BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )


MACAM-MACAM GILA APA UBATNYA?

Tidak sampai dua tahun Pak Lah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima ‘macam-macam perkara’ yang di luar dugaan dan jangkaan berlaku. ‘Kasihan Pak Lah’. Yang paling ‘gila’ sekali, ialah berebut ‘mayat’ mahu dikebumikan dalam kubur Islam. Yang direbut itu satu mayat India Islam dan satu mayat Cina murtad padahal berapa ramai orang Melayu yang mempunyai masalah yang sama, tidak ikut ‘addin’ serta amalan hidup cara Islam paling sempurna. Tapi siapa pun tak ‘peduli’. Bukankah mati itu adalah permulaan hidup di dalam ‘ghaib’.

Sepatutnya kita memikirkan apakah kita akan ‘mati’ dalam hasnul khatimah, mati dalam ‘iman’, sempat mengucap dua kalimah syahadah, Ashadu ala illahaillah wa ashadu ana Muhammadar Rasulullah. Berlaku celaru, haru biru sekarang ini ialah bila kita mengutamakan ‘kulit’. Padahal bila kita mati jasad dimakan ulat. Yang akan berpindah ke alam barzah ialah ‘roh’. Dan yang akan jawab soalan mungkar nakir ‘roh’ juga. Peliklah kalau kita bergaduh sesama sendiri hanya sebab di mana nak mengebumikan mayat..

Kasihan mereka yang ‘gila kuasa’. Mungkin juga media terpaksa mengada dan membesar-besarkan cerita dua manusia yang menjadi rebutan orang Islam dan bukan Islam untuk menutup cerita Khairy Jamaluddin seperti membesar-besarkan cerita ‘AP’ Ayah Pin untuk menutup ‘AP’ Rafidah Aziz. Kalau Pak Lah tegas ketika itu suruh Rafidah berundur ‘a stich in time saves’s nine’. Berani buang Rafidah, sembilan menteri tak BERANI hantar ‘memo’. Pemimpin kena BERANI, berani kerana benar.

Soal ketuhanan tak boleh buat main ‘silap mata’. Ada ke berebut ‘mayat’ hingga ke Mahkamah Syariah dan Sivil? Sepuluh kali naik haji, mati di bumi Mekkah pun kalau hutang orang tak bayar, ‘roh’ tak lepas naik ke atas.

‘Kasihan’ Pak Lah, orang yang terkenal ‘baik’, Mr. Clean Man, jadi ibarat ‘perfume’ pewangi yang baunya saja harum, tapi tak boleh mengenyangkan, ramai sangat orang lapar ekonomi teruk. Akhirnya memalukan mereka yang ada kelulusan bidang pengajian Islam sebab tak layak jadi Perdana Menteri, dan tak ada kemampuan nak selesaikan masalah rakyat kerana tak ada sifat ‘BERANI’. Yang ‘rugi’ siapa? Melayu juga. Memang pening kepala memikirkan semua ini.

Ramai orang hari ini berkelakuan ‘aneh’, ‘biul’, ‘luar tabii’. Lesbian dan homoseks berleluasa tapi siapa pun ‘tak peduli’. Pergi saja ke Petaling Street, China Town pilih pasangan yang anda suka akibat ramai sangat yang ‘sakit jiwa’. Siapa yang jadi kepala? Mereka ada Amerika dibelakang. Tak boleh ditegur, tak boleh dilarang nona-nona dan jantan zaman sekarang, kalau tegur nanti hak asasi manusia murka.

Ramai yang nama saja Islam tapi tak mahu membaca dan mengkaji Al-Quran. ‘Islam itu cara hidup’ yang paling sempurna bukan sekadar ‘AGAMA’. Macam mana mengaku ‘Islam’ kalau watak, tingkah laku, pakaian, budaya sama seperti orang kafir? Islam ada Hadhari, Hadlari ‘mengarut’. Kata-kata Nabi itu kata-kata Allah, “sesudah aku wafat kembali kepada Al-Quran dan Sunnahku atau kembali kepada Al-Quran dan ahlul baitku” bukan adakan Islam versi baru.

