![]() |
|
Rombakan Kabinet , simpulnya - ikut kata Pak Lah Jam 2.45, penantian pengumuman Pak Lah mengenai rombakan kabinet hampa di depan kaca TV - saluran "Info - Entertainment" anda. TV3, siaran swasta yang menyiarkan pengumuman tersebut secara langsung dan bukan RTM 1. Hari ini 14hb Febuari 2006, Zainuddin Maidin mengurus Kementerian Penerangan. Beliau telah mengucapkan terima kasih kepada Menteri terdahulu kerana banyak mengajar beliau dalam memimpin Kementerian Penerangan. Jika ini senarionya kemungkinan RTM tidak akan berubah - dan kekal dengan keadaan yang sedia ada. Kemungkinan tidak banyak dapat di pelajari oleh beliau. Bayangkan, insiden penting melibatkan pengumuman Pak Lah - tidak disiarkan secara langsung dalam RTM 1 - saluran Media Perdana negara ini. Itu satu hal yang berbeza. Berita panas hari ini ialah mengenai rombakan kabinet yang telah di buat oleh Pak Lah. Kami di hujani dengan SMS dan panggilan untuk bertanya apa komen kami terhadap rombakan kabinet. Amat tidak kami jangka bahawa komen kami mahu didengari oleh pelayar www.umno-reform.com Asas rombakan adalah untuk memastikan perkhidmatan kerajaan berganjak - dari satu tingkat kepada satu tingkatan yang lebih memuaskan. Seharusnya tiga perkara utama menjadi asas bagi digandingkan dengan ilham Pak Lah untuk memulakan langkah merombak kabinet beliau.
Mengambil kira perkara - perkara asas ini, maka ilham mengenai rombakan harus di padankan dengan realiti harapan perubahan dan arah tujuan rombakan. Sekiranya hanya untuk memenuhi kerusi akibat kekosongan maka perkataan rombakan adalah terlalu drastik. Sekiranya rombakan mahu di buat maka beberapa faktor lain perlu dimasukan bagi mengertikan perubahan agar ianya akan bergerak ke tahap standard yang ditetapkan ( secara relatif) . Pergerakan kita menunju kearah standard inilah yang di nilai sebagai peningkatan kualiti dalam pentadbiran. Apakah ini satu rombakan? Melihat dari satu sudut, pengguguran beberapa Menteri khususnya Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Pelancongan menunjukkan ada usaha penilaian prestasi yang dilakukan. Namun pengekalan beberapa Menteri Kanan dan justifikasi untuk pengekalan Menteri Kanan tersebut tidak pula memberi indikasi yang serupa. Kenyataan Pak Lah berhubung dengan Rafidah Aziz hanya menunjukkan bahawa injeksi moral dalam kabinet tidak disertakan dalam penilaian rombakan kabinet Pak Lah. Ini juga dapat kita lihat dari pengekalan Datuk Seri Samy Vellu. Inkejsi moral ini perlu dibuat untuk memulakan satu kabinet baru - bersesuaian dengan imej pembentukkan Pak Lah sewaktu memenangi pilihanraya umum ke 11. Secara rambang - rombakan yang dinanti - nantikan adalah untuk melihat penyuntikan moral dalam kabinet Pak Lah namun kenyataan Pak Lah mengenai penetapan dan pengekalan Menteri Kanan hanya menunjukkan bahawa suntikan moral tidak diperlukan. Apa yang jelas ialah satu bentuk re-konstruksi "struktur" dalam kabinet Pak Lah gagal kelihatan dan gagal menepati harapan, baik mereka dalam UMNO mahupun rakyat yang menanti perubahan tersebut. Membicarakan isu re-konstruksi "struktur" ini pasti akan mengambil masa yang panjang tetapi asas yang perlu kita lihat ialah kehadiran kementerian - kementerian yang sepatutnya hanya bertindak sebagai jabatan masih wujud. Ini akan menyumbang kepada masalah birokrasi dan selanjutnya kepada masalah rasuah yang semakin menular. Injeksi moral Suatu perkara yang di lihat agak penting ialah penyuntikan "moral" dalam kabinet Pak Lah. Kita faham dan menerima pengekalan menteri - menteri kanan sewaktu Pak Lah mula menerajui kuasa pemerintahan. Sungguhpun begitu, harapan perubahan pada rombakan kali ini adalah untuk menyaksikan penyuntikan keperluan penilaian moral dalam kabinetnya. Harapan bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih bukan lagi asas penimbangan dalam perlantikan kabinet tersebut. Ini benar - benar mengecewakan berbagai pihak khususnya mereka yang pernah menyaksikan menteri - menteri ini beraksi sewaktu pergolakan politik tahun 1998. Persoalan moral mereka - prinsip mereka dan keprihatinan terhadap isu kecil rakyat menjadi pengukur dan harapan agar rombakan ini dapat menunjukkan bahawa ianya adalah salah satu ukuran penting untuk menyertai "feel good" kabinet Pak Lah. Namun hampa. Jawapan Pak Lah mengenai lantikan Datuk Seri Samy Vellu dan Datuk Seri Rafidah Aziz seolah - olah menolak keperluan ini dan penolakan ini mengaburkan satu harapan perubahan baru dalam kabinet tersebut. Ini akan hanya menunjukkan kesinambungan pemerintahan Dr Mahathir kepada Pak Lah sungguh pun ada unsur - unsur perubahan secara asas tetapi tidak pada teras. Kesimpulannya Kita tidak tahu apakah ada formula atau pun Pak Lah tidak mengikut fomula yang ada - khususnya dalam kenyataan beliau pada Bernama 14-02-2006 bagi memberi justifikasi perlantikan Datuk Seri Azmi Khalid yang turut kalah dalam pemilihan Majlis Tertinggi seperti Datuk Abd Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Seri Dr Shafei Mohd Salleh. Apa yang pasti ialah Pak Lah dalam kenyataan pada, Bernama melaporkan juag - "Mereka kena bergerak pantas, tidak ada masa untuk belajarlah," kerana itulah beliau membuat rombakan tersebut dengan menggugurkan, menaikkan dan mengekalkan beberapa pemimpin yang ada. Pak Lah mungkin terlepas pandang beberapa perkara lain yang perlu dalam menyenaraikan kabinet - baru/lama beliau. Simpulnya - ikut kata Pak Lah sahaja.
|
|
Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762
|