|
http://www.kmu.net.my/modules.php?name=News&file=article&sid=5105
Surat Terbuka
Tun Dr. Mahathir Mengenai Jambatan Bengkok
Posted on
Saturday, April 22 @ 14:13:36 MYT
Topic:
KOMENTAR |
|
Oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
Saya menulis surat terbuka ini sebagai
seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara
untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.
Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini
perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana
pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi
kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh
media massa elektronik atau cetak, walaupun
mereka menghantar wakil untuk menghadiri
sidang akhbar saya.
Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan
pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah
gagal mempertahankan kedaulatan negara.
Akibat daripada itu negara mengalami
kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah
wang rakyat.
Saya juga mahu rakyat faham sikap dan
tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta
dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia
memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana
isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat
yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara
serta penjualan pasir kepada Singapura, dan
ini disalahertikan secara sengaja bahawa
rakyat tidak mahu jambatan. Rakyat mahu
jambatan tetapi menolak syarat Singapura,
kerana ia tidak berasas dan bukan hak
Singapura.
Singapura sangat gemar mencetak
surat-menyurat antara pemimpinnya dengan
pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan
yang ia di pihak yang benar.
Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa
dengan tidak menyanggah kempen
memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang
dihadapi akan selesai dengan sendirinya.
Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi
kenyataan.
Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang
ditulis oleh suatu pihak dengan memetik
persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya
dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di
kalangan pemimpin, adalah tidak sah.
Untuk menjadikan ianya sah, rundingan
hendaklah dicatat dan dirakam dengan
sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh
kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat
di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak
tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah
tidak sah.
Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi
Menteri Kanan Singapura, sangat gemar
meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa
agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan
hasil pertemuan itu di dalam suratnya
sendiri kepada pihak ketiga. (sila
lihat Apendiks 1)
Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap
rakan sejawatnya akan menyetujui
kandungannya dan oleh yang demikian terikat
dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak
mengambil kira jika catatannya tidak
dianggap tepat dan tidak disahkan.
Saya menganggap apa-apa pun yang tidak
menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah.
Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau
sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang.
Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai
bukti bahawa saya telah bersetuju tidak
bermakna sama sekali. Hanya jika saya
membalas surat itu dan mengesahkan
perkara-perkara tertentu, barulah
perkara-perkara berkenaan boleh dianggap
benar. Tetapi sama ada ia sah dan kita
terikat dengannya, bergantung pada
pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah
pihak, secara rasmi.
Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut
“pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang
persetujuan adalah kerana kelulusan yang
berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika
persetujuan tidak boleh dicapai mengenai
mana-mana satu perkara maka persetujuan
tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam
pakej itu.
Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan
Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita
menyelesaikan perkara demi perkara secara
berasingan. Ini siperakukan dan diterima
oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana
Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14
2002 (sila
lihat Apendiks 2)
yang antara lain menyebut;
“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda
berkata kita perlu
mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat
lagi baik.
Saya bersetuju....”
Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh
Chok Tong berkata;
“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka
menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober
pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan
“Malaysia telah memutuskan untuk tidak
meneruskan pendekatan pakej……”
JAMBATAN
Setelah menolak pendekatan pakej, saya
membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan
tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu
lain. Saya menaruh harapan yang sangat
tinggi apabila isu pembinaan jambatan
disebutkan di dalam surat-surat Menteri
Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh
Chok Tong.
Dalam sepucuk surat (sila rujuk
Apendiks I perenggan 6)
kepada Tun Daim Zainuddin, Lee
berkata;
“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan
Tambak, Perdana Menteri saya (Goh)
bersetuju dengannya tetapi
mencadangkan agar kita tidak merobohkan
Tambak Johor.”
Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui
jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak
Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal
kerana cadangan pembinaan jambatan baru
adalah bertujuan membuka laluan di antara
kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air
boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan
bertujuan menambah kapasiti hubungan antara
Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia
hanyalah satu kebetulan.
Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya
Singapura bersetuju dengan pembinaan
jambatan itu);
“Singapura akan menambak laut di
sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan
Malaysia.”
(rujuk
Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee
kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)
Sempadan antara Singapura dan Malaysia di
Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling
dalam. Bagaimanapun, bagi Tambak Johor
sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan.
