BALIK KE MUKA UTAMA


KEMESTIAN yang perlu ada Melayu. Membicarakan terminologi Glokal - Datuk Najib Tun Abdul Razak 

Satu lagi terminologi menarik. Ini mungkin susulan dari terminologi terdahulu yang mungkin sudah lapuk. Melayu Baru, Etika Melayu Baru, Tata Cara Melayu Baru dan beberapa lagi istilah mewah mencerna perjuangan Melayu dalam menempuh abad - abad yang begitu mencabar di tanah air sendiri. 

Susunan terminologi - terminologi ini mampu mengorak langkah Melayu bukan setakat pencapai 30% dalam Dasar Ekonomi Baru malah merangkumi majoriti pegangan ekonomi Malaysia ini. Namun keyakinan hanya berpusat dari tarikh tercipta terminologi tersebut sehingga tarikh tercipta terminologi baru. Akhirnya terminologi tersebut saban hari menunjukkan kekosongan nilai bagi mengisi pengertian dan perjuangan bangsa Melayu, bersesuaian dengan penciptaan terminologi tersebut.

Hakikat Melayu masih pada titik yang sama . Kalau 19 % menjadi nilai pemilikan Melayu, sungguhpun itu satu angka yang mencurigakan maka kita tidak berganjak jauh dari kedudukan Melayu zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dari segi kualiti pencapaian Melayu. 

Mungkin tidak ada kesempatan untuk menjangkau satu statistik yang dapat memberi kedudukan sebenar tetapi hakikat intipati persidangan UMNO yang masih membicarakan mengenai rintihan Melayu adalah indikasi kukuh Melayu belum berganjak.

Dari sebelum ini kita salahkan penjajahan kemudiannya kita salahkan bangsa asing sehingga hari ini kedengaran kepayahan kepimpinan menceritakan bagaimana bangsa Melayu itu sendiri perlu di salahkan. 

Bermula dengan Delima Melayu sehingga kini Melayu tetap disalahkan atas kurangnya penyertaan bumiputera dalam perniagaan. Hari ini kita masih berbincang mengapa Melayu gagal, hari ini kita masih berbincang supaya Melayu harus berubah dan harus bertindak mengambil kesempatan dalam semua jenis perniagaan. Timbalan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), menegaskan apa yang dimaksudkan dengan terminologi Melayu - Glokal. 


Dipetik dari Berita Harian

Istilah glokal, kata Timbalan Perdana Menteri, adalah gabungan dua perkataan iaitu global yang bermaksud antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia serta lokal yang bermaksud nasional, tempatan dan dalam negara.

"Melayu Glokal yang kita mengimpikan dan dihasratkan - ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional, iaitu di samping kita hebat dalam negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa.

"Akar kita berpaksi di kota dan desa, namun akal kita menerjah ke serata dunia," katanya. 

Najib berkata, Melayu perlu menggembleng segala yang ada serta berbekalkan modal insan bagi mencapai tahap Melayu Glokal yang cemerlang dan bukan setakat menjadi bangsa picisan.

"Mahu tidak mahu kita perlu melepasi halangan psikologi sederhana ini kerana kita tetap sebahagian daripada yang besar, iaitu bangsa Asia, Gugusan Kepulauan Melayu dan dunia Islam keseluruhannya.

"Cabaran globalisasi semakin menerjah, negara dan bangsa kaya terus menghimpit ekonomi serta politik dunia ketiga, dunia tanpa sempadan dan kampung sejagat telah mendedahkan kita kepada seribu satu peluang juga cabaran, manakala liberalisasi perdagangan turut mencabar daya saing industri tempatan," katanya.

Justeru, beliau berkata, mustahak untuk orang Melayu sentiasa berhati-hati dan berwaspada, sementara ketahanan diri dan benteng bangsa juga harus diperkukuhkan dalam semua lapangan dan bidang.

"Usaha bersepadu menangani arus globalisasi perlu dirancang dan agenda bertindak hendaklah segera dilaksanakan," katanya



Terminologi Glokal tersebut menarik perhatian www.umno-reform.com  . Terminologi itu sungguhpun nampak unik bagi sesetengah pihak dan jenaka bagi pihak lain tetapi asas yang perlu di tegaskan ialah Melayu pada teras seperti yang di perkata oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar. Teras itu perlu kerana berakar di lokal harus dipastikan dengan kekuatan kita untuk berakal dalam dunia tanpa sempadan. Namun teras yang membentuk kekuatan asas ini harus di bina dan selagi kita masih lagi hadir ke Perhimpunan Agung UMNO ini membicarakan ketinggalan Melayu selagi itu kita masih di tahap yang lama, penyemaian yang tidak lagi menghasilkan pokok yang kuat terasnya.

Melayu penuh dengan KEMESTIAN

Menjadi KEMESTIAN untuk Melayu menukar sikap. Menjadi KEMESTIAN untuk Melayu itu berani bersaing. Menjadi KEMESTIAN untuk Melayu itu berilmu. Menjadi KEMESTIAN untuk Melayu itu tidak hanya mahu cepat kaya. Menjadi KEMESTIAN untuk Melayu itu tidak bertindak menjual kontrak kerajaan. Menjadi KEMESTIAN Melayu itu tidak membocorkan tender - tender kerajaan. Menjadi KEMESTIAN untuk kita membuang tongkat demi untuk kejayaan. Menjadi KEMESTIAN dalam usaha menjayakan Melayu dalam pendidikan maka meritokrasi di hapuskan. Menjadi KEMESTIAN pihak swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) meningkatkan peranan mereka membantu khasnya dalam penyusunan semula guna tenaga dan menyediakan peluang untuk Bumiputera.Menjadi KEMESTIAN ruangan untuk Bumiputera di perbesarkan untuk membolehkan usaha kolektif membantu mereka berniaga. Ini menjadi KEMESTIAN untuk kita dalam UMNO lakukan. Ini menjadi tanggungjawab kita dalam UMNO terhadap rakyat Malaysia khususnya Melayu. 

