BALIK KE MUKA UTAMA

 

Dedah penerima tabung penyakit kronik
Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Kementerian Kesihatan mendedahkan senarai nama penerima Tabung Bantuan Perubatan (TBP) supaya orang ramai boleh mengetahui siapa sebenarnya yang menerima kemudahan tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pergerakan itu memutuskan bahawa senarai itu perlu didedahkan bagi menjawab tuduhan kononnya TBP tidak memberi manfaat kepada golongan yang memerlukannya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan itu di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tiga pertubuhan bukan kerajaan kelmarin mendesak kerajaan mengkaji semula syarat-syarat kelayakan TBP supaya peruntukan yang disediakan menerusi tabung itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kongres Kesatuan Pekerjaan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu TBP menjadi tabung bantuan yang sebenar-benarnya.

TBP bagi penghidap penyakit kronik miskin yang dilancarkan tahun lalu `bagaikan tidak disentuh' apabila hanya RM6.1 juta sahaja dibelanjakan daripada peruntukan keseluruhan RM100 juta.

Hishammuddin menjelaskan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek bagi mendapatkan maklumat yang jelas mengapa TBP tidak digunakan.

``Pemuda ingin mengetahui punca sebenar kenapa ia berlaku sama ada kerana tidak ada permohonan, kerenah birokrasi atau syarat yang ketat,'' katanya.

Ini kerana kata beliau, Pemuda UMNO tahu bahawa ramai membuat permohonan.

``Kalau TBP dibelenggu dengan birokrasi dan lambat mengeluarkan pembiayaan kepada golongan yang memerlukan, ia tidak akan dapat membantu mereka yang terlibat,'' katanya.

Ditanya berhubung dakwaan bahawa syarat yang dikenakan oleh TBP sudah tidak sesuai lagi, Hishammuddin menjelaskan, beliau perlu mendapatkan pengesahan daripada Soi Lek terlebih dahulu.

``Kalau halangannya berpunca daripada syarat-syarat yang ketat, Pemuda akan menggesa kerajaan melakukan perubahan bagi membolehkan tabung itu digunakan sepenuhnya,'' katanya.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762