Jika Singapura menambak laut di sebelah
wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti
hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal.
Jadi apa halnya dengan konsep sempadan
berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam
surat yang sama kepada Daim (rujuk
Apendiks I perenggan 12),
Menteri Kanan Lee berkata;
“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya
kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana
Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia
menyerahkan hal ini kepada saya sehingga
peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya
dengan teliti sebelum memberi sebarang
persetujuan.”
Menteri Kanan Lee juga menulis (Apendiks
1, perenggan 12);
“semua nota atau surat yang saya hantar
kepada anda dan kepada Mahathir dan
sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa
Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak
akan ada sebarang perjanjian sehingga semua
perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh
kedua-dua Perdana Menteri.”
Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi
kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau
perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri
Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui. Jika
tidak, maka tidak akan ada sebarang
persetujuan mengenai semua perkara
sehinggalah diperakui dan ditandatangani
oleh kedua-dua Perdana Menteri.
Dalam jawapan kepada cadangan saya agar
terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di
Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat
bertarikh 10 Disember 2001 (sila
rujuk
Apendiks 4,
perenggan 10), berkata;
“Saya harap anda juga akan menimbangkan
kepentingan jangka panjang dan nilai
perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta
api merupakan perhubungan yang sangat
berharga …….. Saya rasa mengekalkan hubungan
kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura
menguntungkan kedua-dua buah Negara……...
Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara
anda, Singapura akan mematuhi
keputusan anda”.
Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar
mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh
juga berkata Perdana Menteri Goh tidak
bersetuju dan segala surat-menyurat kami
adalah tanpa prejudis.
Namun begitu, apabila beliau atau Perdana
Menteri Goh Chok Tong dan saya sendiri
menurunkan pandangan-pandangan kami dalam
bentuk tulisan, ia menggambarkan apa yang
kami fikirkan. Tetapi oleh sebab ia
dilakukan tanpa prejudis, kami tidak terikat
dengan apa yang kami katakan.
Justeru itu, tidak timbul persoalan
berdolak-dalik atau memindahkan tiang gol.
Kedudukan tiang gol belum diputuskan. OIeh
sebab apa yang dilakukan itu berasaskan
konsep tanpa prejudis, maka ia tidak Iebih
daripada cadangan sahaja.
Dalam surat bertarikh 11 April 2002
(rujuk
Apendiks 5) Perdana Menteri Goh
menyebut;
“Saya sekarang memutuskan untuk
mengendalikan sendiri perbincangan kita
mengenai pakej dua hala.”
Sekarang barulah seorang yang berkuasa
bercakap (bagi pihak Singapura).
Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai
komitmen mutakhir, Perdana Menteri Goh
menulis (kepada saya):
1.
Bridge
“Di antara sebuah jambatan baru bagi
menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang
menggantikan hanya bahagian di sebelah
Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan
pertama.”
“Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak
bolehlah dirobohkan, yang mana saya gembira
jika dilakukan selepas tahun 2007.” “Tetapi
sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di
sebelah negara anda dengan sebuah jambatan
dengan serta-merta, saya akan
menyetujuinya, walaupun pada
pendapat saya ini tidaklah ideal.”
Apakah kesimpulan yang boleh kita buat
kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut
mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan
ruang udara kepada kapal terbang tentera
Singapura. Juga tidak disebutkan tentang
nostalgia, hanya keutamaan
supaya Tambak dirobohkan selepas
tahun 2007.
Sekarang dihujahkan pula bahawa jika
Malaysia sentuh paip yang membawa air ke
Singapura, ia adalah tindakan perang (act of
war). Adakah ini perisytiharan perang?
Peruntukan “Wayleave Agreement” dengan
Singapura cukup jelas. Berikut adalah apa
yang dipersetujui mengenai paip air;
“That the Licensee (Singapore) shall take
full responsibility financially or otherwise
for any alteration to the pipeline that may
become necessary by reason of any
alterations or improvements made or to be
made on the Johor Causeway and on receiving
not less than six months previous notice in
writing from the Licensors (Malaysia) shall
thereupon carry out the alteration in
accordance with such notice and shall have
no claim for any compensation.”
