|
Kesatuan Sekerja - peningkatan kesedaran perlu ada
Menyingkap perjuangan Kesatuan Sekerja, www.umno-reform.com
yang selama ini tidak begitu terusik dengan kehadiran mereka kini nampak kepentingan kesatuan ini dalam menjaga kebajikan pekerja. Perjuangan mereka menjadi benteng utama terhadap penindasan ke atas pekerja. Perjuangan mereka membela hak pekerja, menuntut agar kebajikan pekerja di jaga serta pulangan yang lebih adil terhadap modal tenaga yang di keluarkan merupakan asas - asas perjuangan murni mereka yang sebelum ini jarang kelihatan.
www.umno-reform.com menyedari hakikat kepentingan kewujudan kesatuan sekerja yang benar - benar memperjuangkan hak pekerja dalam usaha memartabatkan golongan ini dari penindasan majikan yang mementingkan keuntungan semata-mata. Bercakap dengan salah seorang
Jawatan Kuasa Perhubungan Perusahaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang juga merupakan
Setiausaha Kerja Kesatuan Kerja Indah Water Konsortium Mohd Jaafar Abdul Malek merungkai betapa pentingnya Kesatuan - Kesatuan Sekerja ini di tubuhkan bagi menjaga kebajikan pekerja serta memperjuangkan hak - hak pekerja.
Berikut adalah beberapa kupasan isu menarik dalam www.umno-reform.com menjelajahi perjuangan Kesatuan Sekerja.
" Andai tidak ada perjuangan oleh pekerja - pekerja maka berkemungkinan kita masih bekerja 7 hari dalam seminggu dan majikan adalah tuhan kepada kita sedangkan kita adalah penyalur tenaga yang turut membantu kejayaan mereka" kata Jaafar Abdul Malek dalam memulakan mukadimah bicara bersama Ghazali Mat Dom wakil
www.umno-reform.com
Kesatuan Sekerja bertindak mewakili pekerja dalam memperjuangkan hak - hak yang sepatutnya di salurkan kembali kepada pekerja. Kita tidak hadir untuk membebankan majikan, kita bukan "anti establishment" dan kita bukan penentang dasar - dasar berhubung dengan pekerja malah kita adalah pencadang dari perspektif pekerja ; apa yang kami secara kolektif dapati baik untuk pekerja dan apa yang kami fikirkan sesuai agar pekerja dan majikan sama - sama memperolehi keuntungan
kami kemukakan.
Kita harus lihat dari perspektif yang mudah, kalau majikan mahu memperolehi keuntungan dengan menjual produk mereka, pekerja turut mahu memperolehi keuntungan dalam menjual tenaga mereka.
Kehadiran Kesatuan ini dapat membela pekerja dalam keghairahan sesetengah majikan berniaga mengaut keuntungan. Malah bagi kami, kehadiran kesatuan perlu di galakan agar semua pekerja dari apa sektor sekali pun terbela dan di jaga.
Kesedaran ini perlu dan kesatuan sekerja di Malaysia bagi saya harus memainkan peranan penting menyedarkan keperluan kita bergabung membentuk kesatuan kerana dengan ada nya kesatuan suara kita yang harus menjadi deras untuk di dengarkan.
Ada yang berpendapat Kesatuan Sekerja adalah kesatuan yang menentang kerajaan, apa pendapat saudara. Jaafar?
Kehadiran Kesatuan Sekerja adalah dari peruntukan perundangan yang ada. Kita bukan kesatuan haram, malah kita lebih baik lagi dari penubuhan persatuan - persatuan kerana kita ada akta yang menentukan garis dan landasan kesatuan. Akta ini sungguhpun perlu di pertingkatkan tetapi ianya wujud dalam mengertikan kesahihan penubuhan kita dan betapa perlu Kesatuan Sekerja untuk hadir membela nasib pekerja - pekerja. Apa yang perlu ialah supaya kesedaran di pertingkatkan agar pekerja tidak lagi di salurkan dengan tanggapan negatif kehadiran kesatuan sekerja ini.
Seperkara lagi akta ini memberi kuasa kepada kita dalam Kesatuan Sekerja untuk membela dan menentukan beberapa syarat yang perlu di laksanakan oleh majikan kepada pekerja. Kita bukan seperti persatuan - persatuan biasa yang hanya boleh memberi pendapat tetapi tidak perlu di terima dan di dengari. Bagi Kesatuan Sekerja kita berhak mempertahankan hak pekerja yang sudah termaktub dalam akta dan menjadi satu kesalahan sekiranya akta ini tidak di patuti.