Pakaian orang Islam itu ‘iman’ dan ‘taqwa’. Perempuan wajib menutup aurat, perintah Allah bukan pakai kebaya ketat nampak coli dan nampak ........... Islam tidak ada kena mengena dengan baju Melayu. Islam bukan kerana termaktub dalam Perlembagaan yang Melayu itu Islam, maka secara automatik jadilah ISLAM, Islam Melayu yang Al-Quran tidak hadir didalam diri.

Pernah membaca ‘The Animal Farm’ oleh George Orwel di mana tuan punya ‘Manor Farm’ mengadakan mesyuarat dengan semua binatang peliharaannya. Dia bermimpi semua manusia sudah tidak ada lagi, binatang boleh hidup dengan aman damai. Dia menyamakan manusia seperti dendalu ‘parasite’. Babi yang menjadi pemimpin mengajar binatang membaca dan menulis. Di pendekkan cerita akhirnya binatang sedar tidak ada beza ‘khinzir’ dengan manusia, bila manusia sudah bertukar menjadi ‘haiwan politik’.

Kisah hidup Nyonya Binti Tahir dan M.Moorthy Muhammad Bin Abdullah patut dijadikan iktibar. Bila dalam kubur nanti yang akan ditanya oleh malaikat apa ‘cara hidup’ kamu? Bukan apa ‘MAZHAB’ kamu? Pelik, mengutamakan ‘kulit’ lebih dari ‘isi’. Islam itu ‘ritual’ dan ‘spiritual’. Ada syariat mesti ada hakikat, ada jasad, ada roh, ada awal, ada akhir, ada dunia, ada akhirat, perjalanan didunia berakhir di kubur.

‘Pelik’ tapi benar. Bukan sekadar ‘sembah’ manusia, tapi ada manusia yang sanggup minum air kaki Ayah Pin, padahal sejak dari Alam ‘roh’ manusia sudah berjanji tidak akan ‘sembah’ selain daripada Allah. “Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu - Al-Quran.” Muhammad SAW itu Al-Quran yang hidup, Rahmatan lil Alamin. Tak ‘baca’ punya pasal, Islam ‘ritual’ ikut-ikutan, ada had, ada hari, mengabaikan peri pentingnya ilmu ‘kerohanian’ dan ‘hakikat insan’. Tanpa “mengenal diri” dan “mengenal Tuhan” hidup menjadi tidak seimbang. Inilah yang menyebabkan ramai yang ‘sakit jiwa’, sebab terlalu mementingkan keduniaan dan materialistik. Kasihan, Pak Lah juga yang kena ‘santak’. Bawa ‘HADHARI’ untuk memberi appetizer’ kepada yang telah hilang selera pada Islam.

Anda pernah menonton filem ‘God Must Be Crazy’, mengenai satu masyarakat yang dulunya aman damai tiba-tiba jadi ‘gila’, bergaduh sesama sendiri akibat ‘berebut’ sebutir botol ‘Coca Cola’ yang sudah kosong yang dibuang dari atas kapal terbang. Keadaan ini macam ‘perangai’ mereka yang berebut ‘kuasa politik’, berebut kedudukan dan pangkat, berebut pengundi, berebut ‘umat Muhammad SAW’ untuk menjadi ‘pengikut’ mereka yang punya SUNNAH sendiri, ada ilmu agama tapi tamak dan bakhil dengan harta sedangkan Nabi Muhammad SAW menolak ketiga-tiga Ta, takhta, harta dan wanita. Baca semula buku saya ‘Wanita, Takhta dan Kuasa’.

Isu ‘memo’ oleh sembilan anggota Kabinet kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi berpunca dari berebut ‘mayat orang mati’ dipercayai bermula dengan Biro Undang-Undang dan Biro Agama MCA yang mengadakan pakatan dengan parti-parti komponen BN dan NGO. Mereka telah menimbulkan satu ‘kejutan minda’. Syukur, akibat mereka menghantar ‘memorandum’ terus kepada Perdana Menteri.

