada
kita. Saya bercerita mengenai amanah dan tanggungjawab yang di
belakangkan hanya kerana keutamaan kita kepada kumpulan kecil yang
terpilih. Saya bercerita mengenai kesukaran yang mungkin kita terlepas
pandang tetapi menghantui hidup masyarakat kita.
Saya pernah terbaca tulisan Syed Hussin Al - Altas yang memetik
kenyataan Robespierre dalam Konvensyen Nasional Perancis April 24, 1793
:-
Di tiap negeri di mana keadaan alam menggalakkan hasil keperluan hidup
asasi, kekurangan hanya dapat dipertanggungjawab pada kejahatan
pentadbiran ataupun pada undang -undang itu sendiri, dan undang -undang
dan pentadbiran yang buruk adalah akibat dari dasar - dasar palsu dan
tabiat sosial yang buruk.
Menghubungkan kenyataan tersebut dengan beberapa isu eksploitasi harga
barang - barang asas negara kita ini, maka satu persepsi negatif akan
terpancar apabila kita membicarakan mengenai kemelut kekurangan
sedangkan hasil keperluan hidup asas wujud dalam keadaan alam yang
menggalakkan di negara kita ini. Kita bukan sahaja bercerita mengenai
hasil alam yang ada - tetapi eksploitasi terhadap nelayan, petani dan
penggiat ekonomi yang terus di landa dengan selaput kemiskinan tetapi
hadir dalam kepesatan ekonomi yang di maklumkan kepada kita.
Keadilan Sosial
Peningkatan mendadak harga barang pasaran wujud antara lain kerana fokus
kita lebih kepada keistimewaan golongan kecil berbanding dengan
kemakmuran golongan terbanyak. Bagi saya keistimewaan yang diperuntukkan
kepada golongan kecil - untuk memuaskan kecenderungan rasuah dan budaya
tidak sihat lahirmereka mewujudkan keadaan monopoli yang akhirnya
merugikan rakyat terbanyak. Keadaan ini merugikan kita bukan sahaja
sebagai pengguna tetapi sebagai penggiat ekonomi.
Dalam membicarakan keadilan sosial maka faktor - faktor kontribusi ke
arah pemusatan kuasa harus di hakis. Faktor pemusatan kuasa dan pegangan
kuasa ini yang sebenarnya mampu menzahirkan rasuah. Ini perlu di
banteras sepenuhnya kerana andai tidak maka laungan basmi rasuah akan
hanya berputik di bibir setiap kali pemimpin baru di lantik.
Sesuatu yang agak menarik pernah di terbitkan oleh Chandra Muzaffar dan
Azizah Bahari dalam buku Keadilan Sosial membicarakan perkara - perkara
asas perbincangan mengenai keadilan sosial. Di sertakan petikan tersebut
:
" Dalam keadaan kita sekarang ini, bukan hanya padi, garam, air yang
mesti dikawal oleh kerajaan, tidak dibiarkan terapung atas ombak tamak
untung budaya korporat kapitalis, tetapi elektrik, telefon, pengangkutan
dan harga rumah. Jika kerajaan selamanya mengawal peningkatan gaji,
menasihatkan pihak pekerja agar jangan kuat menuntut gaji, adalah adil
dan masuk akal jika tuntutan sedemikian dihadapkan kepada pihak pedagang
dan korporat agar jangan terlalu besar nafsu mencari untung"
Bayangkan sekiranya - kepimpinan kerajaan - pemegang kuasa yang sedang
melaksanakan perniagaan tersebut! Apakah tidak laungan tersebut akan
hanya berpahat dalam buku untuk kita kaji dan terus mengkaji tanpa mampu
untuk merealisasikan kebenaran.
Sekali lagi kita berbalik kepada nasihat Sayidina Ali dalam nasihat
beliau. Sekiranya keistimewaan untuk golongan kecil yang di beri
keutamaan di jaga, dalam konteks kronis maka yang akan terus sengsara
adalah rakyat terbanyak. Saya tidak mahu membayangkan sekiranya golongan
kecil istimewa yang diberi keutamaan adalah juga golongan yang memegang
kuasa!
Menurut Robespierre dalam Konvensyen yang sama - Kemerdekaan mencari
untung dalam perdagangan boleh dibiarkan sekadar komoditi yang tidak
melibatkan kepentingan asas kehidupan rakyat dan perlu ditegaskan bahawa
sektor yang melibatkan kos bagi rakyat harus di jaga tertib dan tidak di
naikkan untuk kepentingan kemewahan kumpulan istimewa terpilih.
Sebenarnya pecahan dari interpretasi nasihat Sayidina Ali mampu memberi
banyak pedoman kepada kita dalam mentadbir negara ini. Namun asas utama
yang nampak jelas adalah menghilangkan kontribusi kepada faktor -faktor
yang mampu membiakkan budaya buruk dan asasnya adalah pada mereka yang
di beri kuasa. Dalam itu, maka jawapan kepada utama persoalan kemakmuran
rakyat - kuasa di tangan siapa - ada pada kita. Kita harus memikirkan
sedalam mungkin - supaya pilihan kita tepat dan menolak kepimpinan yang
mengutamakan kepentingan segelintir dari terbanyak.
|