BALIK KE MUKA UTAMA


MEMORANDUM

19 RABIULAWAL 1427 / 18 APRIL 2006


SEMARAKKAN PERJUANGAN BAHASA


Pendahuluan

Semenjak daripada 1956 (tahun Dewan Bahasa dilahirkan), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah  melalui pelbagai fasa perkembangannya. Dari era yang penuh dengan kegetiran dan semarak  perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu begitu memuncak sehinggalah kini, disaat bahasa Melayu  bagaikan melukut ditepian gantang, DBP tetap terus mempertahankan kewujudannya serta  memperjuangkan aspirasi dan fungsinya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa  kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), DBP sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawab  samada secara rasmi atau tidak bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ligua franca di  Malaysia perlu diiktiraf ini sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai  bahasa rasmi kebangsaan. Pengiktirafan ini, bagi DPP Pusat bukanlah sekadar melalui  kewujudan banggunan yang tersergam indah mahupun peruntukkan yang bernilai jutaan ringgit  tetapi pengiktirafan ini bagi DPP Pusat perlu dilihat melalui skop yang lebih meluas bagi  memastikan misi dan visi DBP dapat terus disemarakkan. Skop ini perlulah mencakupi  kebersamaan antara agenda politik kerajaan dan dasar DBP itu sendiri. Pengiktirafan terhadap  fungsi DBP juga perlu dilihat daripada peranan langsung yang diberikan kepada DBP untuk  memastikan kemurnian dan kedaulatan bahasa Melayu tidak diperdagangkan semahunya. Inilah  pengiktirafan yang sewajarnya diperolehi DBP di dalam memperjuangkan bahasa Melayu bahasa  yang dituturkan hampir 300 juta orang didunia yang juga merupakan bahasa ke 4 didalam  turutan penuturan bahasa terpenting didunia.

Bagi DPP Pusat perjuangan bahasa Melayu hari ini melalui detik yang amat getir. Kegetiran  ini rasanya lebih sukar daripada perjuangan terdahulu bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai  bahasa rasmi kebangsaan. Hari ini senarionya sama sekali berubah. Pencinta kepada bahasa  Melayu yang berupaya menyayanginya dengan segenap jiwa semakin kurang dan kritikal. Letaknya  pun kini jika ada, hanya didalam kelompok tertentu yang terpencil. DPP Pusat melihat senario  ini adalah kesan langsung terhadap agenda politik pemerintah yang jauh menyimpang daripada  dasar untuk memertabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Perlaksanaan dasar yang tidak konsisten  dan kecelaruan kefahaman dan jatidiri adalah antara penyebab utama kepada kemelut ini.

Jika sebelum ini bahasa Melayu di Malaysia kehilangan akar jati dirinya melalui pemansuhan  tulisan jawi didalam sistem pendidikan negara sehingga menyebabkan tulisan jawi yang begitu  sinonim kepada bahasa Melayu tenggelam dan lemas didalam arus pemodenan negara. Dasar  politik caca marba ini juga pernah menyebabkan bahasa Melayu diubah kepada Bahasa Malaysia  tanpa perancangan yang strategik. Dengan hanya hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai  lingua franca bagi rakyat Malaysia dasar ini diwujudkan. Malah langkah ini sebenarnya  dilihat oleh ramai pihak hanyalah satu usaha untuk mengekori usaha Indonesia menjadikan  bahasa Indonesia yang dasarnya adalah bahasa Melayu sebagai lingua franca rakyat negara  tersebut.

Sememangnya benar usaha Indonesia itu berjaya tetapi yang dilupakan oleh kerajaan apabila  merubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ialah tuntutannya. Kewujudan bahasa Indonesia  adalah tuntutan rakyat yang lahir daripada Sumpah Pemuda 1928 bagi mewujudkan sebuah negara  bangsa tetapi lain pula halnya dengan apa yang berlaku di Malaysia pengisytiharannya adalah  hasil daripada dasar politik yang sempit yang kesannya bahasa Melayu kini dilihat sebagai  bahasa yang tidak konsisten dan tidak mempunyai jati diri.

Hari ini sekali lagi bahasa Melayu berhadapan dengan dasar kritikal pemerintah yang bukan  saja merugikan bahasa Melayu itu sendiri malah ianya menyentuh secara langsung kredibiliti  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pengenalan pengajaran Sains dan  Matematik didalam bahasa Inggeris merupakan dasar yang cukup krtikal dan amat berbahaya  kepada kedaulatan bahasa Melayu dan hakikat ini diakui oleh semua pihak.

