BALIK KE MUKA UTAMA

Demi masa kita sentiasa tidak punyai waktu
Ghazali Mat Dom

Saya pernah menulis mengenai istilah Elitis Pemilik - didefinisikan sebagai kumpulan minoriti yang memegang bukan sahaja kuasa politik malah menggenggam kuasa ekonomi. Ini tidak asing dengan kenyataan yang saya petik dari Allahyarham Dato Onn Jaafar apabila beliau menyifatkan pegangan ekonomi akan dapat mencengkam kuasa politik lantas ini akan meletakkan kepentingan material melangkaui moral dan tata susila kehidupan. Keputusan - keputusan yang di buat oleh golongan elitis pemilik ini akan hanya berdasarkan angka - angka bilamana rasa belas dan keprihatinan tidak lagi wujud untuk menjunjung konsep Islam Hadhari yang kini menjadi teras konsep pentadbiran Perdana Menteri kita YAB Dato Abdullah Hj Ahmad Badawi. 

Usaha Pak Lah dalam mengembalikan demarkasi antara kuasa ekonomi dan kuasa politik sungguhpun idealnya tidak akan berjaya 100% namun meningkatkan nilai dari tahap neutral (value = neutral) kepada satu nilai yang dapat membina masyarakat budiman dan mempunyai nilai etika tinggi harus di puji. 

Namun konsentrasi menyeluruhi untuk membangunkan sistem baru yang dianjurkan oleh Pak Lah ini akan terbantut sekiranya ia di pikul oleh mereka yang telah bergelumang dalam sistem yang sudah terbentuk dan terpahat selama ini. Memberi tanggungjawab untuk meningkatkan nilai kesusilaan dalam masyarakat ini kepada mereka yang lahir dalam sistem yang tidak lagi mementingkan nilai akan hanya menyulitkan keadaan. Akhirnya perubahan yang ada hanya pada hasrat dan harapan namun gagal dari segi perlaksanaan dan realiti pencapaian.

Saya tidak mungkin tahu andai kepimpinan negara ini khususnya Perdana Menteri Malaysia atau mana - mana kepimpinan membaca apa yang saya tulis kerana demi masa waktu untuk mereka tidak pernah mencukupi.

Waktu terhad 

Pemimpinan negara ini baik kepimpinan rakyat, penguasa tempatan dan perlaksana dasar tidak punyai banyak masa untuk meneliti dan menilai apa sebenarnya sedang berlaku. Mungkin tugas kita sebagai penulis, penganalisis dan pengkritik adalah untuk memberitahu mereka apa sebenarnya perlu didengari dan apa sebenarnya perlu dilaksanakan agar nilai yang statik dalam indeks kesusilaan dapat meningkat - namun malangnya mereka tidak punya banyak masa untuk mendengar malah melaksanakan apa yang mereka sebenarnya tahu.

Atas sebab itulah mungkin nilai yang ada dalam indeks pengukur kesusilaan kehidupan menurun dan ianya akan terus menurun dengan kekuatan elitis pemilik dengan keputusan - keputusan perangkaan yang mendabik dada membicarakan nilai eksport kita melebihi nilai import, indeks perdagangan kita meningkat dan pendapatan purata kita mendefinisikan kekayaan rakyat Malaysia.

Negara terus maju dan kedudukan perekonomian kita menunjukkan kekuatan dan peningkatan tetapi kita tidak punyai masa untuk meneliti erti semua ini kepada mereka yang berhempas pulas mengorbankan masa untuk hidup hari ini dan mungkin sisa - sisa pendapat untuk esok. 

Demi masa kita sesungguhnya dalam kerugian. Demi masa kita sesungguhnya tidak punyai masa untuk memikirkan mereka di bawah sana. Kita perlu mencapai tahap progresif, maju dan terus berjaya biar ianya hanya segelintir mereka yang membawa obor kejayaan dan yang lain di jadikan arang untuk menyalakan kejayaan negara. Maka berbaris kita menyanyikan lagu "NEGARA KU" sementara golongan elitis tadi bersemangat menyanyikan lagu "INI NEGARA AKU".

