|
Minyak naik, ke mana hilangnya
Mahasiswa?
Kelompok mahasiswa adalah salah satu daripada sektor yang paling
penting dalam menentukan hala tuju sesuatu masyarakat. Ini
adalah kerana kelompok inilah yang benar-benar boleh meyakinkan
rakyat tentang sesuatu permasalahan umum. Ini juga disebabkan
kelompok mahasiswa merupakan golongan yang tidak mempunyai
apa-apa kepentingan politik yang boleh dieksplotasi daripada
masyarakat.
Hari ini Rakyat Malaysia menghadapi pelbagai tekanan oleh
kerajaan, tetapi malangnya kenapa Mahasiswa masih membisu seribu
bahasa berdiam diri di kampus masing-masing?
Rakyat sedang ditekan dengan kenaikan harga bahan bakar sebanyak
30 sen, kuasa beli Rakyat yang semakin menurun, satu persatu
aset strategik negara diratah oleh Singapura, 200000 Muslim
sedang dalam proses untuk murtad, walaubagaimanapun, Mahasiswa
yang amat diharapkan oleh Rakyat sebagai pembela mereka sedang
berseronok di kampus dengan menghantar SMS undian peserta
rancangan realiti TV kegemaran mereka, berpoya-poya dengan
kekasih masing-masing, dan aktiviti-aktiviti mencipta rekod
Malaysia seperti membina bendera terbesar di Malaysia.
Kenapa mereka tidak mewarisi Mahasiswa seperti tahun 1960-an
sehingga 1970-an yang menyaksikan kebangkitan para Mahasiswa
dalam memainkan peranan yang besar dalam membantu rakyat di
medan pertempuran melawan penguasa zalim.
Daripada isu "Hamid Tuah" sehinggalah "kebangkitan Rakyat
Baling" yang kebuluran semuanya disokong penuh oleh gerakan
Mahasiswa pada ketika itu. Pada masa itu Mahasiswa begitu
lantang menyuarakan bantahan terhadap penindasan dan kekejaman
yang dilakukan oleh pemerintah kepada rakyat bawahan.
Kenapa peranan Universiti sebagai pusat untuk mencari ilmu dan
kebenaran telah bertukar menjadi kilang yang mengeluarkan produk
untuk dijual kepada pasaran walaupun beratus ribu graduan
sekarang menghadapi masalah pengangguran? Mahasiswa juga
menghadapi bala pengangguran yang sedang menunggu mereka, tetapi
kenapa Mahasiswa masih tidak lakukan sesuatu?
Mahasiswa sekelian,
Jangan beri alasan AUKU menyekat pergerakan mereka dan
sebagainya, jika kita benar-benar bersatu dan ikhlas membela
Rakyat, tiada sebarang akta yang mampu menghalang usaha murni
kita.
Sejarah telah membuktikan bahawa hanya apabila kelompok
Mahasiswa dan kelompok buruh mula bekerjasama maka pembaharuan
yang dicita-citakan oleh Rakyat akan berjaya tercapai.
Ayuh! Bangunlah segera wahai Mahasiswa sekelian. Rakyat amat
memerlukan gerakan Mahasiswa untuk membela nasib mereka.
Ingatlah bahawa hanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman
kerana dunia akhirnya kepunyaan anak-anak muda (Hishamuddin Rais).?
Cetusan khas:
Angkatan Pemuda Insaf (Baru)
API_baru@yahoo.com
People Power
|