BALIK KE MUKA UTAMA

Kiriman Pelayar


YANG PEKA, YANG PEKAK, YANG KARUT DAN MENGARUT
S.H ALLATAS

Ktika saya dan Cham Nong, anak didik saya keturunan ‘Melayu
Siam’ dari Baling Kedah menghampiri sebuah restoran ‘mamak’ berhampiran Ampang Point, saya ternampak Dato’ Johan Jaafar dan seorang pencetak Melayu sedang duduk bersembang. Johan mengangkat tangan. Kami datang ke meja mereka. Saya memperkenalkan Cham Nong ‘protege’ saya yang sudah berjaya menerbitkan majalah, dulu pekerja arwah Khalid Jeffri di Perdana Sari.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang mengambil alih jawatan tersebut dari Datuk Zainuddin Maiden (Zam), kini Menteri Penerangan dalam kabinet ‘kitar semula’ Pak Lah mempelawa kami duduk. Seperti biasa mesti ‘kena teh tarik mamak’, belum sempat mukadimah, minuman sudah ada di atas meja. Manalah kedai ‘mamak’ tak maju.

Saya minta izin letak buku ‘Macam-Macam Ada Memo Untuk Pak Lah’ diatas meja. “Maaf Tok’, saya terpaksa menjual buku dari satu restoran ke satu restoran, dari satu coffee house ke satu coffee house, dari hotel-hotel di Kuala Lumpur sampai ke Kuala Terengganu. Warung-warung menjadi kedai buku. Bukan senang ‘hendak hidup’ di zaman Pak Lah jadi Perdana Menteri”. Inilah keluhan rakyat marhain terutama orang Melayu.

Kawan Johan yang saya kenali merenung muka saya dengan serius sebelum bersuara, “Saya ingat berita yang tersiar di ‘Siasah’ sekadar satu ‘gimik’.”

Johan Jaafar pemikir yang masih gagah dan berani menulis tersenyum. Dia sudah dapat buku ‘Macam-Macam Ada (1)’ melalui Yassin Salleh, Pengarah filem ‘Dia Ibuku’. Seperti dulu Johan yang mukanya agak ‘serius’ senang didampingi. Ada saja ‘idea’ yang sedap didengar dan boleh dipakai biarpun bercerita di kedai kopi, itulah tokoh penulis undangan di Berita Minggu yang saya minati.

Berapa ramai yang tahu di era Pak Lah bukan saja ‘buku politik’ tak dibenarkan di jual di Perhimpunan Agung UMNO tapi di kedai buku yang menyewa di bangunan di PWTC di beri amaran. Akhbar Buletin Demokrasi yang dijual di kedai dalam bangunan PWTC juga turut dirampas. “Kita marah kes buli di sekolah dan di jalan raya, tetapi siapa yang ‘peduli’ nasib penulis politik di buli sesuka hati?”

Johan Jaffar tanya “Kenapa tak beritahu Pak Lah?”

“Ingat senang ke hendak jumpa Pak Lah dengan ‘pagar-pagar duri yang ada karen’ disekelilingnya”, jawab saya. Johan diam mendengar jawapan yang tegas. “Tapi kita jangan marah Pak Lah. Kesian, ramai sangat orang yang sudah marahkan Pak Lah.”

“Datuk tahu ‘Macam-Macam Ada’ ini sudah saya beri ke tangan Pak Lah sendiri, Datuk Najib dan beberapa menteri lain termasuk Datuk Radzi Setiausaha Agung UMNO jadi saksi. Di halaman pertama buku saya autografkan khas untuk Pak Lah dengan nota peribadi pengarang dan dengan tulisan tangan. “Inilah yang mampu saya kumpul, kemarahan rakyat pada Pak Lah.” Saya harap Pak Lah boleh musahabah diri, Allah tahu niat saya. Saya tak takut menyampaikan yang ‘haq’, dengan menyampaikan ‘amar makruf nahi mungkar’ akhirnya yang batil akan gugur dengan sendirinya. Itulah beza Islam dengan agama yang lain, mengajar kebaikan mencegah kemungkaran selain Islam adalah cara hidup yang paling sempurna bukan ISLAM HADHARI.

Selaku seorang intelek Johan seorang pendengar yang baik, telinganya bukan sekadar ‘aksessori’ untuk hiasan. Pemimpin sepatutnya menggunakan telinga untuk mendengar pendapat rakyat. Suara penulis adalah suara kebenaran. Penulis adalah ‘lound speaker’ pembesar suara rakyat.

Saya terpaksa melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan pemimpin. Ubat itu pahit, yang benar itu menyakitkan hati. Saya harap Pak Lah ‘muhasabah diri’ melakukan ‘self criticism’ kalau dia tidak mahu jatuh dalam kehinaan. Wataknya selaku ‘Mr nice guy’ orang baik sudah bertukar menjadi kelabu asap macam ‘mamak kelabu’.

