|
Lawati laman
www.prowaris.org dan daftar dengan
prowaris@yahoogroups.com
PROWARIS : SUBSIDI DISEL DAN PETROL MERUPAKAN SUATU PEMBAZIRAN DUIT RAKYAT
Akhir-akhir ini kita telah dikejutkan dengan kenaikan harga bahanapi yang diekori dengan kenaikan harga barang. Ini berlaku akibat kenaikan harga bahanapi yang terlalu tinggi di pasaran dunia mengakibatkan kerajaan tidak lagi mampu memberi subsidi untuk mengekalkan harga bahanapi di Malaysia. Rakyat mengeluh dengan "Pesta Sure Naik" yang bakal dihadapi. Perdana Menteri Malaysia pula hanya mampu berharap agar kenaikan harga barangan dapat dielakkan.
Walaubagaimanapun, kita perlu mengenalpasti kaedah-kaedah supaya isu subsidi disel dihapuskan secara berperingkat-peringkat demi masa depan negara yang tercinta. Langkah ini perlu diambil demi mengelakkan penyeludupan oleh "Pengkhianat-Pengkhianat Negara" yang senantiasa mengambil kesempatan ke atas polisi-polisi kerajaan yang digubal untuk kepentingan rakyat.
Bahanapi Milik Malaysia Perlu Diberi Keutamaan Untuk Kegunaan Di Dalam Negeri Dahulu
Cadangan agar bahanapi milik Malaysia perlu diberi keutamaan untuk kegunaan di dalam negeri dahulu merupakan cadangan yang radikal. Namun demikian, kita tahu bahawa Malaysia mempunyai cukup pengeluaran untuk kegunaan domestik dan dengan kelebihan ini jugalah kita sebenarnya tahu bahawa kita dapat mengelakkan manipulasi pasaran oleh kuasa-kuasa besar dunia di peringkat antarabangsa.
Bahanapi Sebagai Penjana Ekonomi Negara Dan Bukan Sekadar Sumber Ekonomi
Kita hendaklah tetapkan harga bahanapi yang munasabah dan kurangkan kos pengeluaran minyak. Pada masa yang sama juga, kita dapat menjana ekonomi dalaman negara jika harga minyak kita kekal rendah sekaligus, menarik minat pelabur-pelabur asing untuk melabur di dalam negeri. Oleh itu, pengiktirafan agar bahanapi sebagai penjana ekonomi negara berbanding menjadi sumber ekonomi adalah amat penting.
Kenaikan Gaji Kakitangan Kerajaan dan Anak Syarikat Kerajaan Perlu Untuk Mengimbangi Kadar Inflasi Negara
Kerajaan hendaklah juga menaikkan gaji kakitangan awam dan syarikat–syarikat kepunyaan kerajaan agar dapat menyerap pertumbuhan kadar inflasi negara. Ini secara tidak langsung akan mengakibatkan taraf kos kehidupan sektor swasta meningkat akibat dari luahan perbelanjaan kasar. Inflasi yang disebabkan oleh kenaikan bahanapi sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun begitu, kerajaan hendaklah memantau agar inflasi tidak berlaku akibat kenaikkan gaji.
Penghapusan Cukai Jalan Bagi Kenderaan Kuasa Rendah
Cadangan untuk menghapuskan cukai jalan bagi kenderaan yang berkuasa kuda rendah perlu diterima baik oleh Kerajaan. Pada hari ini juga rakyat sudah mempersoalkan beban yang ditanggung akibat yuran tol yang tinggi tambahan kepada cukai jalan yang perlu dibayar setiap tahun. Ini sedikit-sebanyak dapat menampung perbelanjaan golongan rakyat yang berpendapatan rendah. Cukai jalan bagi kenderaan-kenderaan komersil juga perlu dihapuskan. Keuntungan yang bakal mereka kecapi hendaklah digunakan untuk menyerap kenaikan bahanapi.
Peningkatan Tahap Kecekapan Dan Teknologi Pengangkutan Awam
Peningkatkan tahap kecekapan dan teknologi pengangkutan awam adalah cadangan berulang yang perlu disambut baik oleh semua pihak. Ianya adalah penyelesai isu bahanapi secara menyeluruh dan sekaligus meringankan beban majoriti rakyat. Apabila negara kita sudah mencapai tahap teknologi pengangkutan yang tinggi seperti ‘bullet train’, kita akan dapat menyaksikan penduduk Kedah berulang-alik bekerja di Seremban dan sebaliknya. Dalam situasi yang serupa juga, apabila tahap kecekapan pengangkutan awam dilipat-gandakan, harga kos tiket juga akan berkurangan.
Inilah di antara cadangan-cadangan dan rasional mengapa subsidi disel perlu dihapuskan dengan berperingkat-peringkat. Subsidi bahanapi mungkin relevan pada suatu masa dahulu tetapi bukan lagi sekarang. Ini adalah kerana ianya adalah suatu kaedah yang mengkibatkan suatu pembaziran dan hanya mengkayakan penyeludup bahanapi sahaja.
Namun demikian, kerajaan hendaklah berhati-hati jika ia berniat untuk
menghapuskan kawalan harga (deregulation of price) kerana ditakuti ianya akan dimanipulasikan oleh segelintir peniaga (collusion).
HARRYZAL MUSTAPHA
Pengarah
Unit Perdagangan Dalam Negeri & Hal-Ehwal Pengguna
ProWaris Malaysia
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|