![]() |
|
9 Kawasan Tinggi Bahaya Boleh runtuh ketika musim hujan Kuala Lumpur: Sembilan kawasan tanah tinggi di seluruh negara dikenal pasti sebagai tempat berisiko berlaku tanah runtuh terutama ketika hujan lebat dan musim tengkujuh. Menurut laporan yang dikeluarkan melalui laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kawasan terbabit ialah Kuala Kenderong (Lebuhraya Timur-Barat, Perak), Jeli (Lebuhraya Timur-Barat, Kelantan) dan Gunong Brinchang (Cameron Highlands). Selain itu ialah Bukit Peninjau (Bukit Fraser), Genting Sempah (Lebuhraya Karak), Bukit Antarabangsa (Selangor), Kampong Sungai Lui (Jalan Langat/Kelawang), Gunung Gagau (Taman Negara, Kelantan) dan Pampang (Keningau, Sabah). Berdasarkan kajian yang dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) terdapat Lebuhraya Utara-Selatan, mendapati 246 kawasan berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh. Ia membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Sementara di Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli (Kelantan) dan Grik (Perak), ada 27 lokasi berisiko dikesan. Kejadian itu dijangka berlaku terutama pada musim hujan lebat serta tengkujuh dan ketika berlakunya fenomena La Nina. Di Pahang sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca mendapati 792 kawasan berisiko kejadian tanah runtuh iaitu di Kuantan (53), Pekan (38), Rompin (57), Maran (79), Temerloh (198), Bera (38), Bentong (18), Raub (56), Jerantut (117), Lipis (130) dan Cameron Highland (8). Menurut sampel kajian Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui laman web (lestari.ukm.my) terhadap tanah tinggi di Hulu Langat, jenis tanah runtuh yang paling banyak berlaku ialah gelongsoran tanah dan jatuhan tanah. Kebanyakan tanah runtuh yang dihasilkan adalah berisipadu kecil iaitu kurang daripada 1.00 M3. Gelongsoran tanah berlaku pada sudut cerun kurang daripada 45 darjah, manakala jatuhan pula berlaku pada sudut cerun melebihi 60 darjah. Selain faktor utama sedia ada pada tanah itu sendiri, faktor sampingan berpunca daripada projek pembangunan tidak terancang, menebus guna tanah dan pembalakan tanpa kawalan turut menyumbang kepada kejadian runtuhan.
|
|
Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762
|