BALIK KE MUKA UTAMA


KENYATAAN MEDIA

SHAHRIR BUKAN PENGKHIANAT

IMPAK memandang serius krisis integriti yang tercetus di Parlimen sekarang ini ekoran  tindakan tidak bermoral pemimpin BN yang cuba melindungi ahli Parlimen (MP) mereka yang  didakwa telah menyalahgunakan kedudukan untuk mencampuri urusan penguatkuasaan  undang-undang oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM). IMPAK berpendapat bahawa semua pihak di  Parlimen termasuk parti-parti politik dan MP kerajaan harus bertanggungjawab untuk  memperkasakan integriti Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi di negara ini. Kerana itu parti yang menguasai kerajaan perlu membebaskan semua MP mereka daripada kawalan  whip terutama dalam hal-hal yang berkaitan kepentingan negara dan rakyat seperti rasuah,  penyalahgunaan kuasa, perlaksanan dasar yang tidak telus, integriti dan sebagainya.  Kepentingan ini mestilah mengatasi kepentingan parti.

MP adalah wakil yang dipilih oleh rakyat walaupun dicalonkan oleh parti. Tanpa sokongan  rakyat mereka tidak akan terpilih ke Parlimen, dan untuk menghormati kuasa rakyat ada  perkara yang memerlukan semua pihak diberikan kebebasan untuk menyokong mana-mana pihak  dalam Parlimen, termasuk cadangan dan usul pembangkang dalam hal yang menyentuh kepentingan  negara dan rakyat. IMPAK menolak dasar BN yang melarang secara membabi buta MP-nya  menyokong usul pembangkang.

IMPAK kagum dengan sikap telus Datuk Shahrir Samad yang menunjukkan satu kepemimpinan yang  begitu mementingkan integriti. Apa yang dilakukan oleh Shahrir seharusnya dilihat secara  positif oleh semua pihak termasuk kerajaan dan BN bagi menegakkan integriti di Parlimen.

Sikap bongkak BN yang menolak usul pembangkang menunjukkan mereka takut pada bayang  sendiri. Walhal, jika MP BN menyokong usul Lim Kit Siang, ia tidak akan menjatuhkan  kerajaan, sebaliknya menaikkan imej Parlimen, kerajaan dan rakyat. BN lebih mengutamakan  pengekalan kuasa mereka daripada kepentingan negara dan rakyat. BN lebih rela membiarkan  MP/ADUN-nya terus menyalahgunakan kuasa dengan mengganggu tugas pegawai awam daripada  kehilangan satu kerusi di Parlimen.

Sikap 'ketinggalan zaman' BN yang melarang MP-nya menyokong sebarang usul pembangkang  menunjukkan mereka tidak matang dalam mengukuhkan demokrasi dan integriti. Dalam kata lain,  BN mahu ahlinya bersikap hipokrit dengan menolak usul pembangkang sedangkan mereka sedar  perkara itu betul dan perlu disokong. Ini membuktikan bahawa kenyataan Perdana Menteri  bahawa kerajaan bersikap terbuka untuk sebarang kritikan adalah tidak bererti kepada  rakyat. Boleh mengkritik, tetapi wajib menyokong apa sahaja dasar kerajaan termasuk yang  merugikan rakyat. Boleh mengkritik, tetapi tidak boleh menyokong usul kepentingan negara  yang dibawa oleh pembangkang. Ini adalah kemunafikan politik BN!

Parlimen sebagai satu institusi perundangan yang menjaga kepentingan Negara dan rakyat  perlu membuat reformasi bagi meletakkan Parlimen sebagai institusi yang dihormati dan mampu  memberikan manfaat kepada rakyat. Parlimen perlu meminda peraturannya bagi mengatasi  masalah whip yang menjejaskan kredibiliti dan integriti Parlimen termasuk menghalang parti  politik mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana MP yang mengemuka dan menyokong  apa-apa usul untuk kepentingan negara.

Parti politik sebaliknya, dalam melaksanakan system whip ini, mereka perlu menghormti suara  rakyat yang memilih MP / ADUN untuk memperjuangkan hak rakyat dan negara. Parti politik  harus memberi kelonggaran kepada MP dalam memperkatakan isu-isu berkepentingan negara serta  memberikan imuniti kepada mereka daripada sebarang tindakan disiplin kerana isu-isu seperti  ini. MP perlu diberikan kebebasan untuk memperkatakan apa sahaja, termasuk mengumaka dan  menyokong apa-apa usul berkepentingan negara termasuk usul dari pembangkang. Parti politik  boleh bertindak jika MP mereka menjejaskan imej dan nama baik parti, tetapi jika  mempertahankan maruah negara, meningkatkan integriti dan membela rakyat, ini tidak wajar  dikenakan tindakan.

Tindakan Datuk Shahrir menyokong usul Lim Kit Siang bukan sahaja tidak menjejaskan nama  baik parti kerajaan, termasuk sokongan rakyat kepada BN dan tidak sekali-kali menjatuhkan  maruah mereka. Tetapi sikap ego pemimpin BN yang tidak mahu menyokong usul pembangkang  telah menimbulkan masalah integriti di Parlimen. MP adalah wakil rakyat yang harus sentiasa  menyokong rakyat (pro-rakyat). MP bukannya wakil kerajaan yang menyokong dan membela apa  sahaja tindakan kerajaan termasuk dasar-dasar yang membebankan rakyat.

BN sepatutnya mencontohi sikap pembangkang terutamanya PAS yang memberikan kebebasan kepada  MP-nya untuk memperkatakan apa sahaja di Parlimen demi kepentingan rakyat dan negara. PAS  tidak pernah menghalang MP-nya menyokong usul mana-mana parti termasuk usul kerajaan jika  ia melibatkan kepentingan negara. Bahkan telah banyak usul-usul kerajaan yang disokong oleh  PAS tanpa melibatkan masalah whip. BN harus terbuka dalam melihat kepentingan negara yang  mengatasi kepentingan sempit parti mereka.



HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Presiden IMPAK
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena

 

 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762