|
Anwar ... jangan lupa saya, kami dan mereka
Bahari Mustakim <yh_159@yahoo.com.sg>
Untunglah mereka yang membela dan bersama kebenaran bukannya membela tubuh
Anwar......
Anwar ... jangan lupa saya, kami dan mereka
Friday, June 10 @ 08:36:13 MYT
Oleh Panahan Arjuna
Saya merasa bertuah sekali dijemput menghadiri majlis makan malam "an evening with Anwar", di Hotel Istana, tempoh hari. Jika diminta bayaran meja makan RM200 seorang itu, sudah pastinya saya lebih rela berjuadahkan sardin sambil meneguk air suam di rumah.
Jumlah RM200 itu amat besar bagi golongan marhaen seperti saya, tetapi disebabkan jemputan itu siap dibayar, saya dengan rasa lapang hati hadir bersama beberapa teman yang lain.
Betapa bertuahnya saya lagi apabila Datuk Seri Anwar datang ke meja kami dan bersalaman dengan saya dan rakan-rakan. Inilah kali pertama dalam hidup saya dapat bersalam dan bersemuka dengan idola saya sejak sekian lama itu. Walaupun Anwar tentunya tidak mengenali namun hati terubat juga kerana beliau mahu juga menyapa kami.
Bayangkanlah, semenjak fenomena 1999, saya hanya dapat melihat wajah Anwar dari jauh ... jauh dikerumuni khalayak. Betapa pada masa itu semangat api menjulang tinggi kerana rasa tidak puas hati terhadap penyingkirannya secara tidak beradab sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam keadaan takut, risau, dan gelisah dirempuh polis, namun saya, "kami dan mereka" (rakyat Malaysia lainnya), yang mahu keadilan ditegakkan, tetap tegar dan kental menghadapi asakan.
Setiap hari Sabtu akhir tahun 1999, saya tidak pernah menguzurkan diri untuk tetap menghadiri perhimpunan gerakan reformasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Berarak, berlari dan bersembunyi sudah menjadi mainan "saya, kami dan mereka" ketika itu.
Pernah pada satu malam, di Kampung Baru, saya hampir dibelasah tetapi sempat saya melarikan diri dari ditangkap FRU yang mengejar saya dengan belantan. Ramai yang terperangkap lalu tercedera teruk. Pada malam itu dikhabarkan seramai 200 orang ditangkap secara rambang dan borong.
Beberapa kali juga saya bertekak, berhujah, berbahas dan mempertahankan Anwar (yang begitu dizalimi dan diaibkan) di hadapan keluarga, rakan-rakan dan jiran. Kerap juga berjaya tetapi ada kalanya ia mendatangkan musibah serta kesan negatif apabila ada yang bermasam muka kerana degilnya saya mempertahankan Anwar.
Saya adalah antara kalangan yang masih 'hidup' untuk menceritakan kejadian lalu yang mencatat sejarah itu. Sedih mengenangkan ramai yang telah 'gugur', 'kecundang' dan 'terkorban'.
Ada yang hilang pekerjaan dan peluang perniagaan, manakala lainnya disingkir daripada belajar dan lebih parah lagi ramai yang telah di tanam 'hidup-hidup' di Kamunting untuk tempoh dua tahun oleh hanya kerana memperjuangkan nasib Anwar dan menuntut keadilan ditegakkan.
Banyak lagi pengkisahan menarik mengenai detik-detik tragis itu, yang saya pasti umum mengetahuinya, dan tentulah Anwar sendiri arif tentangnya.
Namun, apabila saya melihat betapa hebat dan meriahnya sambutan majlis makan malam bersama Anwar itu, di sebuah hotel ternama, terlintas di ingatan saya, betapa tersentuhnya hati jika golongan marhaen seperti saya yang berputih mata ini melihat seolah-olah nasib kami terpinggir.
Bagaimana dengan nasib tahanan ISA dan keluarga mereka, bagaimana nasib pejuang-pejuang reformasi yang dahulu hebat berjuang, kemudiannya 'tersungkur' menyembah bumi, sedangkan Anwar dengan penuh tenang sambil menjamu juadah, bersantai-santai diselangi lawak jenaka, "... saya sekarang sedang seronok (enjoy) menghabiskan masa santai saya di luar negara."
Betapa terusik hati saya mendengarnya, dan terasa bagai tikaman tajam menerjah tulang putih. Bayangkanlah kalau rakyat marhaen (yang setia pada perjuangan) mendengar cebisan kata itu.
Kasihan, untuk hadir ke majlis sehebat itu tentulah tidak merasa, jauh sekali menjamah makanan beraneka jenis, yang pastinya mahal, apatah lagi mendengar jenaka serta bersalam dengan Anwar.
Sekadar permintaan, jangan lupa pada "saya, kami dan mereka". Dan (satu kerisauan yang masih tersumbat di ruang kepala) paling pedih seandainya Anwar 'meninggalkan' kami berputih mata, terkial-kial, terkeliput-keliput, tersipu-sipu dan terhina, jika benar ada hasratnya untuk menyertai semula kerajaan dan Umno. - um
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|