|
Kenyataan Media
Haji Mahfuz Omar
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat (LPAS)
Pada 7 Februari 2006
Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat (LPAS PAS) sangat kecewa
dengan sikap berdolak dalik kementerian Kesihatan yang tidak
menampakkan keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi rakyat
dalam mendapat bantuan daripada Tabung Bantuan Perubatan (TBP)
Pesakit Kronik.
Apa guna diwujudkan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) kalau tidak dapat
membantu mereka yang memerlukan dan menghadapi masalah kewangan
dalam nak mendapat rawatan berkaitan penyakit kronik.
Apakah Kementerian sekadar nak berbangga dengan Tabung (TBP) masih
banyak wang tetapi tidak dapat dimanfaatkan rakyat Malaysia.
Kementerian Kesihatan sering mencari ‘alasan’ tidak ikut peraturan dan
tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menolak permohonan.
LPAS PAS mempersoalkan apakah syarat dan peraturan yang dibuat relevan
dengan suasana semasa iaitu perkembangan ekonomi negara, taraf
hidup rakyat, inflasi yang meningkat, bebanan kos hidup yang
tinggi.
Oleh itu LPAS PAS mencadangkan supaya ditukar Menteri Kesihatan yang
lebih mesra rakyat (Pesakit) dan orientasi semula pengurusan
pentadbiran Kementerian berasaskan kepada pendekatan mesra rakyat
(pesakit).
Kabinet perlu menubuhkan suatu Jawatankuasa khas untuk melihat dan
mengkaji dengan teliti isu TBP agar dipermudahkan pengurusan untuk
kemudahan orang ramai.
Jawatankuasa Khas ini hendaklah membabitkan wakil Kementerian, Ahli
Parlimen kerajaan dan pembangkang, Kesatuan Sekerja, Persatuan
Pengguna dan individu yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan
dana rakyat.
Jawatankuasa ini hendaklah mentakrif semula status kemiskinan kerana
status yang ada ini tidak mungkin memberi peluang kepada jumlah
ramai rakyat mendapat bantuan dari TBP, dan turut mengkaji
syarat-syarat dan peraturan lain.
LPAS PAS percaya hasil kajian ini nanti akan lebih menjiwai permasalahan
dan merumuskan penyelesaian masalah yang berbangkit.
Sekian.
Dikeluarkan oleh
Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat (LPAS)
|