BALIK KE MUKA UTAMA

UMNO semakin menghala reformasi dalaman

Menteri Besar Selangor dan Dato Syed Hamid Albar dilaporkan berkata bahawa UMNO harus meneliti kesan pemecatan Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad terhadap imej UMNO. www.umno-reform.com berpendapat bahawa isu pandangan negatif rakyat terhadap UMNO tidak timbul malah lebih akan lebih meyakinkan rakyat bahawa UMNO sekarang menuju ke arah perubahan atau perkataan yang selama ini menggerunkan UMNO iaitu reformasi.

Mahu tidak mahu selama ini ada yang berpendapat UMNO gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang berpangkat tinggi dalam UMNO dan sering mempertahankan menteri yang korup tetapi hari ini adalah contoh jelas bahawa UMNO sedang melakukan perubahan. www.umno-reform.com juga pada satu ketika hampir percaya bahawa UMNO tidak mampu di ubah tetapi hari ini apa yang jelas adalah kepimpinan Pak Lah sedang berusaha kuat untuk memberikan keyakinan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada parti - parti pembangkang yang lain bahawa UMNO adalah dalam proses perubahan dan akan berusaha sekuat mungkin untuk membasmi kehadiran rasuah khususnya dalam jentera UMNO sendiri. 

Ini adalah contoh awalan dalam usaha kepimpinan Pak Lah tetapi jalannya masih panjang. Kepimpinan Pak Lah masih berhadapan dengan krisis politik wang atau rasuah politik yang ketara. Pembasmian ini bukan mudah untuk di atasi. Pak Lah harus meneliti sehalus - halusnya semua ruang yang memungkinkan penyemaian benih - benih rasuah dalam UMNO. 

Peringkat Cawangan dan Bahagian juga penuh dengan unsur rasuah, kronis dan nepotisme yang harus di beri tumpuan. Susun atur cawangan dan komposisi cawangan harus di kemas kini agar penyemaian kepimpinan adalah dari mereka yang mempunyai nilai pekerti yang tinggi. Kita harus sedar bahawa dari sini - di peringkat cawangan ini akan hadir mereka yang bakal memerintah negara ini. 

Imej UMNO terus pulih

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak bahawa perubahan harus dilaksanakan dari atas. Kebenaran ini disokong khususnya dalam sistem yang ada sekarangan ini. Sistem kita yang penuh dengan apa yang di sebut terpimpin berkehendakkan kekuatan Pak Lah dalam melakukan perubahan. Sekiranya Pak Lah sendiri tersekat, teragak dan mungkin terikat maka kita akan melalui kembali keadaan yang mana menyaksikan kepercayaan kepada UMNO terhakis dan semakin berkurangan. www.umno-reform.com percaya bahawa insiden menjatuhkan hukuman ke atas Tan Sri Isa Samad tidak akan menjatuhkan imej UMNO malah membawa satu langkah ke hadapan ke arah memperkukuhkan perjuangan integriti UMNO. 

UMNO harus bukan sahaja bersih tetapi di lihat bersih. Ini adalah sesuatu yang harus dipegang - digenggam - dipertahankan. Perlaksanaan apa yang di sebut reformasi dalam UMNO mahukan mereka terus bangkit dengan berani untuk menyatakan pendapat dan kritikan. Malah adalah baik saranan Pak Lah - saya juga tidak terkecuali dari tindakan di tambah pula dengan satu lagi kenyataan , saya juga harus di kritik dan diperbetulkan.. Pak Lah harus  harus peka dengan semua menteri - kepimpinan lantikan beliau dalam melihat dan menilai prestasi mereka. Mereka yang kelihatan lemah dan tidak dapat membawa perubahan dalam kementerian mereka harus di tegur sehingga diambil tindakan untuk menggantikan mereka dengan kepimpinan lain yang lebih dinamik dan berani.

Penggal terakhir Pak Lah

www.umno-reform.com , dalam usaha menganjurkan reformasi dalam UMNO berpendapat bahawa Pak Lah harus mengambil sikap bahawa ini adalah penggal terakhir beliau dalam melakukan perubahan untuk kepentingan rakyat. Pak Lah harus tidak gusar sekiranya tindakan - tindakan beliau tidak popular di kalangan ahli - ahli UMNO yang menyemat kepentingan peribadi sebagai agenda menjadi ahli UMNO tetapi harus meletakkan kepentingan rakyat terbanyak sebagai kepentingan pertama. Ambil contoh dengan kehadiran Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap Tan Sri Isa Samad. Sungguhpun ramai penyokong Tan Sri Isa agak marah tetapi sekiranya budaya rasuah politik terus berkembang maka yang paling malang adalah rakyat biasa. 

