|
KELESUAN INTELEKTUAL MASYARAKAT
MALAYSIA
Sebutan intelektual dalam bahasa kita ditujukan terhadap kaum
cerdik pandai yang berjaya mencapai satu tahap pendidikan yang
jika dibandingkan dengan masyarakat terbanyak,ia adalah lebih
tinggi dari tingkatan yang biasa. Sebenarnya sebutan intelektual
suatu waktu dahulu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang
menerima pendidikan tinggi di negara ini tanpa mengira apakah
mereka prihatin dengan masyarakat dan budayanya di mana dia
tinggal dan membesar. Apakah mereka memberikan suatu sumbangan
yang berbentuk abstrak seperti pemikiran untuk kemajuan
masyarakat dan negaranya tidak pernah pula dipersoalkan.
Kata intelektual dalam bahasa Inggeris merujuk kepada sejenis
peribadi yang tersendiri yang telah mengalami kecerdasan dan
kehalusan budi lewat pendidikan yang diterima nya. “Seseorang
mungkin lebih tinggi kedudukan kesarjanaannya dan tersangat arif
di dalam sesuatu bidang, tetapi selama mana seseorang itu tidak
mempunyai minat dan peka terhadap ransangan-ransangan budayanya
dia belum berhak dinobatkan sebagai seorang intelektual. Dalam
masyarakat Inggeris, mereka akan tercengang apabila mendengar
kata intelektual ditujukan kepada seseorang yang sama sekali
tidak menaruh perhatian terhadap perkembangan budaya bangsanya
sendiri.”(Subagio Sastrowardojo, Bakat Alam Dan Intelektualisme,
Pustaka Jaya,hlm.73). Apa yang dapat dibuat kesimpulan di sini
ialah seseorang intelek bukanlah bergantung kepada ijazah BA,MA
atau PhDnya yang berjela, tetapi ia bergantung kepada adanya
sumbangan pemikiran dan menaruh rasa prihatin terhadap masalah
bangsa dan agamanya dari segenap aspek kehidupan. Inilah
intelektual sebenar yang kita perlukan terutama dalam
mengharungi era globalisasi ini.
Melihat kepada realiti masyarakat kita pada hari ini, kita
memang mempunyai ramai cerdik pandai yang berbakat dalam
berbagai bidang. Saban tahun universiti-universiti tempatan
mengeluarkan para siswazah puluhan ribu banyaknya.Itu belum lagi
diambil kira yang pulang dari luar negeri dengan ijazah yang
berjela-jela panjangnya. Namun kedudukan kesarjanaan itu kian
mengecil ibarat bentuk piramid jika kita mengambil kira tahap
pendidikan sehingga ke tahap PhD atau doktor falsafah dalam
sesuatu bidang. Tetapi apakah mereka ini semua layak dipanggil
kaum intelektual? Di manakah sumbangan mereka terhadap
pembangunan masyarakat kita,sumbangan pemikiran mereka terhadap
masyarakat yang kian dilanda berbagai masalah sosial? Siapakah
yang kembali berjuang untuk membela masyarakat yang tertindas
oleh gejala tamak haloba para pemimpin politik yang korup, yang
sengaja meninggalkan masalah yang besar kepada negara apabila
mereka meletak jawatan,dengan beban hutang yang kian meningkat.
Bagaimanakah kita membantu negara mengembangkan kembali ekonomi
ke paras yang lebih normal, ekonomi negara yang kini bukan saja
tidak berkembang,tetapi menguncup sepertimana yang dilaporkan
oleh Gabenor Bank Negara ke tahap 1.3 peratus?
Inilah di antara sekian banyak persoalan yang menghantui
masyarakat Malaysia yang begitu ramai berkelulusan IPTA dan IPTS
tetapi tidak menyumbangkan apa-apa dalam menyelesaikan masalah
sosial dan politik dalam negara ini.
