|
 
Kemakmuran rakyat -
kuasa siapa menentukan?
Ghazali Mat Dom
editor1@umno-reform.com
012-6544762
Pertahankan keadilan dalam pentadbiran dan syaratkan ia pada diri sendiri, saudara dan mereka yang rapat dengan kita. Peroleh mandat dari rakyat, kerana kemakmuran rakyat terbanyak adalah lebih utama dari kemakmuran golongan kecil yang di beri keistimewaan dan sesungguhnya kegusaran hati golongan kecil yang di beri keutamaan akan pupus dalam kemakmuran rakyat terbanyak.
Kenyataan di atas adalah interpretasi nasihat yang pernah di beri oleh Sayidina Ali kepada bakal Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar al-Nakh'I.
Bagi saya persoalan pentadbiran negara ini banyak terpalit kembali kepada individu yang di lantik - bagaimana corak pentadbiran dan bagaimana keutuhan integriti seseorang dalam menjawat jawatan yang diberi ke atas nya. Ini khususnya kepada mereka yang telah di beri kuasa kerana kuasa itulah bakal menentukan kemakmuran atau kemunduran sesebuah negara.
Dalam konteks kenegaraan ini juga fokus utama saya adalah kemakmuran rakyat dan bukan tertumpu kepada sukatan indeks bursa semata - mata. Tidak bermakna pembangunan fizikal negara ini hanya maju pada kulitnya sedangkan teras negara ini penuh dengan kebimbangan dan kesukaran.
Pembicaraan isu - isu kecil saya juga melibatkan aktiviti harian rakyat terbanyak - kepentingan memakmurkan mereka dan bukan terus menerus membohongi dengan sukatan yang jelas palsu. Saya bercerita mengenai kos - kos kecil, yang begitu besar maknanya pada rakyat dan bagaimana kesengsaraan hari ini akan menutup peluang masa depan.
Saya bercerita mengenai mandat yang telah di beri oleh rakyat kepada kita. Saya bercerita mengenai amanah dan tanggungjawab yang di belakangkan hanya kerana keutamaan kita kepada kumpulan kecil yang terpilih. Saya bercerita mengenai kesukaran yang mungkin kita terlepas pandang tetapi menghantui hidup masyarakat kita.
Saya pernah terbaca tulisan Syed Hussin Al - Altas yang memetik kenyataan Robespierre dalam Konvensyen Nasional Perancis April 24, 1793 :-
Di tiap negeri di mana keadaan alam menggalakkan hasil keperluan hidup asasi, kekurangan hanya dapat dipertanggungjawab pada kejahatan pentadbiran ataupun pada undang -undang itu sendiri, dan undang -undang dan pentadbiran yang buruk adalah akibat dari dasar - dasar palsu dan tabiat sosial yang buruk.
Menghubungkan kenyataan tersebut dengan beberapa isu eksploitasi harga barang - barang asas negara kita ini, maka satu persepsi negatif akan terpancar apabila kita membicarakan mengenai kemelut kekurangan sedangkan hasil keperluan hidup asas wujud dalam keadaan alam yang menggalakkan di negara kita ini. Kita bukan sahaja bercerita mengenai hasil alam yang ada - tetapi eksploitasi terhadap nelayan, petani dan penggiat ekonomi yang terus di landa dengan selaput kemiskinan tetapi hadir dalam kepesatan ekonomi yang di maklumkan kepada kita.
Keadilan Sosial
Peningkatan mendadak harga barang pasaran wujud antara lain kerana fokus kita kepada keistimewaan golongan kecil berbanding dengan kemakmuran golongan terbanyak. Bagi saya keistimewaan yang diperuntukkan kepada golongan kecil - untuk memuaskan kecenderungan rasuah dan budaya tidak sihat lahir dari kuasa lalu mewujudkan keadaan monopoli yang akhirnya merugikan rakyat terbanyak. Keadaan ini merugikan kita bukan sahaja sebagai pengguna tetapi sebagai penggiat dalam sektor yang telah diperuntukkan atas nama keistimewaan individu dan kuasa. Ini jelas dalam kita melihat peraturan - peraturan yang melibatkan lesen - lesen yang di pegang oleh kuasa tangan seseorang dan akhirnya mewujudkan keadaan tidak sihat lantas merugikan.
Dalam membicarakan keadilan sosial maka faktor - faktor kontribusi ke arah pemusatan kuasa harus di hakis. Faktor pemusatan kuasa dan pegangan kuasa ini yang sebenarnya mampu menzahirkan rasuah. Ini perlu di banteras sepenuhnya kerana andai tidak maka laungan basmi rasuah akan hanya berputik di bibir setiap kali pemimpin baru di lantik.
Sesuatu yang agak menarik pernah di terbitkan oleh Chandra Muzaffar dan Azizah Bahari dalam buku Keadilan Sosial membicarakan perkara - perkara asas perbincangan mengenai keadilan sosial. Di sertakan petikan tersebut :
" Dalam keadaan kita sekarang ini, bukan hanya padi, garam, air yang mesti dikawal oleh kerajaan, tidak dibiarkan terapung atas ombak tamak untung budaya korporat kapitalis, tetapi elektrik, telefon, pengangkutan dan harga rumah. Jika kerajaan selamanya mengawal peningkatan gaji, menasihatkan pihak pekerja agar jangan kuat menuntut gaji, adalah adil dan masuk akal jika tuntutan sedemikian dihadapkan kepada pihak pedagang dan korporat agar jangan terlalu besar nafsu mencari untung"
Bayangkan sekiranya - kepimpinan kerajaan - pemegang kuasa yang sedang melaksanakan perniagaan tersebut! Apakah tidak laungan tersebut akan hanya berpahat dalam buku untuk kita kaji dan terus mengkaji tanpa mampu untuk merealisasikan kebenaran.
Sekali lagi kita berbalik kepada nasihat Sayidina Ali dalam nasihat beliau. Sekiranya keistimewaan untuk golongan kecil yang di beri keutamaan di jaga, dalam konteks kronis maka yang akan terus sengsara adalah rakyat terbanyak. Saya tidak mahu membayangkan sekiranya golongan kecil istimewa yang diberi keutamaan adalah juga golongan yang memegang kuasa!
Menurut Robespierre dalam Konvensyen yang sama - Kemerdekaan mencari untung dalam perdagangan boleh dibiarkan sekadar komoditi yang tidak melibatkan kepentingan asas kehidupan rakyat dan perlu ditegaskan bahawa sektor yang melibatkan kos bagi rakyat harus di jaga tertib dan tidak di naikkan untuk kepentingan kemewahan kumpulan istimewa terpilih.
Sebenarnya pecahan dari interpretasi nasihat Sayidina Ali mampu memberi banyak pedoman kepada kita dalam mentadbir negara ini. Namun asas utama yang nampak jelas adalah menghilangkan kontribusi kepada faktor -faktor yang mampu membiakkan budaya buruk dan asasnya adalah pada mereka yang di beri
kuasa. Dalam itu, maka jawapan kepada utama
persoalan kemakmuran rakyat - kuasa di tangan siapa -
ada pada kita. Kita harus memikirkan sedalam mungkin -
supaya pilihan kita tepat dan menolak kepimpinan yang
mengutamakan kepentingan segelintir dari terbanyak.
TERIMA KASIH
|