Ada yang mengingatkan saya banyak rahsia yang disembunyikan dari Pak Lah dan mereka yakin buku atau surat yang diberikan pada Pak Lah ada orang kebas. ‘Memo’ Pak Lah pun ada yang sanggup ubah. Betul atau tidak? Biar Pak Lah yang jawab. Selaku pemimpin negara Pak Lah bukan milik keluarga saja. Kerusi itu kerusi ‘TOL’ yang diamanahkan maka tak patut ada orang yang minta ‘TOL’ untuk jumpa Pak Lah.

Dahulu penulis menghadapi masalah dengan pengedar, pencetak yang menzalimi penulis dengan pembayaran lewat dan ‘cetak rompak’. Hari ini lebih teruk lagi adanya pemimpin yang beria-ia berjanji dalam pertemuan di hotel lima bintang, hendak tunjuk baik konon. Buku belum cetak, belum tengok isi kandungan, suruh hubungi kroni, janji beria-ia benar ‘bedooh’ konon nak bayar belanja percetakan. Bila buku siap ‘temberang’. ‘Busuk punya kaki’. Buku sudah dihantar ke rumah, ‘kroni’ kata melalui telefon ‘marah-marah’ itu bukan buku tapi ‘serbuk teh’, sudah hilang akal ke? Bila pula Pak Habib jadi pengedar ganja? Teruk betul pemimpin yang sanggup membohong dan menipu dan cuba menganiaya penulis. Patut ke paksa suruh penulis letak harga untuk dua bungkus serbuk teh ‘hendak mampus’? Akai ada ke?

Penulis sanggup jadi lilin, bakar diri untuk menerangi hidup rakyat marhain yang teraniaya dan dizalimi. Pemimpin yang ada kuasa itu pun dulu pernah berak dalam parit, sekarang bila jadi YB kaduk naik junjung.

Manalah, ramai penulis tak dapat bertahan melainkan yang tak mudah mengalah? Jangan cuba pijak ‘paku karat’ buruk padahnya, nanti kudung kaki. Pemimpin yang ‘karut marut’ terlupa Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Do’a orang yang dizalimi dimakbulkan Tuhan. Jangan suka berjanji, janji membawa akibat. Kalau sayang duit tak apa, cari alasan yang munasabah. Nasib baik kena pada orang yang ada pengalaman macam saya.
 
Saya yakin jika mahu berjaya mesti degil, mesti tak makan saman punya. Jika nasib kita seperti telur dihujung tanduk jangan cuba ‘main gila’. Penulis harus sanggup membakar perahu dan terus berjuang, semuga pemimpin tak buat musuh dengan penulis. Itulah ‘jati diri’ yang ada pada ‘spices’ yang hampir pupus seperti kami. Pelanduk lupa pada jerat, jerat menunggu pelanduk. Mudah-mudahan Allah berikan pemimpin yang macam ini hidayat.

Penulis politik tidak mengharap subsidi kerajaan apa lagi menjadi pengemis moden. Saya berdiri atas kaki sendiri. Saya tulis, edit, saya terbit, saya jual buku sendiri, pergi keliling negeri. Itu pun ada menteri yang sanggup ‘kencingkan’ pinjam kata budak jalanan. Dia tak beli buku saya, tak apa, jangan menipu, jangan membohong, itu tanda-tanda orang yang munafik, umur saya sudah penghujung, saya hamba Allah yang terlantar di bumi nyata tapi dia masih bercita-cita tinggi. Buang perangai ego dan hidung tinggi, tak sedar diri.

Sambil berjalan menuju ke kereta saya teringat dalam kertas kerja Johan Jaffar yang bertajuk ‘Daya Saing Penerbitan Jawi Dalam Era Globalisasi’ di Persidangan dan Pameran manifestasi tulisan jawi, beliau merumuskan Akhbar Utusan Melayu, Mingguan Melayu satu-satunya akhbar tulisan jawi keluaran kumpulan Utusan telah berkubur disebabkan sikap orang Melayu sendiri. Sendiri punya diri sendiri mahu ingatlah. Tuhan tidak ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri.

Di kepala saya susah nak lupa trajedi kena main dengan pemimpin UMNO. Tak boleh ke jadi pemimpin politik kalau tak berbohong? Di dunia terlepas, hari ini awak ada kuasa, di akhirat nanti macam mana? ‘Mata hati’ sudah buta ke sampai sanggup menzalimi mereka yang membawa ‘WASILLAH’? Kenapa mesti bubuh pasir dalam periuk nasi mereka? Tidak tahu ke bila minyak naik, ramai orang Melayu yang sedang ‘naik minyak’? Tak rasa bersalah dan berdosa ke? Mana perginya ‘budi bahasa’ yang dilaung-laungkan dan menjadi amalan? Islam Hadhari ada had, ada hari, ada had hari, ada had diri.