[“Bahawa Pemegang Lesen (Singapura) akan
mengambil sepenuh tanggungjawab kewangan
atau sebaliknya bagi sebarang pindaan kepada
saluran paip apabila ia diperlukan untuk
sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau
yang diperlukan di Tambak sebelah negeri
Johor dan apabila menerima notis bertulis
enam bulan sebelumnya daripada Pelesen
(Malaysia) akan melakukan pengubahsuaian itu
seperti yang disebutkan di dalam notis tanpa
sebarang tuntutan ganti rugi.”]
Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak
Pemegang Lesen (Singapura) mengingkarinya.
Peruntukan “akan melaksanakan pengubahsuaian”
(Shall carry out the alteration)
sangat jelas dan kuat. Singapura wajib
melaksanakan pengubahsuaian itu. Tetapi jika
Singapura ingkar, ia mungkin merupakan
tindakan perang dan bukan sebaliknya.
Apabila kerja awal pembinaan jambatan
dimulakan tidak ada protes dan tidak ada
permintaan membeli pasir atau menggunakan
ruang udara kita. Sekarang pembinaan
jambatan di sebelah wilayah kita pun
nampaknya tertakluk kepada syarat kita
membekalkan berjuta meter padu pasir kepada
Singapura untuk menambak laut dan membuka
ruang udara kita kepada jet tentera udaranya.
Daripada mana datang semua syarat ini?
Apakah kaitan antara perluasan wilayah
Singapura dengan kita membina jambatan di
dalam wilayah kita sendiri?
Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan
jambatan di wilayah kita dengan tuntutan
kita menjual pasir dan membuka ruang udara
kepadanya tidak berasas sama sekali.
Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju
memberi pasir dan membuka ruang udara kepada
Singapura, jika tidak terpaksa
memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di
wilayah kita sendiri adalah di luar
kemampuan saya memahaminya.
Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual
pasir kepada Singapura atau membuka ruang
udara kepadanya. Tetapi rakyat tidak pernah
mengatakan yang mereka bersedia mengorbankan
projek jambatan. Yang mereka tidak mahu
adalah mengalah kepada tuntutan Singapura
supaya kita menjual pasir dan membuka ruang
udara. Mereka mahukan jambatan tetapi mereka
juga mahu Kerajaan mereka menyanggah
tuntutan Singapura kerana di segi
undang-undang Malaysia tidak perlu melayan
syarat-syarat Singapura.
Tindak-tanduk Singapura ini telah
dijangkakan. Tetapi Kerajaan Malaysia gagal
mempertahankan kedaulatan negara. Di samping
itu, ia telah menyebabkan kerugian berbilion
ringgit wang rakyat jelata.
Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang
Melayu, Melayu Johor terutamanya, ingat
bahawa lnggeris telah menipu Sultan untuk
menyerahkan Singapura dengan percuma kepada
mereka (Inggeris).
Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka,
Singapura sepatutnya dikembalikan kepada
kita apabila lnggeris melepaskan hak mereka.
Tetapi Singapura telah menjadi begitu asing
keadaannya sehingga ia tidak boleh lagi
menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih
banyak tanah kepada Singapura supaya ia
boleh memperluaskan wilayahnya dan menambah
bilangan penduduknya? Menyerahkan dasar laut
kita kepada Singapura tidak ada bezanya
dengan memberikan bumi kita kepada Singapura.
Kesudahannya ialah perluasan wilayah
Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan
menyerahkan sebahagian daripada Johor untuk
tujuan ini. Apakah kita begitu miskin
sehingga kita perlu menjual sekeping bumi
kita kepada orang lain?
Generasi rakyat Malaysia yang akan datang,
sama ada Melayu atau Johor, akan menyumpah
kita jika kita melakukan semua ini sedangkan
kita berhak membina jambatan di atas bumi
dan laut kita sendiri sebagai sebuah negara
yang merdeka dan berdaulat.
Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada
Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan
lagi tanah kita kepada Singapura walaupun
ada orang yang berpendapat kita hanya boleh
membina jambatan di negara kita jika
Singapura bersetuju.
Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan
demikian. Janganlah ada sesiapa yang
menyumbat hujah ke dalam mulut mereka
semata-mata kerana orang itu takut untuk
mempertahankan hak dan kedaulatan negara
serta rakyat Malaysia.
Dr. Mahathir bin Mohamad
|
|
|