|
BAHASA MELAYU MENUJU KEPUPUSAN
(Haji Busu bin Hj. Ibrahim - Bekas Pejuang Kemerdekaan)
1. Satu hari Bahasa Melayu akan pupus seperti Bahasa Latin,
Sanskrit dan lain-lain
kerana :
1.1 Tidak digunakan lagi sebagai Bahasa Ilmu
1.2 Istilah-istilah Bahasa Inggeris dan ciptaan-ciptaan baru
mengambil tempat istilah Bahasa Melayu sewenang-wenang.
1.3 Penggunaannya semakin berkurangan dan tidak diminati.
1.4 Golongan atasan, ahli-ahli korporat dan orang-orang bandar
memandang lekeh dan jijik terhadap Bahasa Melayu.
Bahasa BAKU (Bahasa Standard) yang menjadi asas perkembangan
Bahasa Melayu dihapuskan. (BAKU : bermaksud Bahasa Kegunaan Umum
iaitu : ejaan yang sama, tatabahasa yang sama dan sebutan yang
sama)
1.6 Nama-nama perjawatan dan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia
dan Angkatan Tentera Malaysia juga dihapuskan daripada istilah
Bahasa Melayu.
1.7 Pengajaran Matematik dan Sains yang sebelum ini berjalan
lancar dalam Bahasa Melayu juga digantikan dengan Bahasa
Inggeris.
1.8 Anak Malaysia generasi akan datang tidak tahu membaca angka
dan mengira +, - , x , dan - dalam Bahasa Melayu (mereka tidak
pernah belajar semenjak Kelas Tadika hingga ke Pengajian Tinggi).
2. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar di
sekolah-sekolah dan pusat- pusat Pengajian Tinggi selama ini
bukan penyebab kelemahan Bahasa Inggeris :
2.1 Generasi berkenaan tahu dan pandai Bahasa Inggeris.
Penuntut Malaysia di luar negara baru-baru ini menjadi juara
Pertandingan Bahas / Syarahan dalam Bahasa Inggeris di peringkat
antarabangsa. Orang Malaysia pada umumnya tahu dan pandai
berbahasa Inggeris berbanding orang kebanyakan negara bukan
berbahasa Inggeris.
2.4 Penuntut-penuntut Malaysia yang asal Aliran Melayu lulus
cemerlang dalam bidang doktor,jurutera,peguam dan lain-lain
diluar negara.
3. Masyarakat Malaysia sekarang sudah hilang identiti dan jati
diri :
3.1 Tidak lagi menyintai dan menyayangi Bahasa sendiri.
3.2 Meletakkan kedudukan bahasa-bahasa asing dalam bidang
pendidikan kononnya :
-
Gunakan Bahasa Inggeris - untuk menuntut ilmu
-
Gunakan Bahasa Mandarin - untuk hubungan
perniagaan
-
Gunakan Bahasa Arab - untuk pelajaran Agama
Islam
Jadi, Bahasa Melayu - (Dimana tempatnya)?
3.3 Pelancong-pelancong luar negeri terutama dari Eropah yang
datang ke Malaysia tentu hairan dan terkejut apabila melihat
orang Malaysia tidak menggunakan Bahasa Melayu di negara sendiri
atau sesama sendiri. Lebih-lebih lagi apabila mereka menonton
televisyen yang menggunakan bahasa asing dalam temubual, serta
menggunakan bahasa rojak dan istilah-istilah yang mengelirukan.
4. Mengelak dan mengenepikan kedudukan dan penggunaan Bahasa
Melayu dalam bidang ilmu pendidikan, pentadbiran dan media
kepada masyarakat Malaysia adalah satu kemenangan besar terhadap
cita-cita kaum bukan Melayu dan orang-orang Melayu sendiri yang
sentiasa memandang rendah terhadap bahasa sendiri.
5. Ahli-ahli bahasa dan pejuang-pejuang Bahasa Melayu kini
nampaknya diperhina dan diperlekeh, dan menganggapnya sebagai
orang yang tidak berilmu dan ketinggalan zaman.
6. Mengenepikan Bahasa Melayu dan menggantikan Bahasa Inggeris
dalam pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains adalah satu
penghinaan besar terhadap Bahasa Melayu dan dengan ini boleh
disamakan sebagai menggugurkan senjata nuklear untuk melenyapkan
Bahasa Melayu dijiwa bangsa Malaysia generasi akan datang.
7. Penghapusan bahasa BAKU adalah satu langkah untuk menyekat
kecemerlangan dan perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang
mantap.
8. Bahasa rojak yang digunakan oleh masyarakat dan disiarkan
oleh media TV dan juga bahasa dalam drama sekarang menampakkan
orang Melayu sudah tidak tahu untuk mengenengahkan bahasa
sendiri.
9. Baru-baru ini saya nampak dalam berita televisyen seorang
pemimpin Melayu yang beragama Islam sewaktu menangis menyebut
“Oh My God” tidak menyebut “Ya Allah”.
10. Orang yang tidak pandai bahasa Inggeris dianggap tidak ada
peluang untuk maju,tetapi ramai juga orang yang pandai bahasa
Inggeris yang tidak maju.
RUMUSAN DAN SARANAN
Pemimpin-pemimpin kaum dalam negara yang tercinta ini harus
sedar dan ikhlas serta berpandangan jauh betapa pentingnya
Bahasa Melayu dijadikan alat utama untuk perpaduan rakyat dan
pembentukan satu bangsa melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan
Negara.
Pelaksanaan Dasar Pelajaran dan Pendidikan Negara perlu dikaji
semula.Ahli-ahli akademik dan pendidik diberi kepercayaan untuk
merangka dasar tersebut secara bebas. Elakkan daripada tekanan
dan kepentingan mana-mana pihak.
Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam pengajaran dan
pembelajaran matapelajaran Matematik dan Sains disemua sekolah
rendah dan menengah semua aliran.
Untuk mempertingkatkan pencapaian Bahasa Inggeris, satu program
yang kemas dan rapi perlu dirancang dan dilaksanakan dengan
berkesan.
Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa yang telah termaktub perlu
dihormati dan dilaksanakan.
Contohilah negara-negara seluruh dunia yang menjadikan bahasa
rasmi mereka sebagai identiti bangsa dan negara berkenaan
walaupun mempunyai berbagai kaum.
Jadikan rakyat Malaysia semua kaum menghormati Bahasa Kebangsaan
negara sebagai bahasa mereka untuk perhubungan sesama sendiri,
mendapat ilmu, pengurusan kehidupan, budaya dan hiburan.
Satu program yang konkrit dirancang dan dilaksanakan dengan
berkesan supaya generasi baru rakyat Malaysia dan anak cucu kita
dapat hidup dengan harmoni dan beridentiti Malaysia dengan
menggunakan Bahasa Kebangsaan.
Kita perlu bersatu dengan menggunakan satu bahasa untuk
menjadikan bangsa dan negara kita cemerlang, gemilang dan
terbilang di mata dunia.
SIAPAKAH PEMBUNUH BAHASA MELAYU
DAN
SIAPAKAH PULA YANG AKAN MEMBELANYA
HAYATILAH BUDAYA DAN BAHASA SENDIRI.
“Dalam perjuangan, berundur selangkah untuk mara ke hadapan
bukan bererti kelemahan”.
HAJI BUSU BIN HAJI BRAHIM
(Bekas Pejuang Kemerdekaan)
Kangar,Perlis
|