Sewaktu masuk ke sebuah warung orang Melayu, saya terfikir kenapa nak cari satu restoran Melayu di Kuala Lumpur susah? Mamak tak pandai putus asa, mereka percaya hidup ini satu cabaran. Selaku orang Islam mereka tahu orang Islam itu seperti satu tubuh, cubit peha kanan sakit peha kiri sebab itu mereka bersatu dan dibantu oleh kaumnya sendiri. Orang kita pula macam tubuh yang sudah diserang ‘kencing manis’ yang sangat teruk, mula-mula potong ibu jari kemudian potong kaki kanan lepas itu potong kaki kiri.

Menjadi penerbit buku yang ‘kontroversi’, buku yang dilabel sebagai buku picisan, buku politik nyamuk, buku ‘non fiction’, buku ‘pasang siap’, tidak seperti menerbitkan novel atau majalah hiburan atau buka kedai runcit atau stesen minyak. Kita perlu jadi seorang usahawan. Saya, Yahaya Ismail dan Sayuti Omar saja yang masih dapat bertahan, syukur kerana adanya keyakinan dan jati diri, dan sanggup buat kerja ‘one man industri’ biarpun dihimpit oleh gergasi masih belum mati. Selagi hidup selagi melawan.

Mempertahankan ‘industri minda’ yang boleh membentuk zaman harus menghadapi cabaran yang amat besar. Saya sudah beberapa kali mahu berhenti menulis, mahu jual roti canai aje kalau boleh, buat roti canai mudah atau jual nasi lemak. Mengenangkan bila yang patah tak ada yang tumbuh, bila yang mati belum ada yang ganti, maka terpaksa jadi seperti anjing yang dikejar hingga ke dinding terpaksa menerjah orang yang mengejar.

Syukur adanya semangat yang telah ditanamkan oleh ‘mentor’ saya Almarhum Tun Syed Nasir. Bila ada semangat penulis adalah pejuang bukan sekadar jual buku untuk cari makan, kerana wang dan keuntungan bukan matlamatnya.

Penulis adalah pembentuk dan pemimpin zamannya. Ia tidak boleh hanya pencatet sejarah kerana sejarah akan dicatet kelak apabila segala peristiwa telah ditafsirkan dengan kebenaran ilmu pengetahuan. Ia tidak boleh hanya propagandis zamannya kerana banyak kemungkinannya bahawa propaganda dalam tingkat yang paling murni sekali pun akan merupakan saranan berdasarkan maksud dan tujuan yang benar untuk satu pihak sahaja.

Tujuan dan cita-cita selalunya murni dan suci, tetapi perbuatan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh manusia terhadap cita-cita dan tujuan itu selalu pula “korup” dan tidak jujur. Oleh sebab itu penulis tidaklah cukup hanya menyarankan cita-cita zamannya tetapi mestilah menganalisa, mengkritik, dalam erti mendedahkan yang buruk dan yang baik dari pelaksanaan cita-cita itu oleh manusia berbagai kalangan dan berbagai kepentingan.

Tun Syed Nasir
Dewan Masyarakat
3 March 1968

Syukur saya jika anda tidak keliru perbezaan antara propagandis dan penulis upahan kerana mereka ini adalah dua manusia berlainan. Tentu sekali berbeza dengan broker politik yang melihat peluang yang orang lain tidak nampak seperti kata kawan saya jika mahu jadi kaya-raya mesti jadi penulis yang kali. Jangan jadi penulis yang tolak dan darap, tak pernah untung sentiasa rugi. Belajarlah kali mengkali. Tapi penulis yang kena tolak dapat lihat bahaya yang orang lain tak nampak dan tak kisah jika mereka tidak diiktiraf sebagai ‘manusia agung’.

Bukan mudah bagi media arus perdana mahu memberi ruang, apa lagi penghargaan kepada penulis yang tidak dianggap sebagai ‘sasterawan’ seperti kami disebabkan ‘bahasa’ yang kami gunakan adalah bahasa pasar, bahasa harian yang popular namun kita menyuarakan ‘kebenaran’. Ia berbentuk ‘informasi entertaiment’, sambil baca sambil seronok. Jika mereka merenung apa yang tersirat bukan yang tersurat baru terasa ralat mengenepikan kami.

Kalau ada pun polimik-polimik di akhbar arus perdana amat sedikit yang memberi ruang terutama mengenai politik yang sihat di akhbar yang terbuka. Sebahagian besar ahli-ahli masyarakat yang ingin tahu terpaksa memilih buku ‘politik semasa’ akibat ramainya orang atasan yang membisu seribu bahasa kerana bergantung kepada kerajaan untuk periuk nasi mereka tak banyak beza dengan pemimpin penyamun tarbus yang sanggup jual bangsa dan negara.