Datuk Samy Vellu marah bila Kayveas menegur “kalau Kayveas mahu jadi menteri, minta dengan Pak Lah, siapa pun tak boleh nasihat kami selain Perdana Menteri”. Mereka tahu Pak Lah ‘baik’, takut hendak lukakan hati orang. Tak macam Tun Mahathir ‘berani’? Betulkah Pak Lah ‘lembik’ hingga mereka berani ‘kurang ajar’? Orang Melayu yang ‘panas baran’ terus melenting, tak peduli apa nak jadi, jadilah! Memo dibalas dengan memo juga.

Pindaan 1988 diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti dua pertiga oleh Kerajaan BN. ‘Pindaan’ itu dilakukan setelah pelbagai pihak mengadakan pelbagai seminar dan kertas kerja yang menghujah bertapa perlunya kedudukan Mahkamah Syariah diperkukuhkan. Lupa? Atau buat-buat lupa? Melayu mudah lupa.

Kalau orang luar hantar memo o.k. juga kerana Pak Lah dikelilingi pagar besi berduri. Hendak kata ‘Pendek akal’ ‘mustahil’, ‘acah aje’ agaknya? Kebiasaan orang politik tak segan-segan, ‘sudah ludah jilat kembali’, menarik balik memorandum berkenaan bila tahu bahaya termasuk boleh hilang kerusi menteri. Itulah yang berlaku bila ikutkan perasaan.

Nasib Samy Vellu ‘tak baik’ di tahun anjing, 2006 MIC pecah dua. Datuk Pandithan IPF akan keluarkan semula ‘keranda’ yang pernah menjadi kontroversi 17 tahun lalu. Samy Vellu tuduh Pandithan bekas Naib Presiden MIC guna isu ‘kasta’ dan membuangnya dari MIC. Bila Samy bergaduh dengan MIC baru tahu siapa mati? Apakah tak mustahil Datuk S.Subramaniam yang telah lama jadi mangsa boleh mengugat Samy Vellu. Setinggi-tinggi Boeing 747 naik ke langit pasti akan mendarat juga, sama ada dengan cara baik atau terhempas.

Ramai Melayu bertanya “adakah patut perundangan umat Islam yang ‘kecil’ dan ini sajalah yang tinggal untuk Melayu boleh bangga selain dari askar Melayu dan lagu-lagu Melayu asli, sebagai contoh lagu Bulan Mengambang Pak Ngahlah Balik, pun mereka hendak diceroboh?” Selain dari orang Korea, Melayu saja yang pandai ‘amuk’. Bila sudah meluap marah sanggup ‘bergadai nyawa’. Tak mustahil ada Melayu yang sanggup bersama Pandithan memaksa Samy Vellu letak jawatan. Datuk Kayveas sudah pun memulakan, Samy yang sombong kata “Saya tidak mahu dengar cakap sesiapa melainkan Perdana Menteri,”. Samy lupa, raja itu rakyat, jika rakyat tak beri undi tak dapat kerusi?

Islam tu sajalah yang tinggal pada Melayu selain dari nyawa, harta pusaka dan tanah air. Melayu dah tak ada tempat lain nak lari. Indon pulang ke Indon. Bangla ada negerinya sendiri. Melayu sudah seperti ayam yang kelaparan di tepi kepok dan itik kedahagaan di tepi air. Raja pun sekadar LAMBANG sahaja. Politik yang menguasai agama. Jika orang bukan Islam yang memerintah, Perlembagaan boleh diubah. Tidak mustahil ISLAM bukan lagi menjadi agama rasmi sedangkan kebangkitan Islam bertambah di USA, di UK, Palestin dan Syria.

Kita sedih Ketua Agama tidak turun ke padang bila timbul isu yang menyentuh agama. Padahal agama Islam sudah ‘lunyai’. Umatnya ramai yang sudah ‘hampeh’. ‘One cent no use’, Ketua Agama buat apa? Hilang Islam lenyaplah kedaulatan raja-raja.

