|
Penganjur Forum Tidak Mohon Permit - Fu Ah Kiow
PULAU PINANG, 19 Mei (Bernama) -- Penganjur forum umum bertajuk
"Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan Untuk Semua" yang
menimbulkan kekecohan akibat demonstrasi orang ramai sebenarnya
tidak mempunyai permit polis untuk menganjurkan acara berkenaan.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow
berkata, laporan sebuah akhbar yang mendakwa penganjur forum itu
mempunyai permit polis adalah tidak tepat dan semua pihak
termasuk media diminta tidak membuat sebarang andaian dan
spekulasi mengenainya.
"Sememangnya permit polis tidak diwajibkan bagi mana-mana pihak
ingin menganjurkan forum atau seminar tertutup namun adalah
lebih baik pihak yang ingin menganjurkan forum yang menyentuh
isu-isu sensitif memohon permit polis untuk keselamatan awam",
kata beliau kepada pemberita di sini Jumaat.
Beliau berkata, tindakan polis meminta penganjur forum itu
meringkaskan seminar mereka adalah tepat kerana orang awam yang
menyertai perbincangan forum berkenaan telah mula menimbulkan
gangguan selain daripada gangguan demonstrasi di luar premis.
"Polis telah menjalankan tugas yang baik demi menjaga
keselamatan awam dan jika polis tidak bertindak demikian, mereka
akan dituduh tidak menjalankan tugas pula," kata beliau.
Fu berkata, polis sentiasa memberi keutamaan kepada ketenteraman
awam dan sebenarnya kedua-dua pihak iaitu penganjur demonstrasi
dan juga forum itu tidak mempunyai permit polis.
Katanya, polis telahpun menyerahkan laporan hasil siasatan
mengenai kejadian terbabit kepada Timbalan Pendakwa raya (DPP)
untuk tindakan lanjut dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk
mendakwa mereka yang terbabit jika melanggar undang-undang
negara.
"Kerajaan akan mengambil tindakan termasuk menyiasat sama ada
terdapat unsur-unsur hasutan dalam ceramah forum itu kerana
seminar tidak boleh mempunyai unsur-unsur hasutan," kata beliau.
Pada 14 Mei lepas, forum umum yang menyentuh tentang
pertembungan undang-undang sivil dan syariah, terpaksa
dibatalkan separuh jalan selepas lebih 500 orang mengadakan
demonstrasi secara aman membantah penganjurannya.
Kumpulan itu membantah penganjuran forum yang didakwa
membincangkan tentang Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan,
yang merujuk kepada peruntukan perlembagaan yang menghalang
mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah.
Bagaimanapun, perhimpunan demonstrasi itu bersurai atas arahan
polis dan penganjur forum iaitu Aliran dan Article 11, yang
dianggotai 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) termasuk Sisters
in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Majlis Peguam
dan All Women's Action Society (AWAM) bersetuju untuk
membatalkan forum berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak
diingini.
|