|
Memerangi fahaman jumud dan liberal
by Dr Ismail bin Ibrahim
SALAH satu sesi bengkel Kongres Profesional Muda Melayu (KPMM)
yang diadakan pada 26 dan 27 Februari yang lalu ialah bengkel
agama, budaya dan sosial.
Bengkel tersebut telah merumuskan banyak resolusi bagi
ketiga-tiga persoalan pokok yang dibicarakan. Di antara resolusi
yang penting di dalam bidang agama ialah memahami pandangan
sejagat atau world-view Islam secara menyeluruh, terutama
melalui sistem pendidikan yang menggabungkan segala disiplin
ilmu aqli dan naqli.
Sehingga dengan itu proses pendidikan generasi muda Islam akan
berjaya melahirkan individu Muslim yang cintakan ilmu dunia dan
akhirat, memahami dan menghayati nilai-nilai moral kerohanian
Islam, menghormati adab-adab di dalam perbezaan pendapat dan
sebagainya.
Resolusi ini sesungguhnya memerlukan banyak langkah strategik di
dalam merombak dan menyusun semula sistem pendidikan keagamaan
dan kerohanian, iaitu dengan mewujudkan satu rangka kurikulum
yang bersifat sejagat tentang kefahaman agama dan mengambil kira
asas-asas penting sosial dan budaya nasional, serta perkembangan
politik yang berlaku di negara kita.
Kita memerlukan model pendidikan Islam yang lebih menekankan
kepada perkembangan ilmu pengetahuan moden yang berkembang pesat
sekarang ini seperti ilmu teknologi dan komunikasi maklumat di
samping menggabungkan nilai-nilai budaya dan etika kita sendiri
yang menjadi akar umbi kewujudan bangsa kita.
Hal ini semua haruslah disepadukan dengan ilmu keagamaan di
dalam segala cabangnya, supaya individu yang melalui proses
pendidikan ini akan sentiasa memahami tuntutan agama dan
budayanya, memahami dan menghayati tuntutan emosi dan jasmaninya
berpandukan nilai dan etika agama dan sosiobudaya yang sentiasa
berubah-ubah ini.
Seperti yang pernah saya tegaskan dulu bahawa sistem pendidikan
Islam seperti ini masih menunggu umat Islam yang benar-benar
mempunyai kesedaran dan visi untuk merangka dan melaksanakannya.
Mungkin Universiti Al-Azhar atau Madinah dan Jordan tidak
mempunyai satu sistem yang sepenuhnya dapat diaplikasikan di
dunia Islam lainnya, termasuk di negara kita. Oleh itu kita
mungkin tidak perlu terlalu ghairah untuk menyalin seratus
peratus sistem dari negara lain, walaupun dalam bidang teologi
dapat kita akui kewibawaannya, tetapi dari segi pendidikan lain
yang merangkumi penciptaan manusia yang berbudaya dan memahami
nilai budaya setempat dan prinsip-prinsip asas kematangan ilmu
dan emosi mungkin masih boleh dipersoalkan.
Maka dari sudut inilah kita ingin merumuskan formula kita
sendiri agar kita dapat melahirkan anak Muslim yang menepati
kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Dalam hubungan ini, sayangnya setelah sekian abad Islam hadir ke
negara kita, tetapi kerana keadaan yang tertentu dan kerana
proses kefahaman dan pendidikan agama di negara kita yang
terlalu lambat perkembangan dan pergerakannya, mungkin kerana
kita masih mencari-cari satu model dan sistem pendidikan yang
mantap dan terkini, maka Islam masih dilihat sebagai satu sistem
ibadat dan hukum halal haram, dosa dan pahala yang tidak jauh
melangkah melampaui batas-batas asasi itu.
Islam yang berasaskan ilmu semasa dan terkini, dan yang
memberatkan pemikiran dan makna serta konsep mendalamnya, amat
jauh ketinggalan dari jangkauan kita. Kerana itulah timbulnya
individu Muslim yang jumud, tertutup, emosional dan agresif,
kacau-bilau pandangan dan pemikirannya yang menjelma di dalam
semua bentuk perjuangan hidupnya. Hal inilah yang cuba
diketengahkan di dalam kongres tersebut.
Bagaimanapun, satu hal lain yang seharusnya mendapat perhatian
masyarakat dan pemerintah kita sekarang ini ialah perjuangan
liberal agama yang didukung oleh sesetengah individu Islam yang
terlalu jauh terkeluar dari batas-batas dan sempadan-sempadan
ilmu keagamaan.
Golongan ini tidak dapat menerima metodologi pendidikan agama
yang berasaskan epistimologi Islam dan pendekatan ilmu yang
berasaskan falsafah sumber utama Islam. Golongan ini yang
berleluasa mentafsirkan al-Quran berasaskan keilmuan aqli
semata-mata mudah mempengaruhi akal fikiran kalangan yang tidak
mempunyai asas dan teras keagamaan yang kukuh dan mantap.
Golongan ilmuwan liberal dan rasional mungkin akan menerima
kenyataan yang dilemparkan kepada mereka bahawa Islam merupakan
satu peraturan hidup asasi untuk kesejahteraan manusia, iaitu
untuk mengambil yang baik dan meninggalkan yang jahat, tanpa
memahami apa itu baik dan jahat daripada pandangan agama.
Hal-hal ibadat seperti sembahyang umpamanya yang dikatakan
sebagai sokongan iaitu sebagai satu unsur supplementary sahaja,
tentulah memberi kefahaman bahawa setiap individu adalah bebas
untuk melakukannya mengikut kedah dan waktunya sendiri.
Oleh itu, di samping memerangi unsur-unsur kejumudan tadi, kita
tidak haruslah mengabaikan fahaman liberal dan keterbukaan
mutlak di dalam agama ini yang turut menyentuh keimanan kepada
prinsip-prinsip kerohanian dan institusi ibadat khusus kita
kerana hal ini juga merupakan kebimbangan kita dalam proses
melahirkan generasi moden yang bersifat sederhana dan terbuka.
Mungkin resolusi seterusnya di dalam bengkel tersebut yang
mendesak supaya proses penyampaian Islam dilakukan secara lunak,
bijaksana dan praktikal amat relevan di dalam konteks ini,
terutamanya ketika resolusi ini juga menyebut bahawa
institusi-institusi agama haruslah bersifat proaktif.
Selama ini nampaknya kita sering bertindak secara yang amat
reaktif, sehingga kita amat ketinggalan di belakang, iaitu
setelah nasi menjadi bubur. Semoga profesional muda yang masih
panas darah dan tenaganya untuk merealisasikan resolusi kongres
ini akan menjadi golongan pendesak yang kuat untuk mengejutkan
institusi agama yang sedang nyenyak tidur agar bangun segera
menjalankan tugasnya.
|