BALIK KE MUKA UTAMA

 


Meniti pembaharuan dalam UMNO, Ceritalah
Anuar Mohd Nor
012-6544762
editor1@umno-reform.com


 

Ceritalah bagaimana perubahan perlu di adakan.

Ceritalah bagaimana rasuah harus di basmi dan usaha kita sebagai pemimpin harus ikhlas - menolak kehadiran hanya kerana politik dan pencapaian diri - mengenepikan perolehan material.

Ceritalah bagaimana kita membaja dan membajak tanah. Berusaha untuk hasil yang baik - mendidik anak - anak agar kelak mereka berwibawa, bertanggungjawab dan penuh sifat kemanusiaan yang menyeluruh - insani yang murni.

Ceritalah mengenai pembuangan masa tanpa usaha - melakukan perkara - perkara yang tidak berfaedah, menghuraikan segala yang nampak sebagai peluang politik dan sebagai usaha untuk naik dan berbakti kepada diri sendiri.

Ceritalah mengenai definisi berjiwa besar, nilai budiman, negarawan dan berjiwa rakyat. Melihat dan sentiasa melakukan perkara - perkara semata - mata mendahulukan kepentingan rakyat yang di terjemah setelah ada sisa - sisa yang boleh di agihkan kepada mereka.

Ceritalah juga bagaimana di didik pengedar dadah - dengan hukuman gantung - peragut yang mahu di rotan di khalayak ramai - perogol yang di penjara berpuluh - puluh tahun - ditangkap kerana tidak membayar saman - didenda kerana memandu laju dan tidak berlesen. Ceritakan bagaimana hukuman kepada mereka yang khusyuk melakukan rasuah dan mereka yang mengaut apa yang bukan milik mereka, menindas pekerja dan sebagainya.

Ceritalah - Cerita - Cerita bagaimana kita adakan semua ini kerana mahu membetulkan keadaan.

Ceritalah- Cerita - Cerita mengenai apa yang di mimpi sebagai keindahan, apa yang diharapkan sebagai hasil, apa yang dijangka sebagai pembangunan, apa yang di hasrat menjadi kemajuan.

Ceritalah - Cerita - Cerita - semua diharapkan. Semua di cita-citakan, lalang menjadi padi, beras secupak jadi segantang dan akar di genggam rotan jadinya.

Sesudah itu kita cubit dan kita kejutkan diri dari realiti. Tanah sekangkang tidak akan jadi seekar, lalang terbiar - tidak tumbuh menjadi padi dan akar di genggam tidak rotan jadinya.

Kita perlu sedar bahawa perubahan bukan dengan bercerita.
Justeru itu harapan perubahan - harapan agar di hentikan bicara tidak berfaedah - berlebihan dalam mempolitikkan isu - berbudi dan berdedikasi dan berkhidmat untuk kepentingan rakyat harus di semai. Setelah di semai di lihat hasilnya. Namun andai air di curahkan ke daun keladi - kesan dan nampaknya tidak akan ada.

Bagi Pak Lah, dalam berbicara mengenai harapan beliau mengadakan satu saf yang utuh, dengan konsep Islam yang jitu dan nilai moral yang tinggi maka perubahan harus menyeluruh. Kesesuaian kepimpinan serta perubahan dalam kepimpinan perlu di adakan sebagai asas semaian pembaharuan.

Perubahan kepimpinan itu penting - mendeklamasikan perubahan dan melihat bentuk baru bersesuaian dengan masa dalam melaksanakan tugas untuk rakyat. Pak Lah harus merobah, meninggalkan yang terlalu lama - bagi mengadakan jentera penggerak yang lebih agresif, berdaya maju dan progresif.

Ini perubahan yang di harapkan. Ini bukan lagi hanya cerita tetapi penuh perlaksanaan yang pasti dengan izin tuhan akan menjana perubahan. Selagi tidak maka Ceritalah kita.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762