Suatu waktu dulu kaum cendekiawan kita lebih bertanggungjawab,
lebih bersikap neutral dalam menghadapi berbagai masalah
khususnya yang berkaitan dengan perkembangan politik
negara.Bahkan ada di antaranya sanggup berkorban jiwa dan raga
untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat dan negaranya
melalui berbagai-bagai saluran seperti penulisan,politik,aktivis
masyarakat,pertubuhan,kewartawanan ,menjadi guru dan pensyarah
di pusat-pusat pengajian tinggi Di mana sahaja mereka
berada,mereka tetap tidak melupakan masyarakat bawahan yang
tidak secerdik mereka. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh
AlHadi,Abd.Rahim Kajai,Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhammad
,Ishak Haji Mohamad dan sekian banyak nama yang tidak dapat
disebutkan di sini sentiasa berkerja keras dalam membantu
membangunkan masyarakat dan negaranya. Tetapi ke manakah
perginya kaum cerdik pandai kita sekarang ini?
Pada dekad tujuh puluhan pula kita mendengar ramai para
intelektual yang lahir dalam masyarakat kita, tidak kiralah
samada mereka itu dari bidang apa yang diceburi.Di antaranya ada
yang masih hidup sehingga kini. Pada dekad ini golongan
sasterawan adalah palimg ramai bermunculan dan menggelarkan diri
mereka sebagai kaum intelektual atau para cendekiawan. Setakat
mana sumbangan mereka tidaklah pula dipertikaikan. Di sini
lahirlah nama-nama seperti Usman Awang,Kassim Ahmad, Baharudin
Zainal,Fidaus Abdullah dan sebagainya yang mewarnai bidang
kesusasteraan. Di bidang kewartawanan terdengar nama A.Samad
Ismail,Malungun dan sebagainya. Di bidang akademik nama Engku
Aziz tidak pernah luput hingga kini. Nama Tun Abd.Razak
terserlah dalam bidang politik,di samping Singa Umno,Datuk Harun
dan lain-lain.
Tetapi pada dekad-dekad terakhir ini sehinggalah ke abad dua
puluh satu kita telah kehilangan kaum intelektual itu. Mereka
sudah hilang dari pentas cendekiawan. Namun kekosongan itu diisi
pula oleh kaum intelektual dari bidang di mana mereka lebih
faham tentang Islam. Sebenarnya inilah kaum cerdik pandai yang
tulin yang kita nantikan kelahirannya.Nama-nama seperti Ustaz
Fadhil Noor,TG Abd.Hadi Awang,TG Nik Aziz Nik Mat, DS Anwar
Ibrahim, Subky Abd.Latif dan ramai lagi di kalangan kaum ulama
seperti Ismail Kamus dan Dr.Harun Din . Tokoh-tokoh politik yang
lain yang berdasarkan fahaman politik bukan Islam atau
berfahaman sekularisme mulai terpinggir termasuk Perdana Menteri
sendiri, walaupun beliau banyak memberikan sumbangan pemikiran
terhadap masyarakat berdasarkan jumlah buku yang dihasilkannya.
Tokoh-tokoh politik sekular ini tidak lagi menjadi pujaan
masyarakat,sebaliknya menjadi kejian dan cacian.Hal ini mungkin
disebabkan ketiadaan kehalusan budi seperti yang dibayangkan
oleh kata intelektual di awal rencana ini tadi. Masyarakat tidak
dapat lagi menerima kaum intelektual yang bergelumang dengan
kemewahan,tetapi rakyat marhaen tersepit dan terjepit hidupnya
akibat dari berbagai tekanan dari soal ekonomi,peribadi,
kebebasan bersuara hinggalah kepada kebebasan berpolitik.
Di sinilah kita melihat kaum intelektual terutama yang beraliran
sekularisme sudah kehilangan peranannya dalam membentuk arah dan
halatuju masyarakat Malaysia. Masyarakat tidak lagi menghormati
para cendekiawan yang mementingkan diri sendiri,membina kekayaan
pribadi dan sebagainya tanpa mengambil peduli anggota
masyarakatnya yang kurang bernasib baik itu.
Sikap masyarakat juga turut memainkan peranan dalam era kelesuan
intelektual ini. Masyarakat umum tidak lagi menghormati kaum
cendekiawan. Masyarakat terbanyak juga sudah dilanda dengan
fahaman materialisme yang mereka peroleh hasil pendidikan
sekular yang ditanamkan oleh pemerintah. Apa yang masyarakat
kita fikirkan sekarang ialah rumah besar,jawatan tinggi dan
kereta besar dan berjenama sebagai lambang status sosial mereka.