Ironis sekali didedahkan dalam KEMESTIAN itu pada Perhimpunan Agung kali ini bagaimana segelintir Melayu terpilih memiliki lesen mengimport  dan permit penjualan kereta. Ironis juga lesen lesen ini di beri kepada kepada berapa kerat Melayu sahaja. Apakah ini mengisi KEMESTIAN yang ada pada Melayu. Dalam masa yang sama juga UMNO perlu mengisi semua KEMESTIAN tersebut agar semua kontrak yang hari ini hampir 79% kontrak tersebut, yang ada pada orang - orang Melayu - di jual. Persoalan ini bukan persoalan baru, kenapa dan mengapa. 

Dasarnya KEMESTIAN tadi perlu di pupuk. KEMESTIAN tadi perlu di kaji dan di bentuk. KEMESTIAN  tadi bukan setakat memberi kepada majoriti Melayu peluang yang "superficial" atau istilah Dato Onn Jaafar hanya pada kulit dan segolongan yang terpilih untuk hanya menebus kontrak dengan nilai pendapatan lumayan. KEMESTIAN  perlu di isi dengan kesungguhan dan bukan pemunggahan apa yang ada depan mata untuk hanya mereka yang melihat dan mendengar sahaja. KEMESTIAN tadi tidak akan tercapai dengan menjalankan perniagaan berkonsepkan "kenal siapa". 

Asasnya mengotakan apa yang di bincangkan, menunaikan apa yang di janji dan melaksanakan dengan penuh bertanggungjawab adalah perlu dan menjadi sumpah kepada kepiminan. Melihat hanya kepada persekitaran dan tidak pada hakikat kebenaran sebenarnya hanya meletakkan kita di satu peringkat yang mana perolehan ekuiti bumiputera yang tidak berteras atau berakar. Kita goyah bila di pukul angin dan kita runtuh bila di pukul ribut. Kita perlu tahu dan bukan melihat sekadar membuka mata dan dengar sekadar ingin tahu. 

Sebenarnya kita sudah jauh terlajak. Kita sudah jauh kedepan tanpa kekuatan teras. Kita banyak memegang kekuatan yang "superficial" tadi. Kekuatan teras dan kekuatan akal kita belum terbentuk kukuh lagi tetapi kita sudah melajakkan diri kepada tahap kemewahan mudah. Itu dikira berjaya dan itu di kira sebagai pegangan Melayu. Kita perlu rungkai semua sebelum kita mahu mencacakkan benih yang mempunyai kekuatan akar. Kita perlu kembali kepada asas penimbangan yang benar dan menerima hakikat sebelum kita melangkah menuju GLOKAL.

KEMESTIAN yang kepimpinan Melayu perlu ada

Hari ini semua sudah tahu mengenai KEMESTIAN  yang perlu ada pada Melayu. Mungkin hari ini Melayu pula harus memberitahu kepimpinan MELAYU KEMESTIAN  yang mereka perlu ada untuk meningkatkan martabat Melayu itu sendiri.

Apakah semua yang dikatakan KEMESTIAN yang perlu ada pada Melayu itu boleh kita pulangkan kepada kepimpinan Melayu. Apakah kalau dikatakan Melayu itu haprak maka kita katakan pula kepimpinan Melayu itu haprak. Apakah kalau Melayu itu pemalas maka kita pulangkan kembali dengan mengatakan kepimpinan Melayu itu pemalas. Apakah kalau kita dikatakan Melayu itu menjual kontrak maka boleh kita katakan kepada kepimpinan Melayu itu sebagai penjual kontrak. Kalau dikatakan Melayu mesti berubah apakah salah kalau kita katakan kepada kepimpinan Melayu itu perlu berubah. Apakah KEMESTIAN  Melayu itu membuang tongkat boleh kita arahkan kepada kepimpinan Melayu itu untuk membuat tongkat - tongkat sakti mereka. Maka hujah ini akan berpanjangan . KEMESTIAN  yang perlu ada pada Melayu dalam melalui jalan yang penuh mencabar ini perlu juga ada pada kepimpinan Melayu. Koleksi kepimpinan Melayu harus mula membenarkan Melayu yang lain melihat KEMESTIAN  yang perlu ada pada mereka. Kepimpinan itu juga perlu berani di kritik dan kalau Melayu secara menyeluruh di katakan haprak maka kepimpinan juga harus berani menerima celaan haprak pada diri mereka sendiri. 

KEMESTIAN  yang ada pada kepimpinan Melayu itu akan menjadi pengukur kejayaan orang - orang Melayu. Kemunduran orang - orang Melayu bukan hasil dari budaya Melayu sahaja tetapi budaya yang di turuti oleh Melayu dari  kepimpinan mereka. Bayi kecil Melayu tidak lahir dengan segala kebodohan yang ada, Bayi kecil Melayu tidak lahir dengan sikap pemalas yang penuh haprak. Persekitaran dan cara pendidikan membentuk anak - anak kecil Melayu dan ini akan menentukan arah tuju mereka. Sebegitu juga dalam UMNO, kepimpinan kita yang membentuk arah tuju kita. Haprak mereka, haprak-lah kita. 

Akhirnya dalam kesempatan masa yang agak terhad www.umno-reform.com  menjemput suara - suara kecil dalam UMNO untuk bersuara dalam membicarakan KEMESTIAN  yang perlu ada kepada kepimpinan Melayu setelah sekian lama kepimpinan MELAYU membicarakan KEMESTIAN  yang perlu ada pada Melayu.



   

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762