Senario inilah yang mendesak DPP Pusat untuk bertemu dan bermuzakarah dengan semua pihak  yang terlibat didalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu bagi memastikan fungsi dan peranan  bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tunggak kepada kecemerlangan ilmu dapat terus  diperkukuhkan dan disemarakkan.

Maka untuk itu sesuai dengan fungsi dan peranan DBP, DPP Pusat menggariskkan beberapa  pandangan untuk dinilai dan dilaksanakan bagi memastikan usaha murni mendaulatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa rakyat Malaysia seluruhnya terus dimantapkan sesuai dengan peredaran  masa dan keadaan.


Kembalikan Perjuangan Bahasa Kepada Rakyat

Satu-satunya alasan yang menjadikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa  rasmi diterima dan diakui ialah kerana ketegasan yang dipamerkan oleh pejuang-pejuangnya.  Ini adalah kenyataan yang perlu diterima. Hari ini dengan wadah perjuangan melalui  bilik-bilik berhawa dingin dan perbincangan politik tidak menyumbang secara terus kepada  perkembangan bahasa Melayu. Bukanlah menjadi satu rahsia bahawa dengan kelicikan permainan  politik perbincangan seringkali dijadikan bahan sandiwara bagi menjustifikasikan tindakan  pihak tertentu. Contoh paling jelas dapat dilihat daripada pertemuan ahli kademik dan  intelek bagi mendesak kerajaan untuk menilai semuala cadangan pengajaran Sains dan Matematik  didalam bahasa Inggeris, adakah kerajaan memandang serius pada setiap lontaran cadangan,  kerisauan dan kebimbangan mereka yang hadir. Jawabannya tidak.

Maka dengan itu DPP Pusat merasakan sudah sampai masanya DBP memainkan peranan untuk  menggerakkan nasib dan perjuangan bahasa Melayu sehingga ke akar umbi. Melalui pelbagai  medium yang sesuai seperti Bulan Bahasa dan sebagainya sewajarnya usaha ini perlu dilakukan.  Rakyat perlu disedar dan dibangkitkan daripada paradigma celaru untuk kembali kritis
terhadap nasib dan perjuangan bahasa Melayu sebagai prasyarat kepada kelansungan nasib dan  perjuangan orang Melayu itu sendiri.

Wacana ilmu, program penerangan, pameran dan roadshow perlu dilaksanakan sehingga ke akar  umbi dengan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar-bandar besar sahaja. Melalui agenda yang  meluas ini rasa keprihatinan rakyat terhadap nasib dan perjuangan bahasa Melayu perlu  dipupuk. Malah kemampuan DBP untuk menjelejah ke sekolah-sekolah perlu dimaksimakan dengan  kepelbagaian aktiviti. Kefahaman rakyat terhadap DBP yang hanya dilihat sebagai ‘penjual  buku’ perlu diubah kepada badan yang benar-benar serius untuk menjadikan bahasa Melayu  sebagai bahasa yang berdaulat.


Memperbanyakkan Usaha Penterjemahan

Bagi membuktikan bahawa bahasa Melayu setanding dengan bahasa-bahasa lain dan juga untuk  menjadikan bahasa Melayu sebagai medium perkembangan ilmu. DBP perlu memperbanyakkan  penterjemahan buku-buku. Usaha penterjemahan ini sebenarnya satu usaha yang perlu dipandang  serius oleh DBP sebagai satu usaha terpenting. Perkembangan tamadun dan bahasa dunia  semenjak dahulu lagi dapat dilihat seiring dengan usaha mempelbagaikan bahan-bahan ilmu ke  bahasa ibunda sesebuah negara. Perkembangan tamadun barat sebagai contohnya dilihat banyak  berpunca daripada usaha cerdik pandai mereka untuk menterjemah pelbagai bahan ilmu daripada  segenap bidang tidak kiralah bahasa, kesihatan, ekonomi, matematik, sains dan sebagainya.

Melalui usaha tersebut karya-karya agung daripada Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn Rushd dan  sebagainya dapat dibaca dan dikaji oleh seluruh masayrakat barat. Kesan langsung daripada  usaha tersebut pembudayaan ilmu dapat diwujudkan. Dengan wujudnya budaya ilmu secara tindak  langsung peradaban bangsa dan negara akan menjadi lebih tinggi dan akan menyumbang kepada  perkembangan bahasa ilmu itu sendiri. Itulah yang berlaku dibarat yang dijadikan rujukan  bagi seluruh manusia kini.


