|
Mahasiswa terbeban dengan Kenaikan
Harga Minyak
M.Hafiz Az Zubaidy
Saudara pengarang,
Isu kenaikan harga minyak telah memeranjatkan beberapa pihak
termasuk mahasiswa. Perkara ini telah memberikan impak yang
sangat besar kepada kehidupan mahasiswa. Hal ini berlaku kerana
mahasiswa merupakan antara barisan pengguna yang terikat dengan
pengaliran ekonomi negara. Mahasiswa turut menyumbang dalam
kegiatan ekonomi melalui pengangkutan awam, barang runcit dan
sektor makanan. Oleh yang demikian, saranan supaya mengubah cara
hidup oleh Timbalan Perdana Menteri tidak tercapai sekiranya
wujud anasir yang mula memberanikan diri dengan menaikkan harga
yang tidak berpatutan hasil tekanan harga minyak yang naik
mutakhir ini terhadap mahasiswa.
Tempias bisa kenaikan harga minyak tersebut kini telah dirasai
oleh mahasiswa Beberapa pihak di sesetengah IPTA perdana mula
mengambil kesempatan terhadap mahasiswa. Atas dasar isu kenaikan
minyak, beberapa keperluan penting mahasiswa mula tergugat dan
tidak terjamin gara gara isu ini. Kesempatan tersebut menjadi
semakin serius apabila terdapat segelintir pihak kafe di kolej
kediaman menaikkan sebut harga makanan dan minuman. Tindakan
tersebut telah menindas mahasiswa yang lahir dari keluarga yang
berpendapatan rendah. Malah perkara yang menyedihkan ialah ada
dikalangan mereka yang sanggup mengikat perut demi mengurangkan
beban kewangan yang ditanggung mereka. Buktinya telah terpampang
melalui laporan sebuah akhbar perdana baru baru ini. Tindakan
berani mahasiswa di Universiti Putra Malaysia memboikot
kafetaria haruslah dipuji. Ini kerana hak mereka untuk mendapat
harga makanan yang berpatutan telah tercabar dan tergugat.
Diskriminasi ini perlu dihentikan kerana mahasiswa bukanlah
mereka yang mempunyai kerjaya dan pendapatan tetap. Bahkan isu
ini turut berlaku di IPTA di Gombak apabila terdapat seorang
mahasiswa di universiti terbabit bangun dan mengajukan persoalan
ini kepada Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi sewaktu
pertemuan beliau bersama mahasiswa di UiTM Shah Alam baru baru
ini.
Selaku mahasiswa undang undang, saya ingin mengucapkan tahniah
kepada Yang Berhormat Dato Mustapha Mohamed, Menteri di
Kementerian Pengajian Tinggi atas usaha beliau turun bersama
mahasiswa hampir setiap universiti perdana dalam rangka lawatan
kerja beliau. Di dalam setiap lawatan tersebut, beliau telah
memberikan penerangan dan taklimat isu semasa terutamanya
berkaitan isu minyak. Selain itu, beliau turut menerima
pandangan dan komen secara terbuka dari mahasiswa dalam usaha
beliau memperkasakan kementerian tersebut. Ini merupakan titik
permulaan yang baik kepada mahasiswa untuk memberikan pandangan
apatah lagi ketika berlakunya isu kenaikan harga minyak.
Namun begitu, tekanan harga minyak tetap merungsingkan mahasiswa
di IPTA. Walaupun pelbagai penerangan telah diberikan, masih
lagi terdapat pihak yang cuba mengaut keuntungan. Kes lain
berlaku melibatkan sector pengangkutan awam. Segelintir
pengusaha bas ekspress di laluan Pantai Timur menaikan tambang
harga hampir tiga peratus. Kenaikan harga ini turut menekan
mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman. Walaupun
kerajaan telah memberikan peringatan, masih ada mereka yang
tidak bertanggung jawab melakukan perkara terbabit demi memenuhi
nafsu serakah mereka. Namun begitu, kita tidak harus menyalahkan
mereka kerana mereka juga terkesan hasil kenaikan minyak. Jalan
yang terbaik ialah pemantauan perlulah dilaksanakan seberapa
segera yang mungkin demi menjamin kebajikan mahasiswa.
Justeru mahasiswa kini yang menerima ancaman mula berpijak
dibumi yang seolah tiada tempat pergantungan. Maka amatlah wajar
bagi kerajaan melakukan sesuatu untuk menghadapi peperangan
harga kerana mahasiswa akan menjadi di antara mangsa utama.
Krisis yang menular ini perlu dihalusi oleh agensi terbabit demi
menjernihkan keadaan yang semakin keruh ini. Oleh itu, mahasiswa
menaruh harapan yang besar kepada kerajaan dalam menangani isu
yang semakin meruncing ini.
Sekian, terima kasih.
M.Hafiz Az Zubaidy
|