Kita tidak punyai masa

Kita tidak punyai masa untuk memikirkan semua itu. Kepimpinan menengah dan yang lain boleh menentukan hal - hal rakyat. Mereka boleh mengikuti telunjuk komputer yang tidak punya rasa dan tidak punya perasaan. Mereka ada masa untuk hadir dengan kuasa - kuasa mereka mengejar jutaan rakyat yang tidak membayar cukai, mengerah dengan kos yang tinggi polis - polis trafik untuk pergi rumah ke rumah mencari mereka yang enggan membayar kompaun kesalahan jalan raya, memotong bekalan air isu rumah yang melangkaui RM 200 atau memotong bekalan elektrik yang mempunyai tunggakan RM 500.00 malang kita tidak punya masa melihat pegawai - pegawai kerajaan yang membina banglo 1 juta dengan kereta mewah berbuah - buah. Kita tidak ada masa untuk mengerahkan kuasa - kuasa untuk meneliti pemilik - pemilik kuasa politik yang duduk selesa dengan timbunan wang tanpa tahu erti kesusahan. Kita tidak punyai masa meneliti bagaimana amanah yang diberikan oleh rakyat terbiar digunakan untuk kemewahan diri dan keluarga kerana kita tidak punyai masa untuk meneliti jenayah mereka. Masa yang ada terhad untuk mencari rakyat yang degil, engkar dan tegar kerana tidak membayar RM 100 atau RM 200 cukai dan bekalan - bekalan elektrik dan air. 

Malang sekali kita tidak punyai masa cukup untuk menyelamat anak - anak muda kita yang tersesat dengan perbelanjaan kad kredit, kita tidak punyai masa untuk menubuhkan satu jawatankuasa menyusun hutang - hutan mereka - dengan pembayaran ansuran sebelum dimusnahkan kehidupan mereka dengan tindakan memufliskan mereka dalam usia yang muda. Kita tidak punyai masa meneliti setiap masalah kewangan rakyat kecil, mencari jalan menyelesaikan hutang piutang tetapi kita punyai masa dan wang untuk terus mengheret mereka, mengupah gangster untuk memalukan mereka di pejabat dan di rumah dan kita punyai masa untuk terus menindas dan menambah bebanan mereka. 

Masa hanya untuk yang berkuasa

Malang kita tidak punya masa untuk membentuk jawatankuasa penimbang tara untuk meneliti setiap kes mereka yang akan di hadapkan dengan tindakan muflis dengan hutang bukan perniagaan atau hutang kecil atas kesilapan mereka mengurus. Kita tidak ada ruang untuk memberi mereka peluang, kita tidak ada masa untuk menentukan semua itu tetapi kita cuma ada masa untuk memusnahkan masa depan mereka, membebankan terus mereka dan memusnahkan institusi keluarga mereka. Kita hanya ada masa untuk menguruskan hutang - hutang korporat bernilai berjuta - juta, meneliti dan memberi amaran kepada pengamal politik atau rasuah wang politik yang mampu membayar RM 2,000 ke RM 5,000 ( hipotesis jumlah) kepada hampir 2,500 delegasi yang sumber kewangan mereka hanya hadir dari memiliki kuasa. Mereka akan di beri peluang untuk kembali bertakhta dan kebajikan akan terus terurus dengan masa penelitian yang ada. Untuk yang lain - kita tidak punyai masa.

Kita tidak ada masa untuk menilai mereka, mereka tidak mempunyai harta, tidak mempunyai sandaran untuk berniaga dan mereka tidak mempunyai pengalaman. Kita hanya punyai masa untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada beberapa mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan mereka yang dekat dengan kuasa, memberi mereka peluang menjadi jutawan sungguhpun tidak pernah tahu melakukan perniagaan tersebut. Kita bagi pada tokoh itu dan ini, korporat besar untuk mengendali lesen teksi kerana mereka yang hampir 20 tahun membawa teksi itu tidak mampu mengendalikan perniagaan atau tidak berpengalaman untuk mendapatkan permit teksi yang dipandu sendiri. 

Malangnya masa

Malangnya kita tidak punyai masa untuk membaca rintihan mereka malah tulisan ini. Masa kita banyak digunakan untuk menentukan kejayaan negara ini. Antara kita perlu ada mereka yang memegang obor dan yang lain perlu jadi bahan pembakar. Kita seru mereka nyanyikan lagu NEGARA KU agar mereka dapat menjadi bahan api yang lebih bara untuk menjulangkan obor kejayaan negara. Di masa yang sama kita turut menyanyikan lagu "INI NEGARA KU" kerana kita menentukan kejayaan negara - dan INI NEGARA AKU dan aku punyai kuasa menentu.

Maka nilai itu akan tetap sama, konsep Hadhari itu akan terus begitu kerana kita tidak punyai masa khususnya untuk mereka yang kecil di hadapan kita. Kehidupan mereka hanya sesaat dan kita harus kekal lama. Itu lah kuasa. 

Ghazali Mat Dom boleh dihubungi di editor1@umno-reform.com atau talian 012-6544762


  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762