Memperkasakan Peranan DBP

Sebagaimana yang dinyatakan diatas bahawa skop pengiktirafan kerajaan terhadap fungsi dan  peranan DBP perlu diperluaskan. Tuntutan ini bagi memastikan penyemarakkan bahasa Melayu  sebagai bahasa kebangsaan dapat dilakukan secara menyeluruh. Peranan DBP didalam menentu  dasar sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan bahasa perlu diperluaskan. Sektor-sektor  seperti penyiaran, penerbitan, pentadbiran kerajaan dan sebagainya perlu sentiasa didalam  pemerhatian DBP bagi memastikan penyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dapat dilakukan  melalui medium-medium yang wajib dan popular. Hari ini senario tersebut tidak wujud  penyalahgunaan bahasa melalui medium penyiaran dan penerbitan cukup meluas dan situasi ini  tidak meyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bertentangan sama  sekali dengan perlembagaan negara didalam artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang  meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang hendaklah ditulis dan disebut sebagaimana  yang telah ditetapkan.

Maka atas sebab itulah peranan DBP diperlukan. Kewujudan garis panduan pentadbiran,  penyiaran dan penerbitan yang meletakkan kepentingan bahasa Melayu sebagai kepentingan utama  perlu dijadikan perjuangan DBP diera ini. Malah ianya bukanlah satu perjuangan yang baru  tetapi satu penjelmaan semula semangatnya bagi memastika matlamat menjadikan bahasa Melayu  sebagai lingua franca tercapai.


Kesimpulan

Abad ke 19 dan 20-an merupakan antara tahun-tahun penting kepada perjuangan bahasa dinegara  ini. Perjuangan bahasa yang dituntut adalah seiring dengan tuntutan kemerdekaan negara  daripada penjajah. Kelompok ulama, pemimpin, pentadbir, pedagang, wartawan, sasterawan,  budayawan , guru-guru merupakan pelopor kepadanya. Diatas jasa merekalah kewujudan bahasa  Melayu begitu disegani. Merekalah juga yang menyuntik kesedaran kepada seluruh rakyat untuk  bangkit mempertahankan bahasa mereka. Kelompok inilah juga yang mengajak rakyat untuk kritis  melihat sebarang bentuk usaha dan dasar yang menyentuh kepada kedaulatan bahasa Melayu  adalah satu bentuk pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara. Mereka berdiri dengan  lantang dengan segala keterbatasan medium dan prasarana tetapi usaha mereka berjaya dan apa  yang kita kecapi hari ini adalah hasil titik peluh mereka.

Apa yang menyedihkan hari ini perjuangan dan kegemilangan tersebut cuba diabaikan. Mereka  cuba menguburkan sejarah bahawa :

1. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan,  telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Ia  merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu  dengan lebih 400 patah perkataan dan adalah daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan  Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa  luasnya Bahasa Melayu tersebar.

2. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara  tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada  mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati  antara bahasa-bahasa negeri timur.

3. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa  Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan  kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut : “Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja  dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di  segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh  setiap orang.”

4. Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan sebagai bahasa rasmi oleh raja-raja dan  pentadbir di kepulauan Melayu ini dapat dibuktikan dari :

a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)

Inilah hakikat yang cuba dilupakan dan digelapkan daripada kefahaman rakyat bahawa bahasa  Melayu pernah dan akan selamanya dimartabatkan sebagai bahasa yang disegani.

Maka atas dasar itulah DPP Pusat untuk mengajak DBP memahami, menyedari dan berusaha bahawa  tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan, kemurnian dan kelangsungan hidup bahasa  Melayu terletak kepada semua pihak yang terlibat didalamnya, lebih-lebih lagi DBP. Usaha ini  perlu digembelengkan melibatkan semua pihak tanpa mengira latarnya dengan memusatkan hasrat  dan cita-cita untuk ;

1. Memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu kepada  negara terus dipertahankan.

2. Memastikan sebarang bentuk usaha bagi mencacatkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai  bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu dikekang.

3. Menyemarakkan semangat dan cinta kepada bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,  kebangsaan dan ilmu.

4. Membangkitkan kesedaran rakyat untuk sepenuh jiwa mempertahankan bahasa Melayu  sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu.

Usaha ini harapannya akan memberi sinar baru kepada perkembangan bahasa Melayu yang melalui  jalan-jalan suramnya. Usaha ini juga harapannya akan menyedarkan segelintir kelompok elit  pemerintah yang celaru dan tidak memahami akan kepentingan bahasa Melayu kepada rakyat  negara ini keseluruhannya.


YB. SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762