|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam,
Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(30/06)
Kenyataan Media
(17 April 2006)
TAJUK :
ISU JAMBATAN : UMNO/BN MESTI BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN
RM 100 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita
di atas kecuaian yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang
telah terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 100 juta kepada
syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) kerana ketetapan yang
telah diambil untuk proses pembatalan pembinaan jambatan yang
dicadangkan dapat menghubungkan Malaysia dengan Singapura.
DPPNJ menegaskan bahawa RM 100 juta bukanlah satu jumlah yang
sedikit kerana dengan RM 100 juta ini dapat digunakan untuk
membina 4000 buah rumah kos rendah diseluruh Malaysia.
Untuk menutup malu dan kelemahan ini, pimpinan kerajaan
khususnya pemimpin UMNO melemparkan pelbagai jawapan dan
mengalihkan isu untuk mengelakkan tindakan mereka dikritik oleh
rakyat.
Isu-isu lain cuba dibangkitkan untuk mengalih pandangan rakyat
terhadap isu pembatalan pembinaan jambatan ini khususnya
daripada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilihat
tidak konsisten dan tidak bermaya dalam memperjelaskan isu ini.
Bayangkan, isu berkaitan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Pusat (CPF) yang telah dipinda pada tahun 1995 yang tidak
memerlukan pencarum yang bukan rakyat Singapura untuk mencarum
cuba dibangkitkan kembali.
Kenapa tidak dijelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan pada
tahun ini sahaja telah membelanjakan RM 2.4 Billion untuk
pembiayaan Formula One Sepang dan promosinya sebanyak RM 98 juta.
Sekarang ini ditambah lagi dengan bayaran pampasan sebanyak RM
100 juta kepada GPSB yang akhirnya rakyatlah yang dijadikan
mangsa.
Semalam, dalam ruangan rencana di Mingguan Malaysia telah
disiarkan wawancara bersama tokoh sejarah yang disegani iaitu
Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim dan Ahli Parlimen Johor
Bahru, YB Datuk Shahrir Samad yang memberikan pandangan
berkaitan dengan isu pembinaan jambatan ini.
Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim berkata;
“ Kita perlu membuat kajian yang mendalam. Hubungan antara
Malaysia dan Singapura tentunya tidak sama dengan hubungan
antara kita (Malaysia) dengan Thailand dan Indonesia. Kita mesti
mengenali jiran-jiran kita, dan lebih penting sekali mengenali
diri sendiri. Tetapi kita sendiri tidak memberikan keutamaan
kepada pengajian tentang negara kita sendiri.
Daripada kenyataan Dr Khoo Kay Kim ini, saya melihat bahawa
beliau ingin mengingatkan kepada pemimpin UMNO/BN supaya lebih
berhati-hati pada masa akan datang. Kepentingan untuk mengenali
diri sendiri lebih bersifat untuk menyalahkan diri sendiri.
Pemimpin UMNO/BN lebih meletakkan setiap kesalahan khususnya di
dalam isu jambatan ini kepada Singapura sedangkan segalanya
berpunca daripada sikap pemimpin yang tidak berhati-hati dalam
mengambil tindakan.
Manakala YB Datuk Shahrir Samad menyatakan bahawa ;
“Pendapat tentang masalah undang-undang itu telah disampaikan
semasa zaman Dr Mahathir oleh menteri luar/ Tetapi tidak sesiapa
menganggap ia sesuatu yang serius sama ada di peringkat kerajaan
negeri atau UMNO Johor. Saya mengutarakan pendapat itu tetapi
saya diketepikan sehingga ada media yang panggil saya tidak
patriotik. Mereka menolak tepi pandangan saya da melihat saya
sebagai penentang UMNO Johor”
Daripada kata-kata Datuk Shahrir ini kita boleh membuat
kesimpulan bahawa :
i. masalah undang-undang yang dijadikan alasan untuk membatalkan
pembinaan jambatan ini sebenarnya telah diketahui tetapi UMNO/BN
menganggap ia tidak serius. Mungkin kerajaan UMNO/BN yakin
bahawa mereka mampu ‘menundukkan’ kerajaan Singapura dalam isu
ini.
Sebenarnya bukanlah perkara yang pelik kerana UMNO/BN adalah
pengamal ‘undang-undang rimba’ dan undang-undang digubal dan
dipinda untuk kepentingan mereka sahaja.
ii. Menentang keputusan kerajaan adalah tidak patriotik walaupun
pandangan kita di pihak yang benar termasuklah pandangan
daripada pemimpin UMNO sendiri.
Perkara seperti ini selalu dilemparkan kepada parti pmbangkang
di Malaysia terutamanya PAS walaupun PAS selalu memberikan
pandangan yang membina kepada kerajaan.
iii. Kerajaan negeri Johor dan UMNO Johor menyokong pembinaan
jambatan Malaysia – Singapura walaupun telah pasti bahawa mereka
akan berhadapan dengan masalah undang-undang.
Jadi, apa ertinya UMNO Johor membantah pembinaan jambatan ini?
Hujah bahawa tuntutan tambahan Singapura sebenarnya dijadikan
alasan untuk menarik balik penyokongan mereka sebelum ini.
Di atas kelemahan ini, kerajaan di bawah pimpinan UMNO/BN
mestilah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kerugian wang
rakyat dan perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat
Malaysia yang semakin hari semakin tertekan dengan sikap
pemimpin UMNO/BN.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
|