Tidak mengapa Dewan Bahasa tidak mengakui penulis politik sebagai manusia yang kreatif, apa lagi mahu mengakui yang mereka ‘produktif’, namun peminat setia tetap mengiktiraf kami sebagai seniman, individu yang sanggup mengambil risiko bukan saja dari segi kewangan tapi menghadapi ancaman, tidak bersembunyi di sebalik kata-kata indah dan bahasa berbunga-bunga... ‘Mengampu, menipu, merapu’. Terima kasih Johan kerana berani membela kami.

Genre penulisan politik adalah usaha projek baru yang belum diceburi orang lain berbeza dengan buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa yang mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan.

Biarlah Yayasan Karyawan dan DBP memberikan perhatian pada buku yang besar, agung atau bertaraf canon. Penerbit yang lain harus pula memuaskan nafsu pembaca yang lain - mungkin novel picisan, buku agama, cerita hantu atau gosip politik. Bagi saya negara ini dahagakan semua jenis buku, khususnya dalam bahasa Melayu. Kita boleh membincangkan soal mutu apabila kita sudah mempunyai jumlah yang secukupnya.

Johan Jaffar
Berita Minggu
12 Mac 2006

Akhbar yang betul-betul bebas tidak ada di tanah air kita. Setengahnya dipunyai oleh golongan yang mempunyai kepentingan untuk orang-orang tertentu saja. Setengahnya pula dipengaruhi kuat oleh satu-satu parti politik saja. Sebab itu saya cuba cari jalan tengah dengan menengahkan ‘macam-macam ada (1) dan (2)’ dan seterusnya. Mustahil kita boleh menjaga hati setiap manusia. Belajarlah dari Lukmanul Hakim dalam Al-Quran.

Kasihan Buletin Demokrasi. Bila arwah Jamaluddin Bakar meninggal dunia akhbarnya ikut dikuburkan sama seperti Perdana Sari, milik arwah Khalid Jeffri dulu. Mingguan Kota dan Mingguan Islam di mana tulisan saya pernah muncul, umurnya pun tak panjang. Bagi saya tak ada kerajaan yang boleh melawan arus rakyat. Syukur pada Allah lahir ‘Buletin Rakyat’ yang diusahakan oleh anak didik saya Norzah Kepol dan adanya Agenda Daily.


Rasanya tidak kena pada tempatnya bagi kita orang Melayu mahu melaungkan lagu sedih bahawa penjajahlah yang bertanggungjawab sehingga di atas kedudukan buruk masyarakat kita dari segi ekonomi dan pelajaran. Ini sudah memang satu kebenaran. Jadi apalah gunanya kita marah dan berasa sedih tentang hal ini. Biarlah sejarah sahaja mencatitkan hakikat ini. Sebaliknya kesedihan itu patut dijadikan perangsang dan inspirasi mengukuhkan keazaman kita untuk merombak gejala lama. Oleh itu kita janganlah hendaknya berharapkan pertolongan sahaja sama ada dari pihak Kerajaan atau pun pihak-pihak dermawan. Sikap cepat putus asa hendaklah dikikis dan diganti dengan pendirian yang lebih tabah dan lebih memerlukan pengorbanan. Janganlah cepat mengalah apabila menghadapi apa-apa halangan dan rintangan.

Hendaknya janganlah kita berasa terselamat kerana adanya tercatit hak istimewa orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan kita. Jika direnungkan benar-benar perkara ini, nyatalah bahawa kemajuan masyarakat kita di masa yang akan datang bukan bergantung kepada adanya Perkara 153 di dalam Perlembagaan Malaysia tetapi sikap kita yang mahukan perubahan dan sanggup berkerja keras untuk membawa perubahan tersebut.

Zaman ‘revolusi mental’ sudah lama berlalu, revolusi yang telah merevolusikan kedudukan ekonomi dan seterusnya menyentuh budaya minda dan pemikiran anak kita. Ini zaman ‘revolusi kerohanian’ disamping ‘revolusi mental’. Dan inilah yang patut telah kita lakukan dan sedang saya lakukan dalam semua tulisan saya, baik dalam kolum mahupun dalam buku-buku yang telah saya terbitkan. Sebab itu ‘Macam-Macam Ada’.

Apa juga ilmu yang kita pelajari kita perlu guru. Kalau tak ada guru yang baik, yang ikhlas, takut nanti berguru dengan syaitan. Hari ini ramai orang politik yang berguru dengan ahli politik syaitan atau ahli politik yang karut marut, peka dan pekak.



 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762