Hari ini kalau di lihat, mereka akan hanya hadir mencari kesatuan sekerja apabila berdepan dengan isu kenaikan gaji, bonus dan apabila terdapat "Domestic Inquiry". Mereka akan bergegas meminta bantuan apabila berhadapan dengan persoalan ini. Hakikatnya mereka perlu hadir bersama - sama kesatuan di peringkat awal bagi meneguhkan kesatuan dalam menangani isu - isu pekerja. Mereka perlu bersama - sama kesatuan sekerja bagi membina kesatuan yang utuh dan berkemampuan untuk membela pekerja tersebut. Kesedaran ini perlu dan kesedaran ini bagi saya harus di pupuk semula setelah sekian lama kesatuan Sekerja di tabur dengan persepsi negatif baik oleh majikan mahupun kerajaan.
Apakah maksud saudara kerajaan juga terlibat dalam menghalang penubuhan Kesatuan Sekerja dan memberi indikasi negatif terhadap kesatuan sekerja?
Bagi saya terdapat indikasi - indikasi halangan dalam kita mahu menubuhkan Kesatuan Sekerja peringkat Nasional. Banyak contoh - contoh yang menunjukkan bahawa terdapat usaha - usaha oleh syarikat milik kerajaan yang menentang kesatuan. Mereka ini syarikat milik penuh atau separa
kerajaan dan sekiranya di benarkan pun banyak sekatan di kenakan. Ambil contoh Kesatuan Pekerja - Pekerja Elektronik yang sehingga kini tidak berjaya di tubuhkan. Syarikat - syarikat gergasi ini hadir atas jemputan perniagaan kerajaan tetapi pekerja nya tidak di bela malah ada yang di tindas.
Saya katakan di sini, pernah kepimpinan Kesatuan Sekerja yang turut di label sebagai pengkhianat negara dalam kita mahu menegaskan hak pekerja. Kita laksanakan semua ini berlandaskan peruntukan perundangan tetapi terdapat halangan yang menggunakan tekanan politik.
Satu lagi usaha melumpuhkan kesatuan sekerja adalah tindakan menggalakkan "in house union" Sebenarnya galakan "in house union" ini adalah untuk menyekat suara secara kolektif dan mengecilkan keupayaan sesebuah kesatuan. Bayangkan ahli kesatuan tersebut " in - house" sebanyak 30 orang. Berapakah kutipan yang mampu di ambil untuk memberi kekukuhan kewangan pada kesatuan tersebut? Bagaimana sekiranya terdapat pemecatan pekerja yang perlukan pembelaan? Mampukah sumber kewangan kesatuan itu membantu pekerja tersebut? Kesatuan yang kuat adalah kesatuan yang banyak ahli dan mempunyai kekukuhan kewangan. Oleh kerana itu gabungan semua pekerja dalam satu industri menubuhkan Kesatuan Nasional adalah lebih baik dari kesatuan dalaman.
Banyak indikasi menunjukkan bahawa syarikat - syarikat milik penuh,separa atau syarikat yang di pegang oleh kerajaan tidak mementingkan kesatuan atau lebih dahsyat lagi menolak penubuhan kesatuan sekerja.
Kenapa kalau di lihat, pekerja sendiri tidak mencari - cari menyertai kesatuan sekiranya kesatuan tersebut memberi faedah kepada mereka.
Kesedaran amat kurang. Saya tidak menyalahkan pekerja tetapi saya juga menyalahkan kesatuan khususnya MTUC. Selama ini program kesedaran amat kurang sekali. Kita terbatas dalam melaksanakan kesedaran. Kita juga harus melakukan penjenamaan semula agar mereka selesa dengan kesatuan sekerja. Insya-Allah di bawah pengurusan baru MTUC saya percaya kita akan dapat bergerak semula dalam memberi nafas baru mengenai Kesatuan Sekerja. Baru - baru ini kita telah melaksanakan perhimpunan pekerja di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Pekerja. Sambutan seumpama ini sudah jarang di adakan sebelum ini.
Bersesuaian dengan itu juga saya dapati sokongan dari kerajaan untuk kita menubuhkan kesatuan sekerja peringkat Nasional amat tidak menggalakkan. Ruangan media tidak di peruntukkan. Saya tidak faham kenapa kerajaan menyepikan diri dalam menyokong tindakan menubuhkan kesatuan sekerja.
( siri ini akan bersambung dengan beberapa isu lagi mengenai perjuangan kesatuan sekerja khususnya dengan isu - isu mengenai gaji minimum dan kebajikan )
|
|
Mohd
Jaafar Malek, Setiausaha Kerja Kesatuan Pekerja Indah Water Konsortium
juga merupakan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Perusahaan Kongres Sekerja
Malaysia (MTUC). Beliau merupakan Yang Di Pertua Kesatuan Kerja Harris
Advance Technologies selama hampir 10 tahun. Pengalaman beliau dalam
memperjuangan pekerja melampaui 20 tahun.
Sekiranya
terdapat sebarang masalah mengenai pekerja dan sekiranya anda mahu
mengetahui lebih lanjut lagi mengenai isu - isu pekerja, khidmat nasihat
anda boleh menghubungi beliau pada talian 016-6343370 pada waktu pejabat.
|