Sikap untuk menjaga jawatan, mahu terus memegang kuasa walau dengan apa cara pun akan membantut langkah Pak Lah untuk membawa UMNO selangkah ke hadapan dan menjadikan parti itu terus dinamik dan berwibawa. 

www.umno-reform.com yakin bahawa Pak Lah mampu melakukan perubahan dalam UMNO dengan syarat Pak Lah tidak takut tersingkir atau di ugut bahawa ini adalah penggal terakhir Pak Lah.

Perubahan kepimpinan menegah

Bukan sahaja ahli UMNO yang sepatutnya di beri peluang untuk menjawat jawatan sebagai pemikir atau perlaksana ideologi perubahan dan duduk dalam jawatankuasa - jawatankuasa tertentu malah Pak Lah harus bersedia menerima mereka yang tidak berparti tetapi terlibat dalam kerja - kerja kemasyarakatan. Mereka ini mungkin tidak tahu sepak terajang politik tetapi mereka sepatutnya hadir dengan imunisasi tertentu untuk menjadi pihak pembangkang dalam UMNO itu sendiri. Mereka akan dapat memberi pandangan berbeza dalam usaha kepimpinan Pak Lah memberi yang terbaik kepada rakyat. Harus di ingat mereka dalam UMNO yang dilantik akan hanya mengangguk demi untuk menjaga tempat sedangkan mereka yang tidak mempunyai tempat tetapi jujur dalam memberi pandangan akan membawa kebaikan dalam UMNO. 

Perlantikan orang rapat untuk menjaga politik Pak Lah dengan usaha hanya untuk melaksanakan apa sahaja arahan tanpa ada interaksi dan diskusi tertentu akan pasti merugikan usaha pembaharuan Pak Lah dan rakyat. Pak Lah harus menyerap masuk mereka yang mempunyai "pandangan berbeza" untuk mendengar pandangan berlainan demi untuk membahaskan polisi dan dasar kerajaan. Satu jawatankuasa ini harus di bentuk yang di duduki oleh mereka yang bukan lagi ada kepentingan dalam parti, bertanding jawatan atau sedang memegang kuasa. Penjaluran lebar kepimpinan politik dalam kerajaan harus di buat dan bukan memberi satu - satu pemimpinan puluhan jawatan sehingga mereka mengambil masa yang amat perlahan untuk mengeluarkan keputusan. 

Mendengar dan faham

Asasnya adalah mendengar dan memberi kefahaman yang telus. Tidak akan ada perkara yang dilaksanakan oleh Pak Lah di anggap melampaui - hatta menaikkan harga minyak biar 10 kali dalam masa pemerintahan beliau. Syaratnya penjelasan menyeluruh dan dapat di terima oleh rakyat. Penjelasan - penjelasan seperti untuk menjaga keutuhan parti terlebih dahulu oleh kepimpinan UMNO sudah usang. Dalam isu ini kenyataan Dato khir toyo mengenai menjaga kesan negatif terhadap UMNO demi menjaga keutuhan UMNO adalah bagi kami usang. Penyingkiran mereka yang korup harus dilakukan segera demi UMNO. Menyimpan , menyorok dan mendiamkan jenayah perlakuan kepimpinan parti UMNO tidak akan dapat membantu menjaga imej UMNO malah tidak keterlaluan www.umno-reform.com   katakan akan lebih menghancurkan UMNO. 

Kita haus faham bahawa rakyat kita tidak akan menyalahkan kepimpinan Pak Lah sekira penerangan yang tepat , jujur dan saksama di berikan. Mereka pasti akan faham dan menerimanya tetapi sekiranya penjelasan adalah tidak telus, ragu - ragu dan nampak tidak terbuka akan menyebabkan apa sahaja keputusan yang diambil dibantah dan tidak di senangi.

Akhirnya perubahan harus dilakukan dan perkataan reformasi harus tidak di geruni kerana UMNO sendiri percaya mengenai apa yang di sebut sebagai reformasi sedang giat atau pasti akan dijalankan.
 


  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762