BALIK KE MUKA UTAMA


Yang sebenarnya lupa
Ghazali Mat Dom

Antara peringatan Iman Ali kepada Malik al-Ashtar al-Nakh'I

" Ingat, mereka yang telah di beri kemudahan tidak akan berada antara kamu ketika susah, mereka akan mengenepikan keadilan, menuntut lebih dari apa yang sepatutnya layak untuk mereka dan mereka tidak akan menunjukkan kesyukuran apa yang telah kamu berikan"

Mereka sebenarnya lupa. Mereka yang telah diberi pelbagai kemudahan dan peluang akhirnya akan terbenam dalam kehendak, kemahuan dan akan terus menagih untuk memperolehi yang bukan hak untuk dirinya. Mereka terus menagih lebih dari apa yang sepatutnya dan kelak akan meninggalkan kamu apabila kamu tidak lagi mampu melunaskan desakan - desakan mereka. 

Dan akhirnya - mereka mengkhianati - antara keadilan yang sepatutnya wujud dengan pembahagian yang sepatutnya setara dan akhirnya melupakan yang lain kecuali diri sendiri. 

Apa yang sebenarnya mahu saya sampaikan? Apakah tidak jelas mereka yang telah di beri, telah di peruntukkan - kini menuntut lebih dan lebih lagi. Bicaralah mengenai Islam Hadhari, bicaralah mengenai keadilan pembahagian dan bicaralah dari sudut mana - agama Islam mahupun agama - agama lain, tidak akan ada yang menerima sikap haloba dan mereka yang terus memikirkan diri dan hanya diri sendiri.

Ini bukan sesuatu yang asing berlaku dalam pentabdiran negara ini. Syarikat dan individu yang telah di bentangkan dengan segala kemudahan akhirnya akan terus menagih dan menagih. Akhirnya merompak apa yang sebenarnya perlu ditaburkan kepada rakyat. Mereka akan turut menuntut tanpa henti. Apakah ini kejayaan kita dalam membicarakan tentang pembangunan masyarakat, kemakmuran rakyat dan negara?

Kepimpinan kita harus diingatkan, isu utama kehadiran kita adalah untuk memastikan bahawa rakyat tidak dikhianati, dizalimi dan terus dipinggirkan. Kita pada suatu masa dahulu pernah bercita - cita untuk mengadakan beberapa orang jutawan Melayu setiap tahun. Mereka ini kononnya yang akan membantu Melayu dan akan menaikkan statistik penglibatan Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru namun akhirnya hanya seorang Melayu yang dibantu mereka dan Melayu itu adalah dirinya. 

Ini juga perlu ditujukan kepada ahli korporat bangsa lain yang turut mendapat faedah hasil dari kenalan atau perhubungan kronis mereka dengan kepimpinan negara ini. 

Dan jangan kita salahkan rakyat - jangan kita salahkan pekerja. Kita lihat sendiri - kesalahan kita dalam memikul tanggungjawab serta amanah rakyat.

Saya amat tertarik dengan nasihat Saidina Ali tersebut. Seolah - olah beliau sedang menyampaikan mesej penting untuk kita khususnya kepimpinan negara kita ini. Mereka yang telah hadir meniti ketinggikan kejayaan dari peruntukkan harus mengagihkan peruntukan itu kembali kepada asas kehadiran mereka - yakni dari rakyat. 

Namun kini mereka duduk di kerusi empok memikirkan bagaimana mahu menambahkan kekayaan yang sedia ada kepada kekayaan yang tidak pernah akan ada batasnya. Mereka ini perlu kita kejutkan agar gugur sifat tamak dan sifat haloba mereka. Ini satu pesanan -mereka tahu dan mereka faham apa yang mahu disampaikan cuma apakah mereka sedar baik kepimpinan yang sedang mengisi poket kawan - kawannya dan poket dirinya sendiri mahupun kita yang masih terus menyokong pemimpin tersebut. 

Pesanan Saidina Ali ini juga merangkul secara tidak langsung rasuah dan kronisme. Beliau turut mengingatkan bahawa mereka yang tertakluk dibawah definisi kronisme adalah bukan kawan malah akan hanya ada bila kepimpinan tersebut sedang meniti puncak kuasa. Mereka akan hilang dengan tabiat buruk yang secara tidak langsung dididik oleh kita. Mereka akan terus berusaha untuk mendapatkan segalanya - menggenggam tanpa tiris sedikit pun. 

