PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM)
Melaka, baru-baru ini merampas kayu bergergaji membabitkan ukur
lilitnya melebihi 60 inci atau 152.4 sentimeter seperti yang
dibenarkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Susulan itu, ejen syarikat itu dikenakan kompaun tetapi tidak
diketahui nilai kompaun yang dikenakan terhadap ejen terbabit.
Difahamkan, ejen yang membawa masuk kayu bergergaji itu sudah 14
kali melakukan kesalahan sama sejak awal tahun ini.
Kesalahan itu dilakukan di Sungai Linggi dan Sungai Rambai,
Melaka iaitu satu-satunya zon pertukaran barang atau ‘barter
trade’ di negeri berkenaan.
Akibat tindakan tegas pihak kastam, seorang Ahli Parlimen
dipercayai pergi ke pejabat KDRM Melaka pada 14 April lalu untuk
meminta diberi ‘pertimbangan’ menyelesaikan kes rampasan kayu
bergergaji yang dikendalikan jabatan itu.
Bagaimanapun, KDRM Melaka merampas kayu bergergaji itu manakala
ejennya dikenakan kompaun.
Sumber memberitahu, Ahli Parlimen terbabit menemui Pengarah KDRM
negeri dan Ketua Bahagian Pencegahan jabatan itu pada
pertengahan bulan lalu, meminta diberi pertimbangan berhubung
kes rampasan kayu bergergaji itu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka menolak dengan alasan ia boleh
menggugat kewibawaan jabatan selain boleh dipersoalkan jika
undang-undang tidak ditegakkan.
Berikutan itu, KDRM mengemukakan aduan mengenai tindakan seorang
Ahli Parlimen yang didakwa ‘mengganggu’ kes rampasan kayu
bergergaji yang dibawa dari Indonesia di Sungai Linggi, Melaka,
baru-baru ini.
Difahamkan, kayu bergergaji itu ditukar dengan gula.
Bagaimanapun, tiada maklumat diperoleh berhubung kaitan Ahli
Parlimen dan ejen terbabit.
Sumber berkata, laporan yang dikemukakan itu memperincikan
rentetan pertemuan antara Ahli Parlimen dan pegawai KDRM
terbabit.