Mereka yang berkelulusan tinggi juga turut terpesona dengan
angin materialisme ini. Kaum cendekiawan yang dahulunya aktif
dalam akademik dan pemikiran telah pula menceburkan diri dalam
bidang politik pemerintah, dan mereka pula tidak lagi prihatin
kepada masalah masyarakat massa.Bahkan sebaliknya mereka sendiri
menyokong puak pemerintah yang kian korup dan mementingkan diri
sendiri itu. Demkianlah tenggelamnya nama-nama seperti Mahadzir
Mohd Khir,Firdaus Abdullah, Ismail Hussein dan lain-lainnya dari
pentas kaum cendekiawan tanahair.
Kini kaum intelektual yang masih belum jumud adalah kaum
intelektual-ulama yang berjuang untuk memperbaikki masyarakat
massa melalui pentas politik pembangkang, atau apa yang lebih
kita kenali kini sebagai Barisan Alternatif. Kaum cerdik pandai
dari Parti PAS,Keadilan,PRM dan DAP (kini telah keluar dari BA)
terus berjuang bersama masyarakat terbanyak untuk menuntut
keadilan hak, kebebasan bersuara dan sebagainya sepertimana
halnya yang terdapat dalam hak-hak asasi manusia yang
dipersetujui oleh sekelian bangsa. Sementara kaum intelektual
dalam barisan parti pemerintah sudah tidak lagi berperanan
kerana tidak lagi mengintegrasikan dirinya ke dalam masyarakat
terbanyak. Mereka hanya sibuk dengan kuasa dan harta yang ada
pada mereka,rakyat marhaen tidak perlukan perhatian bahkan tidak
pun pernah diperhatikan.
“Perlu dijelaskan, bahawa maksud peranan intelektual bukan
bererti pimpinan intelektual. Konsep bahawa intelektuallah yang
mengubah masyarakat,bahawa intelektuallah dengan sendirinya
menjadi pemimpin, saya kata tidak tepat. Sejarah perubahan
sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan
perjuangan intelektual,tetapi lahir dan timbul dari masyarakat
dan perjuangan rakyat itu sendiri, kaum taninya dan kaum
buruhnya. Intelektual-oleh keadaan dan bilangannya-tidak mungkin
memulakan suatu revolusi,tetapi rakyatlah memulakannya. Hapusnya
perhambaan bukan kerana perjuangan intelektual, tetapi kerana
kesedaran hamba abdi itu sendiri,dan daripada merekalah lahir
pemimpin yang memutuskan rantai yang membelengu mereka. Idea dan
teori biasanya memang daripada kaum intelektual, tetapi mereka
bukanlah memegang peranan utama sebagai peneroka dan pencetus
tindakan. Dan apabila ada intelektual yang mempelopori
perjuangan dan memegang peranan utama, ia pastilah lahir dan
timbul di kalangan rakyat,dari tengah-tengah rakyat, kerana
intelektual itu telah mengntegrasikan dirinya dengan rakyat
(Usman Awang, Peranan Intelektual,Institut Analisa Sosial,
hlm.12).
Demikianlah sepatutnya seseorang kaum intelektual itu
berperanan. Tetapi peranan itu kini lesu selesu lesunya kerana
dihambat oleh pengaruh arus materialisme yang amat mencengkam
minda kaum intelektual itu sendiri.
Kita masih menantikan mereka memainkan peranan sebagai individu
yang tercerdik dalam masyarakatnya, tetapi kita tidak dapat
menaruh harapan yang muluk-muluk terhadap mereka,apalagi yang
bersongkokol dengan pemerintah,yang mempertahankan kezaliman dan
penindasan,korupsi, kronisme dan nepotisme yang sudah mengakar
ke dalam tubuh masyarakat kita. Intelektual harus bebas,harus
membebaskan dirinya dari sebarang cengkaman yang membantutkan
minda, agar peranannya dapat terus dimainkan khususnya dalam
mengharungi era globalisasi ini.
AlKundangi,
25.11.2001
|