Kenaikan tarif baru elektrik sama harga sebungkus
rokok
Oleh: AZMAN ISMAIL
Utusan Malaysia 05hb Mei 2007
PUTRAJAYA 4 Mei - Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi,
Datuk Seri Lim Keng Yaik membayangkan kadar tarif baru
elektrik akan bermula bulan depan dan kenaikan itu sama
dengan `harga sebungkus rokok sahaja'.
Beliau berkata, cadangan kenaikan minimum tersebut
dibuat kerana kerajaan tidak mahu tarif baru elektrik
membebankan golongan berpendapatan rendah.
Katanya, kertas cadangan kenaikan itu akan
dibentangkan pada Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi
dengan memuatkan perincian termasuk aspek peratus
kenaikan dan tarikh pelaksanaan tarif baru.
``Saya memberi jaminan kenaikan tarif baru hanya sama
dengan harga sebungkus rokok sahaja (harga sebungkus
rokok 20 batang RM7) sebab kerajaan tidak mahu kenaikan
itu memberi kesan besar kepada rakyat khususnya golongan
berpendapatan rendah.
``Tetapi kadar baru itu nanti fleksibel iaitu
bergantung kepada penggunaan unit elektrik bagi setiap
isi rumah.
``Jika mereka menggunakan kadar yang tinggi, mereka
akan bayar lebih tetapi jika sesebuah rumah atau pejabat
menggunakan sedikit, mereka akan dikenakan kadar yang
kurang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar
Pejabat Tenaga Jimat (LEO), Kementerian Tenaga, Air dan
Komunikasi di Auditorium Parcel E di sini hari ini. |