Fikirlah sikit! ‘Mahkamah Syariah’ bukanlah Mahkamah Rendah dalam sistem Mahkamah Sivil tetapi ia adalah satu sistem yang setaraf dan selari dengan sistem Mahkamah Sivil. Bab Agama ini Melayu paling ‘sensatif’ biarpun Islamnya sekadar ‘ceremonorial’. Waktu lahir ‘diazankan’ atau ‘dikamatkan’ kemudian ‘disunatkan’, waktu hendak akad nikah mesti ikut cara Islam, bila timbul bab ‘mati’ tetap mahu dikebumikan dalam kubur Islam, ketika talqin tidak lagi didengar oleh mereka yang berada dikuburan. Talqin ini untuk orang hidup supaya membuat persiapan. Nak jawab apa bila mati, siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apa ikutan mu? Apa agama kamu dan siapa saudara kamu? Kalau agama tidak dijadikan ‘addin’ boleh jawabkah semua ini?

Ramai Melayu ‘marah’ kerana kebanyakan pemimpin UMNO senyap sepi melainkan beberapa orang saja. Sekadar melepas batuk di tangga. Ketua dan Naib Ketua Pemuda UMNO pula tak seperti zaman Datuk Harun dan Syed Jaffar Albar. Apa sudah jadi? Anwar Ibrahim pun tak berbunyi?

Ramai yang mahu mereka yang hantar memo memohon maaf secara terbuka bukan saja kepada Perdana Menteri tetapi juga umat Islam di negara ini. Apa pun ramai yang tahu ‘Melayu hangat-hangat tahi ayam’. Mereka yang hidup dalam ‘comfort zone’ peduli apa pada bangsa dan agama? Apa yang dibuat Melayu ‘ad hoc’, Melayu tak sungguh-sungguh. Siapa hendak hormat?

Generasi ketiga terlupa ‘Melayu’ telah banyak berkorban dan memberikan secara percuma pelbagai hak terutama ‘kerakyatan’ dengan syarat tak sentuh agama Islam sebagai agama rasmi. Hari ini yang tinggal hanya ‘Mahkamah Syariah’ yang begitu kerdil kuasanya. ‘Sedih’. Satu-satunya kubu terakhir orang Islam dibuminya sendiri itupun mahu dicerobohi. Berapa ramai yang sanggup mempertahankan ‘agama Allah’ hingga ketitisan darah yang terakhir? ‘Jihad’ yang dipelopori oleh Salehuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS. Salehuddin ‘BERANI’ diketika keadaan begini.

Ramai yang berjalan dengan orang ramai yang selesai mengerjakan solat Jumaat setelah mendengar penerangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salehuddin Ayub berhubung ‘memorandum’ bantahan tersebut berani berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut. Sambil membawa kain rentang dan poster tertera slogan, “Pertahankan Kuasa Mahkamah Syariah, Pertahankan Islam’ serta ‘Pertahankan Artikel 121(1A).”

Melayu mahukan pemimpin yang ‘berani’. Yang ‘senyap’ itu perempuan, bila dipinang tanda setuju. Khairy Jamaluddin pula sibuk dengan kempen mendaftar ahli baru untuk kuatkan kedudukan sambil mengadakan ‘Festival Zapin’. Macam ini ke kelulusan dari Oxford berkelakuan? Bukankah UMNO itu Melayu dan Melayu itu Islam? Apakah nanti bila Khairy menggantikan Hishamuddin, Pemuda UMNO sekadar layak menjadi juara menyanyi dan menari? Kasihan ada Pemuda yang sanggup dijadikan macam ‘beruk rantai pendek’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, “Tindakan menteri-menteri itu dianggap sebagai satu ‘ugutan’ dan bersifat ‘perkauman’. Mereka sepatutnya menggunakan forum yang ada termasuk menggunakan mesyuarat Kabinet untuk membincangkan isu tersebut. Sebagai menteri, mereka sepatutnya lebih prihatin kerana ada tatasusila yang perlu dipatuhi dalam mengemukakan sesuatu permintaan dan ia boleh dilakukan dengan cara yang baik dan bukannya ‘mendesak’. Selalunya orang akan menghantar memorandum hanya apabila permintaan mereka tidak mendapat kerjasama. Malah Peguam Negara juga telah diminta meneliti perkara ini, jadi apa perlunya mereka menghantar memorandum. Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa kita tidak boleh berunding. Pada saya memorandum ini merupakan satu penghasutan dan mereka sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan. Amat malang sekali, mereka yang veteran dalam Kabinet tidak mencongak implikasinya apabila bertindak secara kurang sopan itu.”

