|
Balasungkawa Kepada seluruh rakyat Malaysia 2
Pagi 28 Feb 2006, rata-rata rakyat Malaysia termasuk kami
menerima hadiah istimewa daripada kerajaan Malaysia yang
merupakan pemegang mandat 90% kerusi Parlimen sejak 2004.
Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, kenaikan
sebanyak 18 peratus dari harga minyak yang ada dan tertinggi
sepanjang sejarah negara.
Rakyat Malaysia seolah-olah amat gembira menerima hadiah
kenaikan harga minyak ini kerana mereka berpusu-pusu di malam
hari tadi untuk mengisi penuh tangki minyak kereta mereka dengan
harga minyak yang lama. Seolah-olah tindakan ini merupakan satu
tindakan yang amat menguntungkan mereka dalam jangka masa yang
panjang.
Sekiranya perkara ini berlaku di Thailand mahupun Indonesia,
rakyat di sana bukan berebut-rebut mengisi minyak, tetapi
sebaliknya berebut-rebut keluar ke jalan raya memprotes tindakan
pemerintah yang sebegini rupa sehingga menyebabkan kerajaan
terpaksa mengkaji semula tindakan yang telah diambil.
Sikap sebeginilah baru melambangkan sesebuh negara itu demokrat
tulen ataupun tidak kerana partisipasi politik yang bebas
semacam ini adalah elemen penting dalam demokrasi.
Kerajaan Malaysia dalam kenyataan rasmi pengumumannya itu,
seperti biasa akan membandingkan harga minyak yang didakwa masih
rendah berbanding dengan negara-negara ASEAN seperti Singapura.
Kenapa agaknya kerajaan tidak membandingkannya dengan harga
minyak di Brunei. Kenapa tidak dibandingkan harga barangan yang
lain di Thailand dan Indonesia khususnya yang jauh lebih murah
daripada Malaysia?
Brunei yang mana hasil pendapatan negaranya hanya bergantung
semata-mata kepada minyak dapat memberikan subsidi harga minyak
yang tinggi kepada rakyatnya sedangkan negara kita yang
mempunyai pendapatan dari pelbagai sumber termasuk balak dan
sektor perlancongan serta elektronik masih tidak mampu menjelma
sebagai sebuah kerajaan kebajikan pro rakyat.
Kenaikan ini berlaku ketika Petronas, syarikat pengeluar minyak
milik rakyat Malaysia, mencatatkan keuntungan lebih RM50 bilion
tahun 2005. Ke mana pergi aliran agihan RM50 bilion ini? Adakah
RM50 bilion itu turut menjadi sebahagian daripada jumlah
sebanyak RM800 bilion sepanjang pemerintahan Mahathir yang
dijadikan kos untuk menampung mana-mana projek mega yang tak
berfaedah dan bail-out syarikat kroni atau syarikat milik negara
yang rugi? Kenapa sampai sekrang aktiviti Petronas hanya menjadi
rahsia PM seorang sahaja? Kenapa ianya tidak pernah dibentangkan
di Parlimen?
Kerajaan Malaysia juga telah berani menaikkan harga minyak
kerana sedar bahawa protes rakyat tak akan sampai ke mana dan
mungkin berlanjutan dalam tempoh seminggu sahaja, itupun paling
lama. Kerajaan sedar dan berbangga memiliki majoriti rakyat yang
bersikap bacul, bodoh dan boleh dicucuk hidung seperti lembu.
Dengan itu, kerajaan kiranya bagi rakyat Malaysia amat bermurah
hati kerana hanya menaikkan harga minyak sekadar 30 sen sahaja
dan bukannya seringgit ataupun dua ringgit.
Terdapat suatu rahsia umum yang kurang didedahkan bahawa
walaupun kerajaan menaikkan harga minyak dengan alasan tidak
adil baginya untuk terus memberi subsidi minyak kepada rakyat
Malaysia di waktu harga minyak dunia sekarang ini melambung naik,
tetapi dalam masa yang sama pegawai tinggi kerajaan dan menteri
masih mendapat elaun subsidi minyak dari kerajaan untuk kegunaan
kenderaan rasmi mereka melalui pemberian kad Petronas. Secara
tidak langsung, rakyat Malaysia sedang menanggung kos penggunaan
minyak untuk golongan ini. Adakah ini adil?
Nah, kita lihat hanya segelintir rakyat Malaysia turun ke jalan
raya secara aman untuk membantah tindakan terbaru kerajaan ini.
Bagaimana untuk mencapai perhimpunan yang menjejaki jumlah
sekurang-kurangnya seratus ribu orang? Kita cuba, mana tahu
rakyat Malaysia sudah bosan menjadi lembu. Seluruh pendokong
reformasi kena keluarkan arahan rasmi kepada jentera dan
organisasinya di seluruh negara agar turun beramai-ramai ke KL
pada setiap Jumaat untuk diadakan demonsrasi sehingga Dollah
Badawi letak jawatan!
Demonstrasi harus dijalankan di loji-loji minyak dalam negara
dengan ratusan ribu rakyat menyekat lori minyak daripada dapat
mengambil minyak yang akhirnya akan disertai oleh drebar lori
minyak kerana mereka juga adalah pengguna.
Kita mahukan kehadiran lebih daripada seratus ribu orang. Jangan
lagi seperti hangat-hangat tahi ayam sebagaimana tragedi
demonstrasi membantah keputusan pilihanraya yang telah
dibatalkan pada saat akhir tahun 2004 dahulu. Pimpinan tertinggi
Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi juga mesti turun
sama memimpin demonstrasi ini. Ditambah dengan kehadiran Anwar
Ibrahim, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, pemimpin mahasiswa dan
gerakan pengguna serta kesatuan sekerja.
Sejarah perubahan yang berlaku di mana-mana negara memerlukan
jalanraya bagi menjatuhkan sesebuah kerajaan authoritarian dan
korup. Lihat, di Iran, dinasti Shah Iran mampu dijatuhkan oleh
kuasa rakyat pimpinan Imam Khomeini. Diktator Soeharto di
Indonesia boleh tumbang hanya apabila tiga orang Mahasiswa
Universiti Trisakti mati ditembak polis sewaktu demonstrasi di
Jakarta.
Adakah ada sinar perubahan di Malaysia? Bilakah akan wujud
sebuah parti pembangkang yang kuat? Sampai bilakah baru akan
muncul gerakan mahasiswa dan kesatuan sekerja yang digeruni
penguasa yang korup? Kenapa rakyat Malaysia masih bersikap ?
biarlah", "tak apa?? Bilakah rakyat Malaysia akan berani dan
berubah menjadi bijak? Adakah rakyat sudah bosan menjadi lembu???
Angkatan Pemuda Insaf (Baru)
ammar_jadid@yahoo.com
|