|
Syor orang Hindu cara perangi rasuah di
Malaysia
Date: Wed 04/12/06 03:55 AM
Artikel ini dipetik dari ruangan surat pembaca Berita Harian 12
April 2006. Apa yang menarik ianya ditulis oleh warganegara
Malaysia yang beragama Hindu. Jika orang Hindu begitu prihatin
mengenai soal rasuah, sumber rezeki yang halal, bagaimana dengan
kita orang Melayu serta umat Islam di Malaysia ini ? Jika orang
India di Malaysia boleh menulis dengan gaya bahasa Melayu yang
tersusun, bagaimana kita orang Melayu ?
**********************************
Pengundi boleh perangi rasuah, oleh K PUVIRAJAN, Bukit
Mertajam, Pulau Pinang.
KITA harus sedar bahawa orang yang hendak memerangi gejala
rasuah, haruslah terlebih dulu membuktikan dirinya bebas
daripada rasuah.
Soalannya bagaimana membuktikan seseorang itu bebas daripada
rasuah? Pada 3 April lalu, akhbar The New Straits Times
menyiarkan temu ramah dengan Pengerusi Transparency National,
Tan Sri Ramon Navaratnam.
Beliau mengatakan rakyat boleh memainkan peranan besar dalam
memerangi rasuah dengan tidak memilih semula ahli Parlimen yang
pernah terbabit dalam kegiatan itu. Juga disarankan supaya
pengundi melihat rekod setiap calon bertanding untuk mengetahui
sama ada calon itu bersih daripada rasuah.
Dengan berbuat demikian beliau berpendapat pengundi boleh
membuat pilihan bijak ketika mengundi dalam pilihan raya. Calon
disyaki dicemari rasuah harus ditolak, tegasnya.
Adakah mustahil untuk kita menggubal undang-undang mewajibkan
setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen
mengisytiharkan jumlah pendapatan tahunan daripada semua sumber
serta semua pembelian aset dan simpanan wang kepada pengundi di
kawasan masing-masing setiap tahun?
Setiap ahli Parlimen dan Adun harus mempamerkan maklumat
mengenai jumlah pendapatan dan pemilikan harta di kawasan yang
ditandingi dan menang, serta ketika pilihan raya di kawasan
bertanding supaya rakyat dapat menyemak rekod calon seperti yang
disyorkan Ramon.
Lihat saja maklumat di tempat awam seperti poster ketika pilihan
raya. Juga boleh diletakkan satu buku yang lengkap dengan
maklumat berkenaan di tempat tertentu.
Jadi apa salahnya jika pengundi mengetahui pendapatan serta aset
calon mereka.
Adakah mereka yang hidup mewah itu mendapat pendapatan daripada
sumber yang halal? Adakah mereka ini hidup mewah di luar
kemampuan? Soalan seperti ini akan ditanya rakyat.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Surat/20060411214424/Article/
Syarak Mengata , Adat Menurut - Syarak Dijunjung , Adat Dijulang
|