Kamar Aniah Kamaruzaman, Peguam Syariah wanita yang terkenal, ahli Persatuan Peguam Muslim Malaysia ‘kesal’ dengan sikap Zainah Anwar (SIS) Sister In Islam Malaysia dan lain-lain anggota NGO mengenai Pindaan Enakmen Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (2204), dan berhubung cadangan untuk memansuhkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. “Kita kesal dengan mereka ini. Apakah mereka sedar apa yang mereka lakukan itu boleh menjejaskan kedudukan agama Islam? Saya sungguh tidak faham dengan orang-orang seperti ini.”

Mengapa cadangan meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Malaysia perlu ditentang. Kenapa satu memorandum perlu dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia? Jika dibuat dijangka akan membunuh kuasa ‘Mahkamah Syariah’, manakala Mahkamah Sivil boleh memansuhkan keputusan Mahkamah Syariah sehingga ke peringkat tidak ada makna lagi. Kalau ini berlaku kedudukan Raja-Raja Melayu selaku Ketua-Ketua Agama menjadi tak ‘releven’, apalah ertinya bidang kuasa agama di bawah Ketua-Ketua Agama, Raja-Raja Melayu jika ianya menjadi ‘kain buruk’ untuk mengesat air mata Melayu?

Inilah ‘suara hati’ umat Islam yang terkandung didalam memorandum yang disampaikan oleh mereka yang cintakan agama Allah ISLAM.

“Perkara ini mencabar maruah semua umat Islam tidak kira PAS, UMNO atau mana-mana pihak. Perbezaan politik tidak lagi menjadi perhitungan kerana kita akan menanggung kesan buruk jika Perkara 121(1A) itu dipinda.”

Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid, berkata walaupun tindakan lima daripada 10 menteri terbabit menarik balik memorandum itu adalah baik, ia tidak dapat menghilangkan perasaan terluka umat Islam di negara ini.

Katanya, sebagai menteri dan pemimpin kanan parti dalam komponen Barisan Nasional, mereka sepatutnya memikirkan kesan dan akibatnya terlebih dulu sebelum membuat tindakan yang kurang wajar itu.

Turut mengingatkan menteri terbabit supaya jangan mengulangi tindakan serupa pada masa depan dan menyelesaikan sebarang masalah menerusi rundingan. Naib Presiden UMNO Ali Rustam berkata, “Tindakan menarik balik memorandum itu boleh mengekalkan semangat perpaduan yang wujud sekian lama.
Kita ucapkan tahniah pada Pak Lah kerana berjaya menyelesaikan isu berkenaan dengan baik dan menjelaskan bahawa pindaan Artikel 121(1A) tidak perlu.”

Memang betul sejak Pak Lah jadi PM macam-macam ‘gila’ ‘muncul’. Periuk nasi penulis politik diterbalikkan. Kasihan Pak Lah terpaksa menanggung, semua hendak kena jawab. Menteri UMNO yang lain buat ‘bodoh’ aje ke? Manalah Pak Lah tak ‘letih’ tidak ‘lelah’. Nasib baik ada Najib sebagai Timbalan. Kalau tidak sudah lama Pak Lah rebah. Kasihan Pak Lah berundur sajalah!