Malah keuntungan mereka menjadi motivasi lagi untuk terus memeras rakyat tanpa memperdulikan kebajikan rakyat kerana bagi mereka, mereka terpaksa menyara - gaji ketua Eksekutif dan pegawai atasan dengan pelbagai kemudahan dan subsidi.

Antara subsidi nelayan dengan subsidi Petrol, Telekom, Air dan Elektrik

Apa kah tidak pernah kita dengar dalam parlimen: jawapan MP kita - mengenai kenapa kadar kadar telefon dinaikan (tidak salah saya sekitar tahun 2003) sedangkan beberapa bulan sebelum itu telah dimaklumkan keuntungan beratus juta ringgit. Beliau mengatakan bahawa ini bertujuan untuk menunjukkan satu set akaun yang berjaya agar Telekom terius mendapat perlaburan khususnya dari negeri lain.

Jelas ini hanya menghalalkan penekanan keatas pengguna telefon. Mereka mahu mencantikkan akaun agar mereka terus mendapat pelaburan. Ini bagi saya adalah satu usaha jumud menjayakan syarikat dengan membunuh rakyat. 

Mengira semula subsidi yang diperuntukkan kepada nelayan, para petani dengan subsidi petrol, telekom, air dan elektrik pasti mengkagumkan. Petronas dengan kebenaran kerajaan, lesen di beri oleh kerajaan, diperuntukkan dan bukan syarikat tanpa pembiayaan yang kini meraih keuntungan berbillion ringgit - kena mendapat subsidi sungguhpun tidak akan rugi syarikat tersebut tanpa wang subsidi tersebut. PLUS juga sekiranya kerajaan tidak menaikkan kadar tol 10% SEPERTI YANG DIJANJIKAN ( oleh mereka yang gagal melihat kepentingan rakyat semasa membuat perjanjian) terpaksa di beri subsidi kononnya hampir 150 juta setahun. Begitu juga elektrik dan air, perbadanan dan suruhanjaya yang menjadi hasil untuk kerajaan tetapi terus menekan rakyat kerana kegagalan mereka yang mentadbir dengan cemerlang.

Bandingkan dengan subsidi pukat dan baja kepada para petani. Bandingkan subsidi yang diberikan kepada anak - anak keluarga miskin yang tidak mempunyai pakaian sekolah dan buku - buku teks. Apakah tidak mengkagumkan bagaimana subsidi pasarana infrastruktur terlampau kecil berbanding dengan subsidi kepada syarikat gergasi yang Ketua Eksekutif mereka mendapat imbuhan berpuluh - puluh ribu sebulan dengan bergantung kepada keistimewaan yang diberi oleh kerajaan.

Baru - baru ini kita terdengar Zoo Negara di bawah Dato Ismail Hudson meraung meminta bantuan kewangan. Apakah kita lihat - Petronas menjunam datang membantu, PLUS dengan keuntungan berjuta -juta ringgit bergegas menghulur bantuan atau syarikat gergasi lain - Ranhill ,YTL sebagainya berkejaran untuk membiayai khazanah alam semulajadi negara ini!

Jangan kita kononnya mengatakan bahawa cukai keatas syarikat ini pasti akan dapat membantu rakyat. Perlu diingat cukai adalah keuntungan bersih setelah di tolak kos pentadbiran yang lupa diri dan kos membayar rasuah yang tinggi. Hasil cukai syarikat gergasi ini tidak setimpal dengan apa yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka. Tanya kepada mana-mana syarikat audit - bagaimana mereka berusaha untuk membawa lari hasil perolehan untuk dinikmati oleh Lembaga Pengarah dengan pembiayaan kereta mewah dan sebagainya. Sepatutnya syarikat yang dihasilkan dari rakyat dan pelaburan oleh rakyat hanya menetapkan pegawai tertingginya dengan kenderaan Perdana sahaja dan bukan kereta mewah ratusan ribu malah hampir mencecah juta.

Namun harii ini inilah hakikat yang ada. Saya tidak mampu mencerita dan menulis ratusan luahan yang perlu kita analisa mengenai apa yang berlaku tetapi kepimpinan yang ada harus beringat - hari ini mereka yang menjadi sahabat kerana wang tidak akan ada dikala kuasa sudah beredar pergi. Ingatlah - kami rakyat.

Yang sebenarnya lupa

Ghazali Mat Dom
012-6544762 

Hubungi Ghazali Mat Dom di talian 012-6544762 atau email pada editor1@umno-reform.com