Dalam keadaan pasaran dalam negara dihimpit oleh persaingan kereta impot, pasaran luar merupakan satu-satunya peluang menyelamatkan jangka hayat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd (Proton), dan langkah konkrit ke arahnya wajib dilakukan dengan mengambil segala peluang yang ada. Namun, langkah yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah sebaliknya dan menimbulkan persoalan, macam tukar kereta dengan pisang.

Saifuddin Nasution Ismail
Bekas Adun Lunas,


Pada malam Ahad 15hb. Januari 2006 di Restoran Nelayan Titiwangsa, satu majlis ‘sembang-sembang Titiwangsa’ telah diadakan atas jemputan Datuk Paduka Ibrahim Ali. Satu-satunya tokoh ‘living legend’. Biarpun gagal menjadi Wakil Rakyat di Pengkalan Pasir, Ibrahim Ali masih tetap dihormati, kerana berani bertarung dengan dua gergasi hebat. Dia ‘berani’. Tak ramai MELAYU yang ‘berani’ macam Ibrahim Ali, sebab itu dia masih berpengaruh, masih boleh kumpul orang-orang intelek dan orang mahu dengar pendapatnya.

Rakan ini dilihat setia dan pengkagum politik ‘animal’nya. Namun anihnya mereka tidak mudah untuk membuka kaki seiringan dengan Ibrahim, menyeberang tembok perjuangan. Mereka masih sedia ‘berjumud’ di dalam koloni UMNO. Mereka juga agak liat untuk bersama Ibrahim dalam membawa idealisme memperjuangkan nasib bangsa. Malah ada kalanya mengelak untuk tidak dilihat bersubahat dengan Ibrahim dalam perjuangan membela nasib bangsa. Jadilah mereka dituduh oleh sesetengah pihak sebagai ‘kutu kerbau’ (oportunis), mencari Ibrahim ketika untuk ‘berhoha’ sahaja.

Sayuti Omar
Buletin Demokrasi.


Bukan mudah untuk mengumpulkan manusia pelbagai watak, pemikiran dan ideologi perjuangan. Namun gila-gila Ibrahim Ali, apa pun cemuhan yang dilemparkan, ramai yang sanggup sabung nyawa bersama Ibrahim yang sudah dua kali kena ISA, terbuang tapi terbilang kerana Ibrahim ‘berani’ seperti semasa Almarhum Datuk Harun dan Syed Jaffar Albar. Brahim ini didalam UMNO, dalam Semangat 46 perangainya sama aje. Dia ‘berani’. Ini baru ‘pembela’, pejuang.

Antara ramai yang ‘sembang-sembang’, saya tertarik dengan kata-kata Zaharin (Sang Kelembai) UMNO Reform. “Hari ini kita sudah diperintah oleh dua orang juga seorang Pekak dan seorang Tuli. Si Pekak boleh bercakap, Si Tuli tak faham, Si Tuli juga boleh bercakap tapi Si Pekak tak boleh mendengar. Malang kedua mereka tetap tidak dapat pergi menerima undangan makan malam undangan Presiden Amerika kerana orang ketiga termasuk Majlis Tertinggi UMNO sudah tidak mengambil kesah kerana takut jawatan dan kemudahan mereka akan hilang jika beri pandangan kepada kedua mereka ini.

Teringat pesanan Ahmad Hambali (pengasas mazhab hambali) bila ditanya antara dua orang, siapa yang hendak dipilih sebagai panglima perang menentang puak kafir. Satu alim, bersih dari maksiat malah mungkin tidak rasuah, tapi penakut. Kedua penuh dengan maksiat dan sebagainya tapi berani. Maka dijawabnya ambil orang kedua itu, kerana walau pun dia banyak melakukan maksiat itu tanggungan diri sendiri tapi keberanian itu adalah untuk Islam sementara orang yang pertama itu, alimnya, tidak rasuah dan cucu ulama tetapi sayang diri penakutnya akan jadi beban pada Islam. Sang Kelambai.

Sekadar menyampuk, ‘si buta’ itu nampaknya seperti orang biasa saja kerana ‘buta celik’ tapi bila jadi menteri ‘akal’ dia hilang sekejap. Dia jadi ‘bebal’. Cuba baca buku saya “Mereka Yang Hilang Akal”. Mungkin mereka ‘buta’ akibat ‘mata duitan’. Orang yang ‘mata duitan’ ini ‘buta hati’, yang mereka nampak duit saja, duit yang disembah. ‘Tuli’ akibat telinga sudah ‘disumbat duit’. Cuba baca sajak saya WANG, dia sudah tidak dapat melihat lagi, manusia yang dibutakan akibat mata duitan. Dia sudah jadi watak dalam ‘Animal Farm’. Syukur ada juga yang sempat ‘bertaubat’ selepas bersara. Kebiasaan manusia bila ada yang ‘memuja’, mesti ada yang ‘mengkritik’. Mari kita dengar pendapat Hishamuddin Rais pula.

Apabila sudah pencen dari jadi menteri dengan serta merta si Mamat ini menjadi manusia kembali. Ertinya dia ada mata, ada jiwa dan ada perasaan. Inilah betul-betul hairan bin pelik. Semasa jadi menteri dahulu saya hanya melihat gambar si Mamat ini dalam tv atau laporan-laporan di akhbar sahaja. Memang hebat – yang saya maksudkan ‘hebat’ ini hanya gambarnya bukan buah fikirannya. Ini kerana apa sahaja ucapan atau laporan dari mulut si Mamat menteri ini semuanya hampeh dan satu sen pun tak boleh dipakai. Tetapi bila dia pencen dengan tiba-tiba dia menjadi manusia yang rasional dan otaknya bergeliga.

Hishamuddin Rais
Keadilan


Radzi Mustapha Pengerusi Majlis memulakan sambil berkata “Kita lupa sekejap soal perbezaan idealogi, soal dagangan, soal urusan perbadi tetapi kita sama-sma bincang apa-apa sahaja, kita jadikan majlis ini sebagai wacana percambahan minda.”

Antara perkara penting yang disebut dalam ‘majlis sembang-sembang’ lebih mengenai ‘memorandum’ meminta kerajaan mengkaji semula Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang Mahkamah Sivil dari mempunyai kuasa terhadap perkara yang membabitkan Islam, yang mana adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Memorandum itu juga mahukan kerajaan meminda undang-undang yang membenarkan hanya seorang sahaja dari ibubapa bagi menukar agama anak mereka yang berusia 18 tahun ke bawah. Memorandum tersebut juga mahukan kerajaan membetulkan percanggahan di antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Saya tidak tahu berapa orang yang baca surat perjanjian perdagangan bebas dua hala Malaysia-Jepun. Perjanjian yang ditandatangani diantara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Jepun telah dimeterai pada penghujung tahun lalu. Perjanjian yang disifatkan oleh Menteri Perindustrian Dan Perdagangan Antarabangsa Datuk Seri Rafidah Aziz sebagai satu kerangka ekonomi yang menyeluruh (a comprehensive economic framework) yang perlu difahami, di sebalik jargon atau terma-terma ekonomi yang tidak difahami oleh rakyat biasa, perjanjian itu dalam ‘bahasa mudah’ akan membawa Malaysia undur kebelakang selama beberapa dekad. Perjanjian “Japan-Malaysia Economi Partnership Agreement” akan menjadikan Malaysia balik kepada peranannya sekitar tahun 60an hingga awal 80an. Sebagai contoh kita jual getah kemudian beli balik ‘seliper Jepun’ dari Jepun. Tidak gila ke perjanjian yang merugikan rakyat dan negara? Ini antara isi surat yang diedarkan.

“Kasihan Malaysia akhirnya tidak lebih dari sebuah negara pengeluar bahan mentah, hasil pertanian serta perladangan yang tak boleh eksport hasil tani ke Jepun tapi terpaksa mengimport kereta Jepun. Secara keseluruhan akan memastikan hampir semua barangan yang dikeluarkan oleh Jepun tidak dikenakan cukai apabila memasuki pasaran Malaysia.

Apa yang ditakuti oleh Tun Dr. Mahathir adalah Malaysia akan menuruti langkah negara-negara Dunia Ketiga yang lain yang akan menjadi kilang pengeluaran atau ‘assembly line’ untuk memenuhi permintaan negara maju. Mereka yang pernah menonton televisyen mengenai “banana republics” faham nasib negara mundur yang dijadikan “sweat shop” untuk negara maju. Satu penjajahan bentuk baru dalam era dunia tanpa sempadan.

Apakah kita mahu rakyat negara kita menyembah rakyat asing untuk mendapatkan kerja dan bertungkus lumus untuk memastikan kerja yang dilakukan memenuhi kehendak pengurus dan penyelia yang terdiri dari orang asing? Dan orang asing itu tidak mempunyai belas kasihan terhadap pekerja tempatan kerana tiada perasaan belas terhadap manusia yang berlainan agama dan bangsa. Ini telah terjadi di negara jiran, di Indonesia, Thailand, Cambodia, Vietnam serta negara Latin. Penjajah ada KUASA, KAYA dan KEJAM dan rakyat yang dijajahnya pula hidup dalam BODOH, MISKIN dan TAKUT. Fikirkanlah.

Hari ini rakyat Malaysia masih mampu berdiri megah dan merasakan tarafnya dengan rakyat asing adalah sama. Namun ini akan berubah apabila ‘pergantungan ekonomi’ kepada negara luar. ‘Penjajahan ekonomi’ telah bermula, dan perjanjian dua hala dengan Jepun adalah langkah yang pasti menjurus ke arah tersebut sudah pun ditandatangani. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tak ada gunanya.
Sebagai mengakhiri tulisan ‘Macam-Macam Gila Apa Ubatnya’ cuba fahami sebuah hadith yang diriwayatkan oleh sahabat juga menantu Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib karamullah hu wajhah.

“Akan terjadi banyak fitnah bagaikan penggalan malam gelap-gelita” Aku bertanya : “Apa jalan keluarnya, wahai Rasulullah?”

“(Peganglah) kitabullah (Al-Quran). Di dalamnya berisi berita mengenai orang-orang sebelum kamu dan khabar mengenai orang-orang sesudahmu. Al-Quran menjadi pemutus hukum antara kamu sekalian, yang memisahkan kebenaran dari kebatilan dan bukan bahan senda-gurauan. Barang siapa tidak mengikutinya kerana kesombongan, ia pasti akan dibinsakan Allah. Barang siapa mencari petunjuk di luar Al-Quran, maka ia pasti akan disesatkan Allah. Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh, cahaya Allah yang terang dan zikir yang penuh hikmah. Ia adalah jkalan yang lurus. Dengan berpegang kepadanya, hawa nafsu tidak akan menyimpang dan lidah pun akan tegak dalam kebenaran. Pendapat para ahli ilmu tidak akan bercabang-cabang bersamanya, para ulama tidak akan kenyang dengan ilmunya. Orang-orang yang bertaqwa tidak akan merasa bosan membaca dan merenunginya. Al-Quran tidak akan usang kerana dibaca berulang-ulang dan tidak akan habis keajaibannya. Jika jin mendengar bacaannya maka mereka tidak henti-hentinya mengatakan; “Sesungguhnya kami mendengar Al-Quran yang menakjubkan. Barangsiapa mendapatkan ilmu darinya, ia pasti unggul. Barangsiapa berkata dengan menggunakan konsepnya, ia pasti berada dalam kebenaran. Barangsiapa menetapkan hukum dengannya, ia pasti berlaku adil. Barang siapa mengamalkan kandungannya, ia pasti diberi pahala, dan barang siapa mengajak orang lain kepadanya, ia pasti akan ditunjukkan ke jalan yang lurus”.

Di riwayatkan dari Al-Haris dari Imam Ali.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762